Setiap pemimpin politik yang bertaraf ‘klasik’ perlu bersedia menyerahkan kuasa kepada barisan pemimpin muda, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.
“Apabila sudah terlalu lama dalam parti, kita perlu mengundur diri dan beri peluang kepada muka baharu untuk meneruskan kepimpinan.”
“Hanya dengan itu kita dapat sokongan berterusan daripada rakyat. Tidak perlu menunggu sehingga rakyat muak dan bosan,” katanya berucap pada majlis ulangtahun ke-50 Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini malam tadi
Chan berkata, kesedaran itu harus dimiliki setiap pemimpin politik di negeri ini termasuk dalam kalangan SUPP sendiri.
Hadir sama Menteri Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui.
Beliau yang merangkap Pengerusi SUPP mengingatkan setiap ahli politik Barisan Nasional (BN) tidak bergoyang kaki sebaliknya terus melipat-ganda usaha untuk memantapkan kekuatan parti.
“Walapun BN sebuah parti komponen yang kuat, namun kita tidak boleh berpeluk tangan. Kita harus bekerja keras mulai sekarang untuk memastikan khidmat yang diberikan memuaskan rakyat,” ujarnya.
Menurut Chan, walaupun parti komponen seperti SUPP sudah lama berkuasa dan mantap, namun ahli pemimpinnya harus turun padang dan memastikan kemenangan pilihan raya akan datang.
Mengenai ulang tahun parti ke-50, Chan menyifatkan pencapaian itu membuktikan parti itu terus relevan dan diterima baik oleh rakyat di Sarawak.
“Kita yakin dapat membawa kemenangan kepada parti komponen BN pada pilihan raya akan datang meskipun dijangka ditentang hebat parti pembangkang,” katanya.
oleh: Sarawakupdate
masdarwahid: Antara golongan klasik dalam pimpinan BN ialah Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud yang juga Ketua Menteri di Malaysia yang paling lama iaitu lebih 20 tahun. Taib seangkatan dengan Tun Mahathir, Samy Vellu dan bekas Presiden Gerakan Dr. Ling Liong Sik
No comments:
Post a Comment