JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, May 6, 2011

Kronologi konspirasi jatuhkan Anwar

UMNO Barisan Nasional (BN) mewujudkan senario paling buruk dalam politik Malaysia dengan melaksanakan usaha memfitnah Anwar Ibrahim secara berterusan sejak 1998.

Selama sedekad mereka mencipta konspirasi yang amat kejam merobek maruah seorang pemimpin berjiwa Islam yang membela rakyat.

Meskipun Presiden Umno telah tiga kali bertukar tangan namun musuh politik parti itu dan para pemimpinnya tetap tidak berubah.

Anwar yang menjadi Timbalan Perdana Menteri (PM) dijatuhkan pada 1998 kerana keengganan beliau bersetuju dengan arahan Dr Mahathir Mohamad menyelamatkan syarikat salah seorang anak PM itu yang hampir muflis menggunakan dana Petronas sejumlah RM1 bilion.

Anwar juga tidak bersetuju menyelamatkan beberapa kroni penting Umno BN lain yang tenggelam dibadai krisis kewangan Asia 1998.

Kroni Dr Mahathir khuatir Anwar akan memusnahkan mereka sekiranya dibenarkan menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Oleh itu mereka memutuskan Anwar perlu disingkir.

Akibatnya, satu konspirasi diatur mereka-cipta tuduhan Anwar meliwat bekas pemandu peribadi isterinya, Azizan Abu Bakar.

Skrip bermula dengan Azizan dibawa oleh Ummi Hafilda Ali menghadap PM Dr Mahathir mengadu menjadi mangsa liwat.

Kemudian Dr Mahathir memecat Anwar dengan alasan timbalannya mengamalkan seks luar tabie.

Anwar mendakwa konspirasi menjatuhkannya melibatkan beberapa orang rakan karib Dr Mahathir seperti Daim Zainudin, Aziz Shamsudin, Peguam Negara Mokhtar Abdullah dan beberapa orang hakim.

Sepuluh tahun kemudian, pemimpin Umno BN sekali lagi berdepan dengan kemungkinan Anwar akan diangkat menjadi Perdana Menteri selepas Pakatan Rakyat (PR) berjaya menafikan majoriti 2/3 kerusi Parlimen BN.

Khabar angin 40 Ahli Parlimen BN akan menyeberang ke PR selepas Anwar menang Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008 menyebabkan mereka merasakan perlunya Anwar disingkir dari dunia politik.

Maka konspirasi kedua diatur. Kali ini melibatkan seorang budak pejabat Anwar bernama Saiful Bukhari.

Beliau mendakwa diliwat oleh Anwar di sebuah kondominium. Sekali lagi skrip lama digunakan.

Mangsa dibawa berjumpa Perdana Menteri, Najib Razak mengadu telah diliwat.

Kebimbangan hilangnya kepercayaan rakyat terhadap perbicaraan kes fitnah II yang tidak berjaya mencipta bukti kukuh menentang Anwar berikutan keterangan saksi yang kabur dan terdapatnya DNA lebih dari seorang lelaki di dubur Saiful, termasuk DNA Saiful sendiri menyebabkan pemimpin Umno BN sekali lagi gusar Anwar akan kembali kuat menjelang pilihanraya ke-13.

Risikan BN terhadap situasi di Sawarak menjelang pilihanraya negeri memperlihatkan penolakan rakyat terhadap propaganda BN.

Sekiranya negeri yang mana penduduk pribumi kekurangan maklumat telak menolak BN, maka keadaan akan menjadi lebih sukar di Semenanjung yang rata-rata penduduknya membaca bahan-bahan dari internet.

Maka mejelang pilihanraya Sarawak pada April 2011, satu lagi fitnah direka-cipta.

Kali ini menggunakan video seks yang dilakonkan oleh lelaki mirip wajah Anwar Ibrahim.

Dengan harapan kebangkitan rakyat Sarawak dan Semenanjung boleh dipadamkan apabila menonton pemimpin mereka melakukan adengan seks.

Sekali lagi skrip lama digunakan. Menjelang pilihanraya Sarawak, polis mengumumkan siasatan menjurus ke arah ketulenan video dan pemilik jam tangan Omega yang didakwa kepunyaan Anwar.

Sedangkan laporan polis oleh Anwar mengadu difitnah tidak disiasat segera oleh pihak polis.

Pendedahan klip video di internet yang tidak dihalang dengan segera mendakwa Trio Datuk T juga menjadi tanda-tanya kerana individu yang mendedahkan klip video seks Presiden MCA, Chua Soi Lek ditangkap selepas seminggu klip berkenaan tersebar.

Namun konspirasi demi konspirasi ini semakin menjemukan rakyat Malaysia yang inginkan suasana politik yang membela kebajikan mereka.

Bukannya melibatkan intrig skandal dan permainan politik yang tidak berkesudahan.

Najib ttakut pandang Rosmah waktu malam

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaku beliau tidak berani pandang muka isterinya Rosmah Mansur pada malam hari, lapor akhbar The Star.

Ini kerana menurut akhbar itu, jika Najib memandang muka Rosmah, pasti isterinya akan marah gara-gara beliau sibuk dengan twetternya.

Kenyataan itu dipetik dari paparan tweeter Najib sendiri. "Isteri saya pasti marah kepada saya kerana itu saya tengok iPad (smartfon) saya dari tengok muka beliau," kata Najib dalam twetter tersebut.

Sebelum ini, bukan lagi rahsia bahawa Najib adalah seorang ahli politik yang takut kepada isteri, malah ada yang menganggap isterinya sebenarnya menjalankan tugas Perdana Menteri.

Thursday, May 5, 2011

Sekutu tertua BN didera

Oleh : Masdar Wahid
Sekutu tertua Barisan Nasional (BN) di Sabah, Parti Liberal Demokratik (LDP), terus didera termasuk didesak menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Merotai yang diwakilinya sejak beberapa penggal lalu kepada Umno di negeri itu.

Perkara itu disuarakan Ketua Umno Bahagian Kalabakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh buat kesekian kalinya.

Sebelum ini, LDP turut diserang sekutu BN di negeri itu termasuk MIC, Gerakan dan beberapa pemimpin Umno selepas Timbalan Presidennya, Datuk Chin Su Phin mengeluarkan kenyataan mengenai kejayaan Pakatan Rakyat mencatatkan keputusan memberangsangkan pada pilihanraya Sarawak, 16 April lalu.

Turut menyerang LDP ialah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sekutu utama BN di Sarawak melalui Exco pemudanya, Radin Kadri Radin Budiman dan Senator Sarawak, Datuk Idris Buang.

LDP sebelum ini turut kehilangan dua ADUNnya yang melompat menyertai Gerakan selain jawatan Timbalan Ketua Menteri (TKM) Sabah yang diwakilinya dirampas Parti Bersatu Sabah (PBS), yang juga sekutu BN di negeri itu.

Sabah memiliki tiga TKM dengan dua daripadanya kini dibolot PBS manakala satu lagi dikuasai Umno.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat bersara dari politik selepas mendakwa disabotaj Pengerusi Umno BN Sabah ketika ini, Datuk Musa Aman.

LDP ditubuhkan pada 1989 dan paling awal menyertai BN di Sabah berbanding Umno yang hanya memasuki Sabah selepas pembubaran parti Usno pada 1991.

Failkan petisyen sebelum 20 Mei - SPR

Mana-mana pihak yang hendak memfailkan petisyen berhubung pilihanraya Sarawak hendaklah melakukannya sebelum tarikh akhir pada 20 Mei ini.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Wan Fadillah Wan Ahmad berkata, petisyen itu hendaklah difailkan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 21 hari dari tarik keputusan pewartaan pilihanraya Sarawak.

Menurutnya, keputusan pilihan raya Sarawak sudahpun diwartakan pada 29 April lalu.

"Tarikh akhir untuk memfailkan petisyen adalah pada 20 Mei tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada 4 Mei lalu.

Sebelum ini, Suara Keadilan melaporkan, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian berkata, parti itu sedang mengumpulkan bukti di kesemua DUN yang ditandinginya dan memfailkan petisyen selepas pewartaan keputusan pilihanraya di negeri itu.

Baru memberitahu, DUN Senadin antara kawasan yang akan difailkan petisyen kerana berlakunya peti undi di kawasan itu diusik manakala SPR enggan melakukan kiraan semula.

312,338 belum daftar mengundi

Seramai 312,338 atau 26.9 peratus daripada 1.1 juta rakyat Sabah berumur 21 tahun dan ke atas belum mendaftar sebagai pengundi, kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Datuk Md Idrus Ismail.

Menurutnya, sehingga 7 Mac tahun ini sebanyak 1.1 juta orang layak mengundi, tetapi hanya 848,473 daripada jumlah itu yang berdaftar seperti yang dicatatkan pada 31 Disember 2010.

"Ini bermakna masih ada 312,338 orang yang belum mendaftar sebagai pemilih," katanya pada 4 Mei lalu.

Antara faktor penyumbang ialah sikap mereka yang tidak berminat menyertai proses demokrasi.

"Mereka tahu di mana perlu mendaftar tetapi sengaja tidak mendaftar, memandang ringan kepentingan dan peranannya dalam pilihan raya.

"Selain itu, ada juga orang Sabah yang bekerja di Semanjung atau berlajar di luar negara berpendapat kalau mendaftar pun tidak dapat balik mengundi," katanya.

Md Idrus berkata, SPR bekerjasama dengan agensi kerajaan, parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan serta menyediakan kaunter mendaftar di kawasan tumpuan ramai termasuk di pejabat pos dan pusat memberi belah dan berharap masyarakat memanfaatkannya.

Beliau turut meminta mereka yang sudah mendaftar agar menyemaknya dengan SPR bagi memastikan nama wujud dalam daftar pengundi selain membetulkan butiran yang tidak tepat.

Peringatan buat calon Pilihan Raya Sarawak

Semua calon pilihan raya negeri Sarawak (PRN) ke-10 diingatkan menghantar penyata dan akaun perbelanjaan pilihan raya sebelum 30 Mei ini, kata Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Wan Fadillah Wan Ahmad.

Menurutnya, selaras dengan Seksyen 23 (Akta 5), Akta Kesalahan Pilihan raya 1954, penyata dan akaun perbelanjaan pilihan raya bagi calon perlu dihantar ke pejabat SPR Sarawak dalam tempoh 31 hari, dari tarikh keputusan PRN diwartakan.

Beliau memberitahu, keputusan PRN 16 lalu sudah pun diwartakan pada 29 April lalu.

"Tarikh akhir mengembalikan penyata perbelanjaan ialah pada 30 Mei ini," katanya dalam kenyataan media pada 4 Mei lalu.

Wan Fadillah berkata, penyata perbelanjaan perlu diisytiharkan oleh calon dengan melengkapkan borang B (Penyata Berkenaan Dengan Belanja Pilihan Raya), C (Penyata Atas Sumpah Oleh Calon) dan D (Penyataan Bersumpah Oleh Ejen Pilihan Raya) yang diperoleh di Pejabat SPR Sarawak atau di pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"Borang lengkap haruslah dihantar ke Pejabat SPR Sarawak atau melalui Pegawai Pengurus di tempat calon itu bertanding," katanya lagi.

Jangan salahkan saya - Masing

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS-BN) Datuk Seri James Jemut Masing enggan dipersalahkan akibat kekalahan calon pilihannya, Stanley Nyitar @ Unja Malang, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus pada pilihanraya Sarawak, 16 April lalu.

Stanley hanya mendapat 2,903 undi berbanding calon Bebas yang juga muka baru di kawasan itu, George anak Lagang yang meraih 5,740 undi sekaligus merampas kawasan itu yang merupakan kubu kuat PRS sejak beberapa tahun lalu.

“Saya berharap rakyat di kawasan Pelagus tidak menyalahkan saya atas kekalahan calon BN-PRS,” kata Masing.

Walaupun satu-satunya sekutu BN yang tewas kepada calon Bebas, namun PRS tidak malu apabila menuntut jawatan Timbalan Ketua Menteri yang sejak beberapa tahun disandang Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP-BN).