DALAM keriuhan ura-ura penutupan Radio Muzik RTM, nasib yang menimpa Radio Suara Islam dan Voice of Islam (VOI) yang tidak lagi bersiaran di radio sejak 31 Ogos lalu tidak ramai yang peduli.
Radio Muzik kini dikenali sebagai NasionalFM yang sebelum ini digabungkan dengan KlasikFM.
Klasik FM kini dikenali sebagai Klasik Nasional dengan fokus lagu-lagu lama dan irama Malaysia.
Berbalik kepada Radio Suara Islam dan Voice of Islam (VOI), setelah 17 tahun berkumandang di udara, radio yang banyak berjasa kepada ummah itu seolah-olah dihukum sebelum diadili.
Walaupun berjaya menampilkan diri menjadi suara intelek yang menyebarkan pemikiran ilmiah namun usaha murninya tidak dihargai.
Dilancarkan pada 17 April 1995 oleh Menteri Penerangan, Tan Sri (ketika itu Datuk) Mohamed Rahmat di bawah perkhidmatan Suara Malaysia ia bukan setakat melaungkan syiar Islam dan kemajuan ummah tetapi bagi menaikkan imej Malaysia yang sentiasa dipandang tinggi oleh negara-negara luar.
Ia bersiaran dalam dua bahasa iaitu Suara Islam dalam bahasa Malaysia dan Voice of Islam dalam bahasa Inggeris.
Radio Suara Islam boleh diikuti selama tiga jam setiap hari dari 10 malam hingga 1 pagi melalui frekuensi 91.1FM dalam negara dan menerusi gelombang pendek untuk siaran ke luar negara.
Voice of Islam yang dikhususkan untuk siaran ke luar negara pula boleh diikuti menerusi gelombang pendek sw 6175khz-48M, sw 9750 Khz-31 M dan sw 15295 khz-19M.
Namun di sebalik peranan pentingnya itu, siaran kedua dua saluran ini dipendekkan kepada dua jam mulai pertengahan tahun lalu. Walaupun beroperasi hanya dua jam ia padat dengan ilmu yang bermanfaat, sesuai dengan semua peringkat umur, di samping juruhebah yang bermaklumat. Bilangan pendengarnya makin bertambah, lebih-lebih lagi siarannya boleh diikuti di beberapa negara termasuk Indonesia, Australia dan di Eropah.
Sumbangannya dalam penyuburan dan percambahan pemikiran Islam sangat besar khususnya siaran berbentuk intelektual seperti Tamadun Islam, cendekiawan Islam, kupasan ayat suci al-Quran dan hadis, Islam dan sains, pembelajaran bahasa Arab, dan Tazkirah,
Pengisian itu turut disajikan dalam Voice of Islam seperti Food For Thought, World of Islam, Islam and Science, Enchanting Malaysia, Islamic Fiqh, Halal Hub, news and Today In History.
Radio Suara Islam dan VOI juga memberi maklumat mengenai Malaysia yang kaya dengan keindahan semulajadinya, budaya dan adat resam rakyatnya yang berbilang kaum, dasar-dasar kerajaan, pegangan dan pendiriannya dalam pelbagai isu, cita-cita dan wawasannya di tengah-tengah arus pembangunan dunia yang tiada sempadan dalam slot 1Malaysia
Juruhebah bertugas memberikan tips-tips mengenai pelancongan dan isu semasa yang membuka laluan bagi pelancong dan pelabur luar datang ke Malaysia.
Berbeza dengan kebanyakan radio lain yang menyiarkan rancangan berbentuk hiburan, Radio Suara Islam dan Voice of Islam mempunyai kelainan yang menyebabkannya popular.
Ia mengekalkan penyiaran berbentuk ilmiah sebagai tumpuan utama dengan sedikit hiburan sekadar menarik perhatian pendengar, selain berita khusus dari Suara Islam yang menumpukan berita tentang umat Islam dalam atau luar negara.
Awal tahun ini, Suara Islam dan Voice of Islam memperkenalkan rancangan baru Hab halal dalam bahasa Melayu dan Inggeris, bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat Islam bahawa mencari yang halal itu Fardu .
Satu lagi rancangan baru Why I Choose Islam menceritakan pengalaman mereka yang bukan Islam mendapat hidayah. Rancangan Tamadun Islam, yang menampilkan penyertaan ilmuwan dari universiti.
Ia mengupas kehebatan umat Islam dahulu yang berjaya membina tamadun sehingga menjadi ikutan Barat. Kedua-dua stesen ini tidak ketinggalan menyiarkan rancangan khas mengikut takwim hijrah dan kalendar masehi. Antaranya maulidur rasul, maal hijrah, isra' mikraj, haji, hari alam sekitar, hari air sedunia, dan hari ibu. Juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam siaran langsung tilawah al-Quran setiap tahun.
Dengan masalah sosial yang serius terutama di kalangan remaja Islam, radio merupakan saluran berkesan untuk menangani gejala negatif itu.
RTM yang merupakan badan penyiaran unggul dalam usianya 65 tahun sewajarnya mengambil peranan utama untuk menyebarkan dakwah Islam sebagai sumbangannya menangani masalah itu.
Memandangkan Islam merupakan agama rasmi negara ini, RTM sebagai 'abang sulung' sepatutnya mempunyai saluran khusus berdakwah ke jalan Allah.
Meletakkan kerja dakwah kepada Institut Kefahaman Islam Malaysia atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sangat tidak memadai. Kerja dakwah adalah tanggungjawab semua. RTM perlu mempunyai saluran khas menyampaikan dakwah, memberi penjelasan yang betul mengenai Islam agar Islam itu difahami bukan sahaja masyarakat Islam bahkan masyarakat bukan Islam.
Apa pun alasannya penutupan radio Suara Islam dan Voice of Islam adalah langkah terkebelakang dan tidak boleh diterima. Kalaulah kewangan menjadi punca ia ditutup, kita berkeyakinan banyak pihak yang sedia menaja berdasarkan rancangan-rancangannya yang berkualiti.
Kedua-dua stesen itu kini diletakkan di Internet yang sangat sukar diikuti, lebih-lebih lagi bagi mereka yang biasa mendengar ketika memandu. Ini menguatkan lagi hujah bahawa kedua-dua stesen itu bakal mencipta sejarah malangnya.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment