Seramai 15 orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan di bahagian ini berjaya mendapatkan dokumen pengenalan diri melalui satu operasi Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak.
Penolong Pegawai Pendaftaran unit itu, Zabulun Sangge berkata, melalui operasi tersebut, pihaknya berjaya mengumpul maklumat berkaitan pemohon seperti tempat kelahiran dan latar belakang keluarga.
Menurut beliau, pihak JPN Sarawak juga mengenal pasti masalah yang dihadapi golongan buta dalam mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan sebelum mencadangkan jalan terbaik termasuk memberi kelonggaran dalam beberapa perkara untuk menyelesaikannya.
"Sebelum ini prosedur yang wajib dipenuhi termasuklah mengemukakan dokumen pengesahan diri dan latar belakang keluarga daripada ketua kampung atau tuai rumah.
"Bagaimanapun, kelonggaran telah diberikan apabila pegawai dari Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dibenarkan menjadi penjamin kepada pemohon.
''Selain itu, mereka juga dikecualikan daripada membuat sebarang pembayaran," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pemohon, Mohd. Fauzan Abdullah, 46, berasa lega apabila pelbagai halangan yang dihadapinya dalam mendapatkan sijil kelahiran dan kad pengenalan akhirnya berjaya diselesaikan menerusi operasi khas itu.
Menurutnya, yang buta sejak lahir, disebabkan tidak memiliki dua dokumen penting berkenaan, masalah demi masalah membelenggu hidupnya sehingga tidak dapat menikmati keistimewaan sebagaimana warganegara Malaysia yang lain.
"Kedua-dua orang tua saya telah meninggal dunia. Selain itu, kehidupan yang daif serta tinggal di kawasan pedalaman adalah punca saya tidak memiliki sijil kelahiran sehingga sekarang.
"Saya bersyukur kerana impian untuk memiliki sijil kelahiran telah tercapai dan kini, proses seterusnya adalah untuk memohon kad pengenalan pula," katanya.
Rakannya, Osman Abdullah, 47, dari Kampung Senah Bayang berkata, selama ini ibu dan ayahnya tidak mengetahui kerajaan menyediakan kemudahan khas untuk OKU memohon kad pengenalan.
"Tambahan pula, di kampung kami tidak ada kemudahan untuk golongan OKU meminta bantuan atau membuat rujukan.
"Jadi saya amat berterima kasih kepada pihak JPN kerana mengadakan operasi khas ini untuk membantu kami semua," katanya yang membuat pendaftaran untuk kategori Daftar Lewat Kad Pengenalan (DLKP).
Operasi tersebut merupakan program bulanan Unit Khas Bergerak JPN dalam membantu rakyat khususnya golongan OKU, warga emas serta masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Selain bandar raya ini, unit khas itu juga ditubuhkan di Betong, Kapit, Bintulu dan Miri.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment