JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, August 6, 2012

Tindakan Lajim, susahkan jentera Umno

Tindakan Datuk Seri Lajim Ukin menyokong Pakatan Rakyat menyukarkan pergerakan Jabatan Penerangan Sabah, kata Pengarahnya, Almain Ajirul.

Ini kerana katanya, Lajim meruapakan antara pemimpin penting dalam jentera itu selain tahu selok-belok dan maklumat penting berkaitan kepentingan rakyat Sabah sejak sekian lama.

"Kami berkomunikasi, berdailog dan berbincang banyak perkara bersama Datuk Lajim yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Maklumat dalam jabatan ini.

"Sekarang kami tidak lagi boleh berbuat demikian (kerana beliau menyokong Pakatan Rakyat)," katanya pada majlis kunjungan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Abu Bakar Hassan di Wisma Dang Bandang Kota Kinabalu 1 Ogos lalu.

Jabatan Penerangan merupakan alat komunikasi penting kerajaan untuk memberi penjelasan dan mempromosikan dasar dan program pembangunan kepada rakyat serta diberi kepercayaan untuk menilai sentimen rakyat terhadap kerajaan Umno BN, dasar dan programnya.

Terdahulu, Almain dimaklumkan bahawa Jabatan itu kini mempunyai 363 kakitangan dengan 179 atau 50 peratus daripadanya berada di Kota Kinabalu.

Jabatan itu mempunyai pejabat utama di Kota Kinabalu dan setiap daerah di negeri itu turut memiliki jabatan sama.

Pada 29 Julai lalu, Lajim meletak jawatan sebagai Pengerusi Umno BN Beaufort, enggan bertanding pada pemilihan Umno mendatang dan sudah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu pada pertengahan Jun lalu.

Lajim turut dipecat sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 30 Julai lalu dan sedang menanti untuk dipecat selepas enggan menjawab keahliannya dalam Umno pada surat tunjuk sebab yang diberi padanya sejak 1 Ogos lalu.

Friday, August 3, 2012

'Pecat Frankie macam Lajim'

'Pecat Frankie macam Lajim'

Masdar Wahid

Datuk Frankie Chong wajar dipecat dari jawatannya selaku Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagaimana pemecatan Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Dr Johnson Tee.

Ini kerana kata Johnson, Frankie yang juga ahli Parti Maju Sabah (SAPP) turut menentang BN termasuk berkempen dalam DUN Sook yang diwakili PBRS sejak akhir-akhir ini.

"Datuk Frankie Chong tidak harus diberi peluang menggunakan kemudahan BN apabila dia sudah mengisytihar untuk menjatuhkan BN," katanya semalam.

SAPP meninggalkan BN pada 17 September 2008, manakala PBRS ialah sekutu terkecil BN Sabah dengan parti itu hanya diberi DUN Sook dan kerusi Parlimen Pensiangan, kawasan yang menjadi sasaran untuk ditawan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Tarikh PRU-13, Najib ikut negeri Pakatan, paling lewat November - Menteri

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan Datuk Seri Najib Razak enggan membubar Parlimen sekarang kerana terpaksa mengikut negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.

“Jadi sekarang kita berada pada pertengahan jalan di mana jika kita membubarkan Parlimen sekarang, negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat tidak mampu untuk tidak dibubarkan.

“Ini mungkin perkara yang menghalang Perdana Menteri daripada mengumumkan pembubaran pada waktu itu walaupun beliau mungkin mahu berbuat demikian.

"Tetapi jika beliau merasakan pihak pembangkang tidak akan membubarkan kerajaan tidak guna pilihan raya diadakan kerana selepas pilihan raya kita masih hilang empat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan biji benih labu di Dewan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Samarahan semalam.

Dalam ucapannya sebelum itu, Karim berkata, menyatakan PRU13 kemungkinan akan diadakan dalam tiga bulan ini iaitu September, Oktober dan selewat-lewatnya November tahun ini.

“Jadi mungkin itu sebabnya kenapa mereka perlu menunggu sehingga selepas (sambutan) merdeka atau perayaan Hari Raya atau dalam bulan September, Oktober dan November…itulah pandangan saya,” katanya lagi.

15 AJK Umno Beaufort letak jawatan, sokong Lajim

15 dan 19 Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Beaufort sudah meletak jawatan dan menyokong penuh tindakan Datuk Seri Lajim Ukin menubuh Pakatan Perubahan Sabah (PPS) untuk perjuangan rakyat, kata Ahli jawatankuasa (AJK) PPS, Ahmad Said.

Ahmad mengulas dakwaan Setiausaha BN negeri, Datuk Abdul Rahman konon keputusan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin untuk meninggalkan BN atas pilihan peribadi.

Ahmad berkata, majoriti pemimpin Umno di 19 bahagian juga menyokong Lajim termasuk wanita dan pemuda dalam Parlimen Beaufort.

"Kesetiaan kami kepada Lajim bukan membuta-tuli kerana kami percaya perjuangan beliau untuk membawa perubahan kepada rakyat Sabah," katanya semalam.

Sokongan kepada Lajim juga katanya dilihat dengan kehadiran lebih 10,000 rakyat pelbagai pada pelancaran PPS di Sabah baru-baru ini ke arah kebangkitan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, sudah menjadi kebiasaan tindakan pemimpin Umno menafi hakikat sebenar setiap kali parti itu ditolak rakyat.

Seorang lagi AJK PPS, Ibrahim Salim, berkata Rahman tidak layak bercakap mengenai kekuatan BN Beaufort kerana hanya rakyat kawasan itu sahaja tahu kekuatan dan sumbangan Lajim kepada mereka sejak sekian lama.

"Ia adalah lebih baik jika Abdul Rahman memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab di kawasan Parlimen Kota Belud kerana sebagai calon import, beliau mungkin akan kalah pada PRU akan datang," katanya.

Bagi seorang lagi AJK PPS, Safari Lidan, tindakan pemimpin BN menyerang Lajim merupakan budaya mereka terhadap mana-mana individu yang menjadi ancaman kepada Umno.

'Terima pemecatan dengan hati terbuka' - Lajim

Masdar Wahid

Ahli parlimen Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin menerima dengan hati terbuka pemecatan beliau sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya tidak boleh menafikan kuasa Perdana Menteri untuk membatalkan jawatan saya. "Jadi, saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka," katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu semalam.

Mengenai keahliannya dalam Umno, Lajim memutuskan sama ada akan membalas surat tunjuk sebab yang diberikan kepadanya atau terus mengabaikannya.

Lajim yang juga Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) menasihatkan suku kaum itu memberi tumpuan kepada pembangunan kumpulan etnik dari segi pendidikan dan taraf hidup tanpa mengira fahaman politik.

"Saya presiden PBBS sejak 1980-an dan kami mempunyai lebih 20,000 anggota seluruh negeri, tetapi tidak semua mereka terlibat secara aktif dalam politik.

"Objektif utama kami ialah membantu masyarakat Bisaya Sabah memperbaiki taraf hidup mereka termasuk mempunyai taraf pendidikan yang baik," katanya lagi.

Wednesday, August 1, 2012

Ini sebabnya saya tinggalkan BN - Senator Dewan Negara

Masdar Wahid.

Isu kemiskinan rakyat Sabah, dasar Kabotaj, royalti minyak, diskriminasi kaum, rampasan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), peminggiran Sabah antara punca Senator Dewan Negara, Datuk Maijol Mahap meninggalkan BN pada 29 Julai lalu.

Bekas Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) berkata, beliau sudah 14 tahun dalam BN, namun masalah itu gagal diselesaikan termasuk diera Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

"Selepas mengambil kira masalah ini yang sudah lama tertangguh di Sabah dan gagal diselesaikan, maka dengan berat hati saya terpaksa meninggalkan BN.

"Saya tidak lagi percaya bahawa kerajaan BN boleh atau akan menyelesaikan isu-isu kritikal di Sabah, termasuk PTI, tahap kemiskinan yang tinggi, meminggirkan KDM, NCR, lima peratus royalti minyak dan dasar kabotaj," katanya dalam satu kenyataan media 31 Julai lalu.

Maijol yang jawatannya sebagai Senator tamat 8 Disember ini bagaimanapun tidak mengulas dakwaan penyokong Umno adakah kerana beliau tidak dicalon semula menjadi punca beliau meninggalkan BN.

Maijol yang juga Ketua Upko Bahagian Kota Marudu bakal digantikan Datuk Madius Tangau, Setiausaha Agong Upko ketika ini.

Maijol juga tewas dalam cubaannya merebut jawatan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia pada Jun 2011.

Pada 29 Julai lalu, turut meninggalkan BN ialah Timbalan Presiden Upko merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing, Pengerusi Tetap; Datuk Herman Tiongsoh serta Ahli Majlis Tertinggi; Denis Gimpah, Lesaya Lopog dan Petrus Guriting.

Sementara itu, Presiden Upko, Tan Sri Bernard Dompok pada hari sama kenyataan Maijol itu dikeluarkan, Dompok menyerahkan kepada ahli partinya untuk memilih hal tuju politik masing-masing.

"Saya tak tahu...ada banyak spekulasi (mengenai aakn ada lagi ahli Upko keluar parti). Tapi, inikan negara bebas. Anda boleh sertai mana-mana parti yang anda suka dan orang lain juga akan menyertai kami (upko)," katanya.

Belau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Asas Teknologi Tanaman Koko dan Penyerahan Insentif Program Tanaman Baharu Koko dan Lada bagi Bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian kira-kira 60 kilometer dari Kuching, 31 Julai lalu.

Bagi Ketua Penerangan Upko, Datuk Donald Mojuntin, semua pemimpin yang keluar itu adalah pengasas bersama parti itu.

Menurutnya, Majlis Tertinggi Upko akan bermesyuarat Ogos ini mengenainya termasuk membincang hala tuju parti dan persediaan berdepan PRU akan datang.

Senarai pemimpin Upko tinggalkan BN

Senarai pemimpin Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) yang meninggalkan BN setakat ini.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Wilfred Bumburing

Naib Presidennya yang juga Senator Dewan Negara, Datuk Maijol Mahap

Pengerusi Tetap, Datuk Herman Tiongsoh

Bekas Ketua Pemuda 12 tahun, Datuk kalakau Untol

Ahli Majlis Tertinggi,
Denis Gimpah,
Lesaya Lopog
Petrus Guriting.