JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, July 11, 2011

Rumah rakyat sarang tikus, rumah Ketua Menteri dipenuh fulus

LIMBANG: Persekitaran umpama sarang tikus, berbau hanyir, meloyakan dan usang, begitulah keadaan rumah sepasang suami isteri warga emas yang menghuni rumah Kampung Bungsiol di sini, sejak lebih 40 tahun lalu akibat kemiskinan.

Tidak ramai masyarakat kita yang dapat hidup selesa dengan bertilamkan timbunan pakaian usang dan barangan lama yang hanya layak menjadi habitat serangga berbisa seperti kala jengking dan lipan.

Bagi bekas pesara kerajaan yang pernah berkhidmat sebagai pengutip sampah bagi sebuh pihak berkuasa tempatan (PBT), Hidup Abdul Rahman, 67, itulah dunia sebenar bagi dia dan isterinya yang sudah sebati dengan pemandangan kotor dan meloyakan bagi sesetengah orang lain.

“Kami tiada pilihan. Di sinilah tempat kami berteduh daripada panas dan hujan lebih 40 tahun lalu.

“Orang lain mungkin akan berasa jijik dengan keadaan rumah kami yang seperti sarang tikus ini,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo semalam.

Hidup yang lebih dikenali dengan panggilan Pakcik Kubak di daerah ini, berkata selain persekitaran yang sempit akibat himpunan pakaian, keadaan atap rumah bocor, lantai dan dinding semakin mereput turut menimbulkan kebimbangan kepada mereka.

Selain itu, isterinya Lusi Tuyu, 74, yang menghidap sakit kaki juga tidak mampu berjalan dan Hidup terpaksa menguruskan makan dan minumnya sejak beberapa tahun lalu.

“Kerja rumah termasuk memasak dan mencuci pakaian diuruskan oleh saya kerana keadaan kesihatan isteri yang tidak mengizinkan.

“Saya juga akan membawa isteri menggunakan kerusi roda sejauh lebih empat kilometer ke bandar dan hospital setiap bulan,” katanya.

Mereka yang tidak mempunyai cahaya mata hanya bergantung kepada pencen yang diterima Hidup untuk membeli ubat dan barang keperluan lain.

Akibat kemiskinan hidup, mereka hanya mampu makan nasi dan telur goreng setiap hari bagi hidangan tengah hari dan malam.

Selain isterinya, Hidup turut ditemani oleh Siyut, seekor monyet jantan yang turut mendiami rumah terbabit yang menjadi penghibur kepada mereka suami isteri.

“Walaupun susah, kehidupan kami memang tidak sunyi kerana ada Siyut dan beberapa kucing yang menjadi ‘ahli keluarga’ selain timbunan pakaian dan barang usang yang ‘mendiami’ rumah kami,” ujarnya.

Hidup menjelaskan bahawa sejak bekerja sebagai pengutip sampah, dia gemar membawa pulang barang buangan dan tabiat itu menjadi hobi yang sukar ditinggalkan.

“Barangan terpakai saya simpan di rumah menyebabkan kawasan rumah kami sudah padat dan tiada ruang untuk makan dan tidur. Kadangkala barangan tersebut terpaksa saya buang bagi mengurangkan kesesakan,” jelasnya.

Melihat keadaan rumahnya yang semakin uzur, Hidup dan isterinya pernah memohon bantuan rumah kepada pihak berkaitan namun ditolak dengan alasan dia masih mempunyai wang pencen.

“Sudah dua kali saya memohon bantuan rumah dan berjumpa dengan pihak berkaitan tetapi ditolak,” ujarnya yang tidak menerima bantuan kebajikan kerana tidak pernah memohon sebelum ini.

Hidup berkata, kemudahan kerusi roda diberikan oleh Hospital Miri sewaktu isterinya mendapatkan rawatan suatu ketika dulu.

Sehubungan itu dia berharap kesusahan hidupnya mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak terbabit termasuk bantuan rumah agar mereka dapat merasa hidup dalam keadaan lebih selesa sebelum menutup mata.

Menurut jirannya yang hanya mahu dikenali sebagai Bedah, 45, kemelaratan hidup pasangan suami isteri itu menyentuh perasaan mereka yang sering menghantar makanan dan barangan lain.

Bedah yang mendiami kawasan berhampiran sejak 20 tahun lalu menganggap Hidup dan isterinya sebagai keluarga angkat.

“Suami saya juga pernah membantu membawa papan bagi mengganti lantai yang uzur di bahagian dapur rumah mereka.

“Saya ada syorkan kepada mereka agar timbunan pakaian dan barangan lain dibuang sedikit demi sedikit agar persekitaran rumah nampak lebih bersih,” ujarnya.

Bedah yang bersimpati dengan kesusahan hidup warga emas itu mahu pihak berwajib menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Ahli Parlimen Limbang ialah Ahmad Lai Bujang dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB-BN).

PBB dipimpin Ketua Menteri paling lama di Malaysia, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang memiliki harta luar biasa sejak memerintah Sarawak 30 tahun lalu.

No comments: