JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Thursday, October 21, 2010
Batu Sapi : Alasan SAPP letak calon
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Sabah, Ahmad Tamrin Hj Jaini berkata, antara alasan SAPP untuk meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi ialah kerana bekas sekutu BN itu tidak berhajat untuk menyertai Pakatan Rakyat.
Menurutnya, walaupun SAPP meletakkan calon mereka, namun tidak semestinya parti itu mampu memenangi PRK tersebut walaupun mengakui tindakan parti itu hanya akan menguntungkan BN.
“Hasil mesyuarat bersama SAPP dan pimpinan PKR hari ini, nampaknya SAPP berkeras mahu meletakkan calon mereka dan kita berkemungkinan berdepan tiga penjuru jika tiada calon bebas yang lain.
Sekarang terpulang kepada rakyat Sabah untuk memilih parti mana walaupun kita mengakui tindakan SAPP untuk turut meletakkan calon mungkin akan memecahkan undi Pakatan Rakyat seterusnya akan menguntungkan BN.
Lagipun, alasan SAPP untuk bertanding kerana mereka bukan komponen Pakatan Rakyat dan tidak berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat,” katanya kepada KABAR.
KABAR ialah akhbar politik yang sebelum ini dikenali sebagai Konsep Era Pakatan.
Ditanya peluang PKR dan Pakatan Rakyat dalam PRK ini, beliau meyakini gabungan itu mampu menawan Parlimen Batu Sapi.
“Kita ada peluang untuk menang, lagipun jentera Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP ketika ini berada pada tahap amat bersedia.
Lagipun, lanskap politik semasa selepas Tsunami Politik memperlihatkan rakyat Malaysia mahukan Pakatan Rakyat menerajui negara ini,”jelasnya.
Berhubung calon yang akan diketengahkan oleh Pakatan Rakyat, samada ia calon dari kawasan Parlimen Batu Sapi atau dari luar, Tamrin cuba berteka-teki dengan hanya menyebut; “Kita tunggulah, bila sampai masanya nanti kita akan tahu juga,” katanya ringkas.
Selain SAPP, PBS dan Pakatan Rakyat, terdapat beberapa lagi parti kecil di Sabah dijangka akan meletakkan calon mereka pada PRK tersebut termasuklah beberapa calon bebas.
Untuk rekod, pertandingan tiga penjuru sesuatu yang biasa dalam politik Sabah termasuklah pertandingan lapan penjuru di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada PRU lalu.
Pertembungan sesama sendiri pembangkang di Sabah antara resepi mudah untuk BN di negeri itu kekal ‘mencengkam’ Sabah sejak 20 tahun lalu.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha (Operasi) Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Noordin Che Ngah dilaporkan berkata, Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah setakat ini mengeluarkan 20 borang pencalonan untuk PRK itu yang mana bagi satu set borang itu berharga RM20.
"Saya tidak pasti sama ada semua borang itu akan diserahkan kembali. Kami hanya menjual, siapa-siapa pun boleh beli.
"Tetapi kalau ada yang memutuskan untuk bertanding nanti, saya berharap borang pencalonan akan diserahkan dengan deposit RM10,000 untuk bertanding sebagai calon Parlimen," kata Noordin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment