KUALA LUMPUR 28 Okt: Hutang Negara berkurang pada zaman Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, namun melonjak selepas Datuk Seri Najib Razak mengambil alih kementerian itu.
Sepanjang Anwar menjadi menteri kewangan dari tahun 1991 hingga 1998, beliau berjaya mengurangkan hutang negara dan menukar belanjawan kerajaan kepada lebihan pendapatan dalam masa dua tahun sahaja.
Belanjawan itu berterusan sehingga beliau dipecat secara tidak adil pada 1998 oleh pentadbiran Mahathir.
Sebelum pelantikannya sebagai menteri kewangan, Malaysia mengalami belanjawan defisit selama hampir 20 tahun, namun selepas pemecatannya, Malaysia sekali lagi berdepan Belanjawan defisit selama 14 tahun berturut-turut.
Dapatan ini dikeluarkan badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) dalam satu analisa perbandingan antara pentadbiran Anwar dan juga Najib sebagai Menteri Kewangan.
Kajian itu menunjukkan semasa pentadbiran Anwar, hutang domestik berjaya dikekang di bawah RM80 bilion sehingga tahun 1997 dan RM88.197 bilion pada tahun 1998.
“Rekod Anwar sebagai Menteri Kewangan amat impresif. Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan sebenarnya berkurang antara tahun 1992 sehingga tahun 1996 selepas meningkat secara berterusan selama hampir 20 tahun.
“Secara perbandingan, hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan meningkat secara tekal pada kadar lebih 10 peratus setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2008,” kata KPRU dalam analisa itu yang dibuat bersama Ahli Parlimen Selayang, William Leong.
Menurut KPRU lagi, hutang negara yang meningkat secara berterusan itu diburukkan lagi oleh Barisan Nasional yang cenderung meluluskan belanjawan tambahan untuk menyorokkan angka hutang dan defisit negara yang terus meningkat saban tahun.
Belanjawan tambahan itu, kata KPRU, sepatutnya hanya perlu diluluskan untuk perkara-perkara yang bersifat kecemasan seperti sekiranya berlaku bencana alam di Jepun.
“Sebagai contoh, dalam Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) dibentangkan Jun tahun ini, pentadbiran Najib dikritik kerana memanipulasi peruntukan emolumen RM1 bilion untuk Kementerian Kesihatan kerana emolumen sepatutnya tidak tergolong sebagai perbelanjaan di luar jangka,” kata KPRU.
Ini menyebabkan hutang negara semakin meningkat setiap tahun sejak Najib menjadi Menteri Kewangan, kata KPRU.
“Hutang keseluruhan Kerajaan Persekutuan adalah RM306.437 bilion pada tahun 2008 apabila Najib mengambil alih sebagai Menteri Kewangan, Ia meningkat kepada RM362.387 bilion pada tahun 2009 dan RM407.101 bilion pada tahun 2010. Ia diunjurkan mencecah RM455.745 bilion pada tahun 2011.
“Menurut laporan terkini Bank Negara Malaysia pada 30 Jun 2011, hutang Kerajaan Persekutuan kini sudah mencecah RM437 bilion,” kata KPRU.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=22286
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment