Ketika sesetengah orang menyambut Ramadan penuh keriangan dengan pelbagai juadah berbuka puasa bersama keluarga serta sahabat-handai, ada sesetengah golongan tetap bersyukur apa yang ada.
Cukup sekadar mengalas perut, hidangan ala kadar seperti air, nasi dan sayur adalah hidangan tetap bagi keluarga Rejab Mustapa, 68, serta isteri dan lapan anaknya berbuka puasa.
“Walaupun keadaan serba daif, kami sekeluarga tetap menunaikan ibadah puasa dan setiap hari kami berbuka ala kadar.
“Sayur adalah lauk yang pasti dan kadangkala, sekira-nya ada wang lebih, saya cuba untuk membeli ikan atau ayam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Midin Samariang, Sarawak pada 4 Ogos lalu.
Rejab secara keseluruhannya mempunyai sembilan anak dengan yang sulung berusia 26 tahun kini membina kehidupan sendiri di Semenanjung Malaysia.
Manakala anak bongsunya pula berusia tiga tahun dan membesar bersamanya di sebuah rumah usang serba kekurangan.
Biarpun usia menjangkau usia emas, Rejab tetap bekerja membanting tulang memandangkan beliau ada lapan anak dalam tanggungannya dengan tiga daripadanya masih bersekolah.
Bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan, pendapatannya sebulan sekitar RM700 dan isterinya pula berpendapatan RM300 sebagai tukang cuci dan secara kesuluruhan, pendapatan mereka adalah di bawah garis kemiskinan bandar.
“Sebenarnya kesihatan saya tidak baik sekarang selepas menghidap demam pada 2009 dan sejak itu, saya menghadapi masalah pernafasan sehingga kini.
“Tengoklah keadaan rumah saya, disebabkan tidak mampu melakukan kerja berat, saya tidak mampu membaikinya” kata Rejab yang kelihatan penat dimamah usia.
Ditanya sama ada beliau ada menerima sebarang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi-agensi kebajikan yang lain, beliau berkata bahawa beliau tidak pernah memohon sebarang bantuan.
Katanya, walaupun beliau seorang yang hidup susah, beliau tidak pandai untuk menadah tangan untuk meminta daripada orang lain.
“Selagi saya masih mempunyai kudrat untuk bekerja, saya tetap akan berusaha untuk menyara keluarga…namun saya juga tidak sombong untuk menerima bantuan mereka yang benar-benar ikhlas hendak menolong,” katanya.
Bulan Ramadan menuntut orang Islam untuk menahan lapar dan dahaga bukannya tanpa sebab tertentu tetapi antaranya adalah untuk mengingati penderitaan golongan yang hidup susah.
Ia juga mengajar umat Islam untuk menyebarkan perasan kasih sayang dan saling bantu membantu sesama saudara seagama.
Sarawak ketika ini diperintah Ketua Menteri paling lama di Malaysia iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Beliau juga didakwa memiliki kekayaan luar biasa hasil cengkaman kuasanya di negeri itu lebih 30 tahun, suatu tempoh masa sama dengan rejim Mesir yang digulingkan rakyatnya, Hosni Mubarak.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment