JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Monday, October 4, 2010
Pemilihan PKR Fahamilah mesej Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemecatan beliau dari parti Umno dan kerajaan pada 2 September 1998 bukan sahaja melahirkan gelombang reformasi malah gelombang rakyat itu juga tidak mampu untuk dihalang termasuklah tembok penjara sekalipun
Menurutnya, gelombang itu bukan sahaja melahirkan Parti Keadilan Nasional (keADILan) tetapi juga PKR selepas penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) seterusnya membentuk hampir 500,000 anggotanya yang kini terlibat dalam pemilihan secara langsung parti itu buat pertama kalinya bagi sebuah parti di Malaysia.
“Walaupun amalan ini bukanlah baru bagi kebanyakan parti-parti politik dalam sistem demokrasi yang matang di dunia, tetapi ini merupakan yang pertama di Malaysia.
Pemberian hak dan kuasa untuk ahli datang bersamanya tanggungjawab.
Kami yakin ahli-ahli akan menggunakan kuasa ini secara waras dan adil.
Adalah diakui dalam beberapa bulan yang lalu, bukanlah mudah bagi PKR. Kita masih menghadapi perjalanan yang jauh tapi sekurang-kurangnya kita maju ke hadapan dan bukan berpatah balik ke belakang.
Detik-detik menjelang hari pilihan raya parti menyaksikan tutur kata yang agak kasar daripada beberapa pemimpin yang tidak layak dipertuturkan oleh mereka yang mahu memegang jawatan yang diingini.
Dalam hal ini, dakwaan kritikan dilemparkan sebagai munculnya "budaya Umno" semasa berkempen untuk jawatan-jawatan dalam parti adalah tidak benar.
Pada masa yang sama, kita tidak dapat menafikan sepenuhnya wujud mereka yang ingin membawa masalah kepada ahli dan parti,” katanya dalam satu kenyataan kepada KABAR.
KABAR ialah akhbar politik yang sebelum ini dikenali sebagai Konsep Era Pakatan.
Sehubungan itu, Anwar menyeru setiap anggota PKR agar terus konsisten dalam perjuangan berdasarkan kematangan dan kewarasan untuk menentukan apa yang terbaik buat PKR.
“Rasa tidak puas hati dan perbezaan pendapat berhubung dasar-dasar adalah perkara biasa dan harus digalakkan dalam sebuah parti politik untuk memastikan demokrasi sentiasa subur dan aktif dengan penglibatan ahli.
Proses pemberian kuasa bukan hanya merupakan hak untuk mengundi tetapi juga untuk menyatakan sokongan atau penentangan.
Calon-calon juga mempunyak hak untuk mengemukakan agenda mereka dan untuk berkempen. Tetapi ia tidak harus menjadi suatu amalan tanpa batas.
Kesemua ini hendaklah berjalan di atas batas-batas kesopanan, tata susila dan rendah diri.
Terdapat peraturan yang harus diperhatikan. Inilah sebabnya kenapa kita mempunyai jawatankuasa pilihan raya yang bebas,” tegas Ketua Umum PKR itu.
Anwar turut menjelaskan sejak PKR ditubuhkan parti itu amat komited untuk berkhidmat kepada rakyat dengan memberi penekanan ke arah reformasi Malaysia.
“Kita menolak alasan yang diberikan oleh mereka yang berkuasa bahawa rakyat masih belum bersedia untuk menerima demokrasi sepenuhnya dan oleh itu harus bergantung kepada tongkat politik. Kita tidak mahu mereka ini.
Bertolak kepada keyakinan inilah kita memutuskan untuk mengadakan pilihan raya secara terus.
Kita yakin pemimpin-pemimpin terbaik dapat dilahirkan melalui proses ini dan pada masa yang sama, mereka menjadi lebih bertanggungjawab kepada ahli-ahli. Ini akan membantu kita menjadi lebih kuat!,” ujar Anwar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment