JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, October 22, 2009

PKR SABAH GADUH - BN KETAWA = KAH KAH KAH

BILA terbaca beberapa berita dari akhbar-akhbar tempatan, kita merasakan wujudnya suatu kerugian politik di sini. Beberapa pertikaian antara kepimpinan PKR Sabah memagut rasa kecewa kerana pada pandangan kita, dalam keadaan UMNO/BN yang kegoyahan, sepatutnya kita di Pakatan Rakyat mengambil inisiatif ini untuk lebih memperkasakan parti dengan melebihkan kerjasama kefahaman dan mengeratkan lagi hubungan antara saf kepimpinan PKR Sabah dengan rakyat pengundi Sabah.


Hentikanlah segala pertikaian sesama kita di PKR. Daripada masing-masing sibuk untuk menjadi juara, alangkah baiknya masa itu diperuntukkan untuk bersatu dan berusaha keras mencari langkah-langkah bertepatan dalam menghadapi UMNO/BN di Sabah.


Kita masih ada pengundi-pengundi atas pagar yang boleh kita yakini. Kerana pengundi atas pagar ini melalui kajian yang telah kita buat, mereka biarpun diberikan sogokan, namun mereka tetap mengundi Pakatan Rakyat. Jadi golongan inilah yang harus kita sasar dan kita tanamkan kepercayaan mereka terhadap Pakatan Rakyat.


Semua kita maklum bahawa dengan hanya berbekalkan semangat tanpa disisipi kerja kuat dan kerjasama dalam usaha mentalqinkan UMNO/BN di Sabah adalah suatu perkara yang amat mustahil. Kita semua harus akur dengan kenyataan bahawa sebahagian besar pengundi rakyat Sabah berjiwa materialistik. Mereka hanya bersungut pada awalnya namun bila tiba pengakhirannya hari penentu PRU, mereka akan tenang setelah diberi imbuhan hatta RM50 sekalipun.


Rakyat Sabah cepat lupa akan kepayahan hidup mereka selama ini kerana sebaik sahaja not RM50 bertukar tangan kepada mereka, maka undi dan sokongan mereka 100% diberikan kepada UMNO/BN. Begitu senang kerja UMNO/BN dalam menangani kemarahan rakyat Sabah selama 5 tahun, sejuk hati dalam masa 15 saat.


Berdiri teguhnya UMNO/BN Sabah ini adalah kerana sikap rakyat Sabah sendiri. Jika di lihat di Semenanjung Malaysia, bila mana berlakunya peningkatan kos sara hidup di sana, mereka bersuara dan minta hak mereka diperjuangkan oleh wakil-wakil rakyat.


Tetapi berlainan suasananya di Sabah, biarpun kos sara hidup, kenaikan minyak, kekurangan gula, beras naik mendadak, mereka tetap diam dan enggan bersuara. Rakyat Sabah keberatan menggunakan suara demokrasi rakyat dan sekiranya dilhat secara hakiki, seolah-olahnya rakyat Sabah tidak hairan dengan segala peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga minyak.


Bagi sebahagian rakyat Sabah, cukuplah dengan RM50 dan bantuan-bantuan kecil yang akan diberikan oleh pemimpin UMNO/BN di Sabah bila tiba musim pilihanraya kelak dan mereka akan dengan senang hati mengundi UMNO/BN. Inilah budaya yang diamalkan oleh rakyat Sabah sejak turun-temurun.

Budaya sebeginilah yang harus kita pecahkan tapi hanya dengan satu jalan sahaja yakni bekerjasama dan bersatu dalam segala hal dan kita pasti akan menemui kejayaan.


Apabila kita renungkan kembali, apakah kemajuan dan kebajikan yang telah Musa Aman/UMNO/BN lakukan kepada rakyat Sabah? Segala projek mega semuanya di takluki oleh orang-orang terpilih sahaja. Tender-tender besar juga di kuasai sepenuhnya oleh kaum kerabat Musa/UMNO sahaja. Rakyat hanya menerima serpihan-serpihan sahaja dan itupun sebahagian besar rakyat Sabah diam.


Jika dibandingkan di zaman pemerintahan USNO, di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Datu Mustapha, kita dapat melihat begitu besar bezanya. Rakyat Sabah pada ketika itu mewah di samping memperolehi pelbagai kemudahan dinikmati. Biasiswa Yayasan Sabah diperuntukan sepenuhnya untuk membiayai pembelajaran anak-anak Sabah ke peringkat pengajian tinggi.


Allahyarham Tun Mustapha juga memperkenalkan saham Sabah melalui hasil keuntungan hasil-bumi Sabah. Setiap rakyat Sabah mendapat RM150-RM200 setiap tahun dan diberikan juga sijil. Akan tetapi semua keistimewaan ini ditarik semula oleh kerajaan UMNO/BN dengan begitu sahaja.


Apakah ini yang kita restui? Hak kita sebagai rakyat Sabah dinafikan dan kita mahu tahu kemana perginya hasil keuntungan hasil-bumi Yayasan Sabah? Jika dahulu kita sebagai rakyat Sabah dapat juga menikmatinya, tetapi kini siapa yang dapat?


Sekitar 1964, Allahyarham Tun Mustapha pernah memohon kepada kerajaan UMNO/-Perikatan supaya siaran televisyen dipanjangkan ke Sabah siarannya. Namun jawapan dari Perdana Menteri pada ketika itu amat mendukacitakan. Perdana Menteri pada ketika itu menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia tidak ada cukup peruntukan untuk melebarkan siaran televisyen ke Sabah.


Tun Mustapha akhirnya mengarahkan kerajaan negeri Sabah untuk mengeluarkan dana bagi tujuan siaran televisyen Sabah demi untuk rakyat Sabah yang dicintainya. Begitu besar jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun kepada rakyat Sabah berbanding dengan Musa Aman serta kerajaan UMNO/BN.


Kerajaan UMNO/BN di bawah kepimpinan Musa Aman hari ini, telah memBARISAN-NASIONALkan segala projek dan bantuan kepada rakyat Sabah. Untuk merasmikan projek-projek dan bantuan kepada rakyat, UMNO/BN mengangkut segala media massa dan elektronik.


Secara peribadi, kita sebenarnya tidak pernah membenci UMNO/BN, cuma kita rasakan tindak-tanduk pemimpin UMNO/BN pada hari ini agak diktator. Pemimpin UMNO/BN pada hari ini telah berlaku banyak kepincangan dan keburukan berbanding kebaikan yang mereka lakukan.


Di mana aspek keadilan dalam pemerintahan UMNO/BN ? Yang terlihat hanyalah barisan kepimpinan yang sibuk dan leka memperkayakan diri sendiri dari mempeduli kan kebajikan rakyat jelata. Fikirkanlah bagi menyaksikan keprihatinan mereka yang penuh kepura-puraan terhadap rakyat.


Mereka mahukan publisiti yang seluas-luasnya untuk ditunjukkan kepada rakyat bahawa Barisan Nasional Sabah kononnya prihatin kepada rakyat selalu ditonjolkan ‘Satu Lagi Projek Barisan Nasional’ untuk rakyat Sabah, padahal digunakan wang rakyat.


Ingat semua kepimpinan PKR Sabah, Datuk Jeffrey, Awang Ahmad Sah, Haji Ansari, Hamzah Amir, Ahmad Tambrin, Daniel John dan Azmin Ali bukan musuh PKR Sabah. Musuh kita di depan mata adalah Musa Aman/UMNO/BN. Ini yang perlu kita kukuhkan tenaga kita bersatu untuk hancurkan kepimpinan mereka. Kalau kita sama sendiri asyik krisis, kita akan kalah dalam PRU akan datang.


Dari Kacamata: HALIK ZAMAN

No comments: