Masdar Wahid
Datuk Paduka Husam Musa yakin kerajaan Pakatan Rakyat mampu membina lebuhraya tanpa tol di Sabah jika diberi mandat membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Ini kerana katanya, Sabah kaya dengan pelbagai hasil mahsul bagi merealisasikan hasrat itu dengan syarat ia diuruskan dengan baik tanpa rasuah sebagaiman berlaku dalam pentadbiran BN.
"Lebuh raya bandar Kota Kinabalu-Sandakan-Tawau akan dibina Pakatan Rakyat tanpa tol," katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Politik Baharu Sabah di Star City Convention Centre 20 Oktober lalu.
Pimpinan PAS termasuk Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pengarah Pilihan Raya, Dr Hatta Ramli, Naib
Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Vincent Lee dan Senator
Khairiah Mohamed Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS Kelantan hadir sama.
Turut hadir memberi pandangan perubahan politik Sabah termasuk bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Yahya Lampong, Bekas Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing.
Husam turut menyokong hasrat rakyat Sabah agar dasar Kabotaj yang menjadi penyebab melonjaknya harga barang hingga 30 peratus di Sabah dihapus dan bagi tujuan itu dana RM1 bilion sedia diberi kepada negeri itu jika Pakatan Rakyat memerintah.
"Kalau dia (BN) tak nak tukar (kabotaj), kita kena tukar kerajaan, baru boleh tukar polisi kabotaj. "Kalau kita terima sahaja polisi ini, maknanya rakyat Sabah mengainaya diri sendiri," katanya lagi.
Sementara itu, Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas (R Sabah) menyokong tawaran Pakatan Rakyat menaik royalti untuk Sabah dari lima ketika ini kepada 20 peratus.
"Tambahan peratusan bayaran royalti kepada 20 peratus menjadikan jumlah itu RM3.2 bilion.
"Maka gaji boleh ditingkatkan, pembangunan dapat dilakukan, peluang kerja makin banyak dan boleh memajukan infrastruktur di seluruh Sabah," kata Pengerusinya, Nemrone Loveh.
No comments:
Post a Comment