JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, October 12, 2010

Batu Sapi : Hassnar atau Zainuddin?

Beberapa anggota PKR dalam Cabang Batu Sapi mahu PKR pusat memilih dua nama sebagai antara calon yang perlu dipertimbangkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi iaitu samada OKK Hassnar MP Ebrahim atau Zainuddin Hassan.

Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Induk Cabang Batu Sapi, Albaris Nasra mahu AJK PKR di Cabang itu diberi peranan untuk mengemukakan nama calon yang akan diturunkan kelak bagi memastikan PKR menang di PRK tersebut.

Menurutnya, calon itu seharusnya dalam kalangan mereka yang kalis ujian wang dan jawatan selain bukan calon import.

“Jika boleh, biarlah Jawatankuasa Cabang yang mengemukakan cadangan siapa yang akan diturunkan membawa panji-panji PKR kerana jika silap letak calon, PKR hanya akan gigit jari.

“Kalau letak calon yang boleh dibeli dengan wang ringgit atau tawaran jawatan atau calon import, lebih baik tidak payah bertanding kerana hanya memenatkan dan membazir wang parti sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Albaris mencadangkan OKK Hassnar MP Ebrahim sebagai calon PKR yang disifatkannya sebagai tokoh paling berpengaruh, matang dan mempunyai pengalaman untuk mematahkan strategi BN.

Albaris turut menegaskan bahawa OKK Hassnar mempunyai pakej lengkap untuk menjadi calon untuk menawan kerusi itu seterusnya membawa suara lebih garang di Parlimen selain membantu PKR untuk menawan Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Albaris turut memberitahu, sebagai satu-satunya peniaga bumiputera yang berjaya dan tokoh Anak Negeri yang disegani ramai, OKK Hassnar, mampu memenangi PRK itu namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan Cabang dan Majlis Pimpinan Negeri serta PKR Pusat untuk memutuskannya.

Untuk rekod, OKK Hassnar pernah bertugas sebagai Ketua Polis Daerah di Sandakan, Sabah selain aktif memperjuangkan hak rakyat di negeri itu dan sudah pasti perjuangan beliau itu tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

Di bidang politik, beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Cabang PKR Libaran dan kini merupakan Ketua Cabang PKR Batu Sapi yang dimenanginya dalam pertandingan tiga penjuru pada September lalu.

Dalam pertandingan itu, OKK Hassnar meraih 220 undi berbanding dua pencabarnya, Ahmad Ibrahim dan Mohd Din Mustapha yang masing-masing memperoleh 132 undi dan 50 undi.

“Kita kena pastikan PKR benar-benar bersih daripada petualang di dalam parti dan setakat ini kita bersyukur kerana PKR Sabah hampir kelihatan bersih sekalipun masih ada saki baki pengkhianat tegar di dalam PKR, tetapi syukur kerana pemimpin mula menerima saranan ahli.

“Kemenangan saya tidak penting, tetapi menentang BN secara berterusan sehingga menjelang pilihanraya umum akan datang adalah tugas penuh komited semua ahli PKR dan rakyat Sabah yang inginkan pembaharuan,” katanya selepas menang dalam pemilihan itu.

Bagi Aidil Kadir yang juga AJK Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Batu Sapi, beliau berpendapat Ketua Penerangan AMK Sabah, Zainuddin Hassan wajar dipilih sebagai calon sekiranya OKK Hassnar tidak berminat untuk bertanding pada PRK tersebut.

“Peluang saksama harus diberikan kepada pemimpin pelapis Angkatan Muda seperti Zainuddin kerana selama ini beliau tidak jemu-jemu memperjuangkan masalah rakyat di seluruh Sabah secara konsisten.

Jika Angkatan Muda tidak diberi peluang kali ini, bila lagi kami boleh membuktikan bahawa kami juga boleh memimpin,” katanya yang berkeyakinan Zainuddin berpotensi untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, AJK Cabang Batu Sapi, Aris Remigius, berpendapat Kawasan Batu Sapi memerlukan Wakil Rakyat yang dinamik dan mampu membawa isu rakyat ke Parlimen dan peluang saksama harus diberikan kepada Angkatan Muda yang selama ini menjadi tonggak perjuangan PKR di Sabah.

Aris juga berharap agar calon yang dipilih kelak merupakan anak tempatan yang yang mesra dan mudah didekati serta melihat peluang untuk menawan Parlimen itu amat cerah dengan meletakkan Zainuddin sebagai calon.

Difahamkan, Zainuddin dilahirkan Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekong yang terletak dalam Parlimen Batu Sapi.
Beliau berkelulusan Diploma Automotif dengan mendapat pendidikan awal di SM St. Michael, Sandakan Bandar.

Dalam bidang politik, beliau pernah menjawat Setiausaha Pemuda Bahagian Sekong, Setiausaha Bahagian Sekong dan Ketua Pemuda Bahagian Batu Sapi dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum berhijrah ke dalam PKR sejak tahun 1999 sehingga kini.

Dalam pemilihan PKR baru-baru ini, beliau mengekalkan jawatan Ketua AMK Cabang Batu Sapi merangkap Ketua Penerangan AMK Sabah serta berperanan sebagai Setiausaha Cabang Batu Sapi.

Zainuddin sudah bernikah dan mempunyai empat orang anak dan antara pimpinan AMK di Sabah yang kedepan dalam memperjuangkan hak rakyat.

SPR akan bermesyuarat pada 15 Oktiber ini berhubung persiapan Pilihan Raya di Parlimen Batu Sapi manakala Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Fuziah Salleh mengesahkan PKR akan mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK tersebut.

No comments: