JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Tuesday, February 7, 2012
60 Peratus Veteran Tentera Di Sarawak Didakwa Hidup Miskin
Mereka terdiri daripada veteran tentera yang tidak menerima pencen selepas menamatkan perkhidmatan, katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kebajikan kepada anggota veteran oleh Panglima Tiga Briged, Brig Jen Hasagaya Abdullah.
Monday berkata JHEV sedang menggiatkan usaha mencari dan mendaftar kesemua veteran tentera di negeri itu, namun setakat ini usaha berkenaan hanya berjaya mencatatkan 6,500 orang.
"Lebih separuh lagi yang belum mendaftar dengan kami dan kita akan menggunakan jaringan hubungan dengan 18 buah cawangan Persatuan Bekas Perajurit di negeri ini untuk menyampaikan maklumat jabatan kepada veteran yang terlibat," katanya pada 25 Januari 2012, lapor Bernama.
Monday berkata JHEV Sarawak bercadang mengadakan lapan program kaunter bergerak sebagai satu lagi strategi melebarkan jangkauannya di negeri itu.
Menurutnya masalah logistik di kawasan luar bandar Sarawak telah dikenal pasti sebagai antara punca yang mengekang veteran tentera untuk mendaftar dengan JHEV.
"Ada juga segelintir bekas tentera yang kurang berminat untuk mendaftar atas alasan tidak memberikan apa-apa faedah kepada mereka, tetapi jumlah mereka ini sedikit sahaja," katanya.
JHEV ATM yang terletak di bawah Kementerian Pertahanan ditubuh pada 2001.
"Selain skim bantuan sara hidup, pendidikan sekolah, pendidikan tinggi, perubatan dan bencana, jabatan juga menyediakan perkhidmatan bimbingan dan bantuan keusahawanan untuk bekas tentera," kata Monday.
Saturday, August 6, 2011
Kisah si miskin di Bulan Ramadhan
Cukup sekadar mengalas perut, hidangan ala kadar seperti air, nasi dan sayur adalah hidangan tetap bagi keluarga Rejab Mustapa, 68, serta isteri dan lapan anaknya berbuka puasa.
“Walaupun keadaan serba daif, kami sekeluarga tetap menunaikan ibadah puasa dan setiap hari kami berbuka ala kadar.
“Sayur adalah lauk yang pasti dan kadangkala, sekira-nya ada wang lebih, saya cuba untuk membeli ikan atau ayam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Midin Samariang, Sarawak pada 4 Ogos lalu.
Rejab secara keseluruhannya mempunyai sembilan anak dengan yang sulung berusia 26 tahun kini membina kehidupan sendiri di Semenanjung Malaysia.
Manakala anak bongsunya pula berusia tiga tahun dan membesar bersamanya di sebuah rumah usang serba kekurangan.
Biarpun usia menjangkau usia emas, Rejab tetap bekerja membanting tulang memandangkan beliau ada lapan anak dalam tanggungannya dengan tiga daripadanya masih bersekolah.
Bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan, pendapatannya sebulan sekitar RM700 dan isterinya pula berpendapatan RM300 sebagai tukang cuci dan secara kesuluruhan, pendapatan mereka adalah di bawah garis kemiskinan bandar.
“Sebenarnya kesihatan saya tidak baik sekarang selepas menghidap demam pada 2009 dan sejak itu, saya menghadapi masalah pernafasan sehingga kini.
“Tengoklah keadaan rumah saya, disebabkan tidak mampu melakukan kerja berat, saya tidak mampu membaikinya” kata Rejab yang kelihatan penat dimamah usia.
Ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi-agensi kebajikan yang lain, beliau berkata bahawa beliau tidak pernah memohon sebarang bantuan.
Katanya, walaupun beliau seorang yang hidup susah, beliau tidak pandai untuk menadah tangan untuk meminta daripada orang lain.
“Selagi saya masih mempunyai kudrat untuk bekerja, saya tetap akan berusaha untuk menyara keluarga…namun saya juga tidak sombong untuk menerima bantuan mereka yang benar-benar ikhlas hendak menolong,” katanya.
Bulan Ramadan menuntut orang Islam untuk menahan lapar dan dahaga bukannya tanpa sebab tertentu tetapi antaranya adalah untuk mengingati penderitaan golongan yang hidup susah.
Ia juga mengajar umat Islam untuk menyebarkan perasan kasih sayang dan saling bantu membantu sesama saudara seagama.
Sarawak ketika ini diperintah Ketua Menteri paling lama di Malaysia iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau juga didakwa memiliki kekayaan luar biasa hasil cengkaman kuasanya di negeri itu lebih 30 tahun, suatu tempoh masa sama dengan rejim Mesir yang digulingkan rakyatnya, Hosni Mubarak.
Monday, July 11, 2011
Rumah rakyat sarang tikus, rumah Ketua Menteri dipenuh fulus
LIMBANG: Persekitaran umpama sarang tikus, berbau hanyir, meloyakan dan usang, begitulah keadaan rumah sepasang suami isteri warga emas yang menghuni rumah Kampung Bungsiol di sini, sejak lebih 40 tahun lalu akibat kemiskinan.Tidak ramai masyarakat kita yang dapat hidup selesa dengan bertilamkan timbunan pakaian usang dan barangan lama yang hanya layak menjadi habitat serangga berbisa seperti kala jengking dan lipan.
Bagi bekas pesara kerajaan yang pernah berkhidmat sebagai pengutip sampah bagi sebuh pihak berkuasa tempatan (PBT), Hidup Abdul Rahman, 67, itulah dunia sebenar bagi dia dan isterinya yang sudah sebati dengan pemandangan kotor dan meloyakan bagi sesetengah orang lain.
“Kami tiada pilihan. Di sinilah tempat kami berteduh daripada panas dan hujan lebih 40 tahun lalu.
“Orang lain mungkin akan berasa jijik dengan keadaan rumah kami yang seperti sarang tikus ini,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.
Hidup yang lebih dikenali dengan panggilan Pakcik Kubak di daerah ini, berkata selain persekitaran yang sempit akibat himpunan pakaian, keadaan atap rumah bocor, lantai dan dinding semakin mereput turut menimbulkan kebimbangan kepada mereka.
Selain itu, isterinya Lusi Tuyu, 74, yang menghidap sakit kaki juga tidak mampu berjalan dan Hidup terpaksa menguruskan makan dan minumnya sejak beberapa tahun lalu.
“Kerja rumah termasuk memasak dan mencuci pakaian diuruskan oleh saya kerana keadaan kesihatan isteri yang tidak mengizinkan.
“Saya juga akan membawa isteri menggunakan kerusi roda sejauh lebih empat kilometer ke bandar dan hospital setiap bulan,” katanya.
Mereka yang tidak mempunyai cahaya mata hanya bergantung kepada pencen yang diterima Hidup untuk membeli ubat dan barang keperluan lain.
Akibat kemiskinan hidup, mereka hanya mampu makan nasi dan telur goreng setiap hari bagi hidangan tengah hari dan malam.
Selain isterinya, Hidup turut ditemani oleh Siyut, seekor monyet jantan yang turut mendiami rumah terbabit yang menjadi penghibur kepada mereka suami isteri.
“Walaupun susah, kehidupan kami memang tidak sunyi kerana ada Siyut dan beberapa kucing yang menjadi ‘ahli keluarga’ selain timbunan pakaian dan barang usang yang ‘mendiami’ rumah kami,” ujarnya.
Hidup menjelaskan bahawa sejak bekerja sebagai pengutip sampah, dia gemar membawa pulang barang buangan dan tabiat itu menjadi hobi yang sukar ditinggalkan.
“Barangan terpakai saya simpan di rumah menyebabkan kawasan rumah kami sudah padat dan tiada ruang untuk makan dan tidur. Kadangkala barangan tersebut terpaksa saya buang bagi mengurangkan kesesakan,” jelasnya.
Melihat keadaan rumahnya yang semakin uzur, Hidup dan isterinya pernah memohon bantuan rumah kepada pihak berkaitan namun ditolak dengan alasan dia masih mempunyai wang pencen.
“Sudah dua kali saya memohon bantuan rumah dan berjumpa dengan pihak berkaitan tetapi ditolak,” ujarnya yang tidak menerima bantuan kebajikan kerana tidak pernah memohon sebelum ini.
Hidup berkata, kemudahan kerusi roda diberikan oleh Hospital Miri sewaktu isterinya mendapatkan rawatan suatu ketika dulu.
Sehubungan itu dia berharap kesusahan hidupnya mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak terbabit termasuk bantuan rumah agar mereka dapat merasa hidup dalam keadaan lebih selesa sebelum menutup mata.
Menurut jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Bedah, 45, kemelaratan hidup pasangan suami isteri itu menyentuh perasaan mereka yang sering menghantar makanan dan barangan lain.
Bedah yang mendiami kawasan berhampiran sejak 20 tahun lalu menganggap Hidup dan isterinya sebagai keluarga angkat.
“Suami saya juga pernah membantu membawa papan bagi mengganti lantai yang uzur di bahagian dapur rumah mereka.
“Saya ada syorkan kepada mereka agar timbunan pakaian dan barangan lain dibuang sedikit demi sedikit agar persekitaran rumah nampak lebih bersih,” ujarnya.
Bedah yang bersimpati dengan kesusahan hidup warga emas itu mahu pihak berwajib menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Ahli Parlimen Limbang ialah Ahmad Lai Bujang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB-BN).
PBB dipimpin Ketua Menteri paling lama di Malaysia, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memiliki harta luar biasa sejak memerintah Sarawak 30 tahun lalu.
Wednesday, September 23, 2009
AIDILFITRI BAGI SI MISKIN

Caption:
1.BANTU KAMI...Mokhtar bersama anak-anaknya ketika berada di hadapan rumah usang mereka ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
2.MEMILUKAN...Keluarga Mokhtar terpaksa bergantung kepada dapur usang di dalam rumah mereka ini bagi tujuan memasak atau memanaskan air.
3. DAIF...Beginilah keadaan rumah keluarga Mokthar ketika dikunjungi Utusan Sarawak.
SIMUNJAN, Selasa (22 Sept) – Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 yang bermula semenjak hari Ahad lalu sudah semestinya disambut meriah oleh seluruh umat Islam dalam dunia khususnya di Malaysia.
Kemeriahan sambutan perayaan hari mulia ini terasa apabila umat Islam mengadakan aktiviti mengunjungi sanak saudara dan rakan masing-masing setelah sebulan ‘berjuang’ menahan hawa nafsu ketika berlangsungnya bulan Ramadhan sebelum ini.
Namun keadaan sebaliknya berlaku terhadap keluarga Mokhtar bin Abdullah dari Kampung Spaoh Raba, Simunjan apabila faktor kemiskinan menyebabkan keluarga ini tidak mampu menikmati dan meraikan sambutan Hari Raya berbanding dengan keluarga berkemampuan di situ.
Tinggal di rumah kecil yang usang, Mokhtar atau nama sebenarnya sebelum memeluk Islam iaitu Mathew anak Dana, 43, terpaksa mengutamakan keperluan sara hidup lima orang anaknya dengan bertani dan mengambil upah sebagai buruh sambilan selama ini.
“Kehidupan kami sekeluarga lebih terseksa semenjak ditinggalkan isteri kira-kira enam bulan lepas. Kini tanggungjawab untuk menjaga lima orang anak terletak di bahu saya seorang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Walaupun anak keduanya iaitu Flora, 16, sudah berkahwin namun Mokthar masih mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membesarkan empat orang lagi anaknya yang lain iitu Helmy, 18, Ira Fanzira, 14, Florina, 12 dan Khairul Faizal, 10.
“Pendapatan kasar saya hanya RM250 sebulan. Untuk membelanjakan keperluan hidup anak-anak sahaja sudah tidak cukup jangankan pula ketika hendak berbelanja untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Justeru apa yang mampu kami anak beranak lakukan adalah duduk di rumah sahaja dan bersembahyang kepada Tuhan agar meringankan bebanan yang ditanggung oleh kami sekeluarga selama ini,” menurut beliau.
Dengan dua orang anaknya yang masih bersekolah ketika ini iaitu Florina dan Khairul, beliau berharap agar ada pihak yang tampil untuk membantu mengurangkan bebanan keluarga selepas ini.
“Hendak menyambut perayaan hari mulia ini secara ala kadar pun tidak mampu memandangkan hidup kami sekeluarga umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya sambil menambah bahawa beliau belum pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan sebelum ini.
Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa rumah keluarga terbabit hanya mempunyai satu ruang tamu dan satu ruang dapur. Untuk mandi, keluarga berkenaan terpaksa keluar dari rumah untuk mendapatkan sumber air dari paip air berdekatan.

