JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, October 26, 2009

IKLAN LUCAH AIR ASIA

OLEH MASDAR WAHID

Beberapa pihak hari ini melahirkan perasaan kurang senang dengan iklan sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang dianggap mengeksploitasi wanita.

Mereka berpendapat iklan yang disiarkan menerusi televisyen itu sepatutnya lebih menonjolkan promosi tambang murah dan bukan tubuh pramugarinya.

Setiausaha Kerja Majlis Pengguna Negara, Datuk Nadzim Johan berkata, iklan tersebut mencetuskan kegelisahan di kalangan masyarakat kerana ia jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat negara ini, tambahan ia melibatkan kanak-kanak.

``Wanita sepatutnya diberi penghormatan yang lebih tinggi dan bukannya digunakan sebagai `alat’ di dalam iklan itu,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengkaji semula undang-undang berkaitan iklan di negara ini.

Menurutnya, kajian itu penting bagi mengelakkan penyiaran iklan seperti itu pada masa depan.

Mengulas isu sama, Yang Dipertua Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Selangor, Datin Ismalina Ismail berkata, iklan sebegitu boleh menjejaskan imej negara.

"Saya yakin dan percaya iklan itu bukan sahaja ditonton oleh rakyat negara ini tetapi juga pelancong dan kesannya akan memberi imej buruk kepada rakyat negara ini kerana iklan itu turut membabitkan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, amatlah memalukan kanak-kanak yang masih bersih akal fikirannya digambarkan seperti di dalam iklan berkenaan.

"Perlukah fikiran kanak-kanak dikotori dengan iklan sedemikian. Kanak-kanak sebaya dengannya mungkin terpengaruh untuk meniru dan berperangai seperti lakonan di dalam iklan berkenaan.

"Bayangkan jika sikap itu terbawa-bawa sehingga mereka dewasa,’’ ujarnya yang mahu iklan itu dihentikan.

Ketua Sekretariat Hal Ehwal Wanita Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Rafidah Mohd Arifin pula berpendapat, iklan syarikat penerbangan itu menggambarkan seolah-olah mereka memberikan ‘servis berkenaan’ kepada penumpangnya berbanding perkhidmatan lain yang mereka sediakan.

‘’Sekiranya saya ialah nenek dalam iklan berkenaan, saya akan menghalang cucu saya berbuat demikian kerana perbuatan itu amat bertentangan dengan adat dan budaya rakyat negara ini,’’ katanya.

Beliau turut mengulas etika pemakaian pramugari syarikat berkenaan yang disifatkannya tidak logik dan amat menyusahkan.

‘’Tujuan sesuatu pemakaian itu ialah untuk keselesaan pemakainya dan antara pakaian yang selesa bagi wanita ialah pakaian yang sedikit longgar bagi memudahkan pergerakan.

‘Seandainya berlaku kecemasan dalam kepal terbang itu, boleh jadi penumpang yang akan menyelamatkan pramugari itu kerana dengan pakainnya yang ketat akan membataskan pergerakannya.

‘’Sesuaikah pakaian itu untuk menyelamatkan penumpang sekiranya berlaku kecemasan atau kemalangan udara?

‘’Boleh jadi penumpang pula yang terpaksa membantu pramugari itu yang terkial-kial dengan skirt ketat mereka.’’ katanya.

Turut mendesak iklan seumpama itu dihentikan ialah Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).

Naib Presiden pertubuhan itu, Prof. Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, apabila kita menyebut Malaysia, perkara pertama yang harus dititikbertakan oleh pengiklan ialah maruah dan budaya luhur rakyat negara ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, iklan berkaitan wanita dengan penuh kesantunan bukan sahaja membantu memupuk budaya murni negara ini tetapi juga menaikkan imej dan prestij sesebuah syarikat itu.

Sehubungan itu, beliau berharap pemilik dan mereka yang meluluskan sesuatu iklan itu berfikir dengan cermat terlebih dahulu sebelum membenarkan iklan itu disiarkan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Wanita, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Profesor Madya Noraziah Awal berkata, apa jua iklan berkaitan eksploitasi wanita wajar dihentikan dengan segera.

Menurutnya, penonjolan tubuh wanita dalam pengiklanan sesuatu perkhidmatan atau barangan yang tiada kaitan dengan wanita dianggap mengeksploitasi golongan itu.

Iklan syarikat penerbangan itu yang disiarkan di televisyen swasta sehingga kini memaparkan pengalaman seorang pemuda semasa menaiki kapal terbang bersama neneknya sewaktu kanak-kanak.

Kanak-kanak itu turut mengambil gambar pramugari berpakaian seksi syarikat penerbangan berkenaan selain memeluknya sambil tersenyum.

Pada masa itulah kamera menghala ke arah punggung wanita berkenaan beberapa saat selain nenek itu tersenyum dengan gambar yang diambil oleh kanak-kanak itu.

habis

No comments: