JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Sunday, October 24, 2010

Batu Sapi : Perwakilan Umno sindir PBS ?


Tidak cukup dengan tuntutan terbuka Umno pusat dan negeri untuk merampas kerusi sekutu mereka dalam BN, Perhimpunan Agung Umno kali ini tidak terlepas dari usaha Umno menyindir dan memperlekehkan sekutu mereka termasuklah Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bakal berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam Parlimen Batu Sapi.

Pergerakan Puteri Umno Sabah misalnya dilihat menyindir PBS dengan dakwaan bahawa sejak Umno ‘merampas’ Sabah pada tahun 1994, Umno melakukan lebih baik berbanding parti-parti lain yang menerajui kerajaan negeri Sabah sebelum itu.

“Perbezaan pembaharuan yang berlaku sejak Umno menerajui pentadbiran di Sabah mulai 1994 berbanding pemerintahan parti-parti politik sebelumnya adalah ibarat "langit dan bumi",” kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah, Musliati Moslimin.

Musliati, 37, berkata paling ketara adalah di ibu negeri, Kota Kinabalu, yang menyaksikan pembangunan fizikal menyeluruh meliputi peluang perniagaan, perluasan kemudahan lapangan terbang, universiti dan kompleks pejabat.

"Daripada segi pelancongan, kalau kita lihat contohnya di Kundasang, Keningau, Lahad Datu dan Semporna, kerajaan (negeri) buat jalan raya, rumah kedai, selain pembangunan resort dan inap desa untuk tarik pelancong," tambahnya lagi seperti yang dilaporkan BERNAMA.

PBS ialah kerajaan negeri Sabah sebelum tahun 1994 di mana presiden parti itu, Pairin Kitingan ialah Ketua Menteri Sabah sebelum kerajaanya tumbang selepas beberapa Adun PBS melompat ke dalam BN.

Rekod menunjukkan, ini bukan kali pertama PBS disindir oleh Umno malah Umno negeri Sabah pernah menuntut beberapa kerusi milik PBS diserahkan kepada Umno.

Ketua Pemuda Umno Kota Kinabalu, Bahrul Razha Chuprat misalnya, pernah mendesak agar kerusi Parlimen Kota Kinabalu yang dimiliki PBS diserahkan kepada Umno walaupun jelas pengundi di kawasan itu majoritinya masyarakat Cina.

Menurut Bahrul, desakan itu dibuat atas dasar semangat setia kawan serta bagi menyelami sejauh mana konsep 1Malaysia dapat diterjemahkan oleh sekutu-sekutu BN khususnya di Sabah.

“Kita mahu melihat sejauh mana keikhlasan rakan-rakan lain dalam BN terhadap Umno terutamanya di kawasan bandar, kerana Umno selama ini telah banyak bertolak ansur dan membantu kejayaan calon-calon daripada parti komponen BN yang bertanding di kawasan majoriti orang Melayu dan Bumiputera Islam,” kata Bahrul pada 5 Julai lalu.

Parlimen Kota Kinabalu kini diwakil oleh Dr. Hiew King Chew dari DAP yang kini dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Pakatan Rakyat dalam PRK Parlimen Batu Sapi.

Selain PBS, sekutu BN di Sabah seperti UPKO, LDP dan PBRS pernah didesak agar kerusi milik mereka diserahkan kepada Umno.

Paling menarik apabila Naib Presiden Umno, Hishamuddin Hussin mahu sistem kuota dalam BN dikaji semula yang mana kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas kematian mendiang Edmund Chong Ket Wah.

“Kita perlu menang dan pastikan sistem kuota itu bukan satu kekangan untuk dapatkan sokongan. Pengalaman dalam pilihan raya lalu adalah satu peluang untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Kita tidak semestinya mengikut formula lama yang diamalkan sejak dulu. Mungkin corak lama sudah tidak lagi sesuai.

Pindaan Perlembagaan UMNO sendiri adalah hasil daripada pengalaman pilihan raya lalu," katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Selayang di Rawang pada 9 Oktober lalu.

Berita berkaitan di sini, di sini dan di sini.

juga di sini, di sini, dan di sini. juga di sini.

No comments: