JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, October 25, 2010

Pilihanraya Swak : Apabila Menteri ramal cuaca

Kerajaan tidak akan menghentikan proses menakung air di Empangan Bakun bagi menangani masalah paras air yang susut di Sungai Rajang terutamanya antara Kapit dan Belaga.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Awang Tengah Ali Hassan bagaimanapun mengakui kerajaan negeri tidak menjangka tahap air sungai akan menyusut ke paras sekarang.

"Kami mengeluarkan permit untuk memulakan penakungan bulan ini berasaskan kajian dan laporan cuaca yang menunjukkan sepatutnya kita sekarang berada pada musim monsun.

"Kita menjangka hujan lebat seminggu selepas penakungan bermula, tetapi tanpa diduga cuaca kering berlaku," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Bagaimanapun katanya, memandangkan projek itu sudah bermula kerajaan negeri tidak boleh mengubah semula keputusan tersebut.

Beliau berkata sejumlah air juga telah dilepaskan daripada Bakun untuk mengekalkan paras di Sungai Rajang kepada 43 aras laut purata (MSL).

"Paras terendah yang dicatatkan adalah di antara Kapit dan Belaga iaitu pada 41 MSL. Walaupun feri ekspress dan bot kargo tidak dapat mudik ke Belaga, sungai itu masih boleh dilalui perahu.

"Tetapi kawasan itu memang menghadapi masalah tersebut sebelum wujud Bakun lagi," katanya.

Awang Tengah berkata kerajaan negeri juga akan mendapatkan bantuan daripada kontraktor dan sektor swasta jika keadaan memerlukan.

Proses penakungan itu dijangka mengambil masa tujuh bulan dan dua minggu bagi mencapai paras ketinggian yang dikehendaki iaitu setinggi bangunan 44 tingkat meliputi kawasan seluas 69,000 hektar.

Sementara itu, Residen Kapit Dahim Nadot berkata beberapa sekolah di kawasan pedalaman dari Naga Merit ke Belaga kini berdepan masalah bekalan air selepas sumber air bawah tanah mereka kering.

"Mengenai bekalan makanan ke sekolah-sekolah tersebut, kontraktor masih menghantarnya seperti biasa tetapi kos pengangkutan kini tiga kali ganda berbanding biasa kerana mereka terpaksa hantar menggunakan bot, jalan darat dan disambung dengan bot semula.

"Kalau keadaan terus merosot, kita terpaksa meminta bantuan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk membolehkan barangan keperluan dihantar menerusi udara," katanya.- BERNAMA

Sunday, October 24, 2010

Batu Sapi : SAPP bukan mewakili PR – Fuziah


Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat , Fuziah Salleh menafikan laporan di beberapa laman blog yang kelihatan keliru apabila memetik kenyataan beliau kononnya SAPP mewakili Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Pakatan Rakyat Sabah hanya dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP dan SAPP menolak kerjasama dengan gabungan itu.

“Rundingan baru-baru ini, pada awalnya kita memberi peluang kepada SAPP untuk bertanding bagi mewakili Pakatan Rakyat, tetapi SAPP mensia-siakan tawaran itu dengan berkali-kali menegaskan mereka tidak berminat untuk menganggotai Pakatan Rakyat.

Tujuan Pakatan Rakyat ialah bagi memastikan matlamat satu lawan satu menentang BN tercapai khususnya yang melibatkan parti pembangkang utama di Sabah.

Tetapi nampaknya SAPP tidak serius untuk menumbangkan BN apabila dalam rundingan itu SAPP lebih menekankan mahu merebut lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya ketika dihubungi http://masdarwahid.blogspot.com/.

Fuziah yang kini berkampung dalam Parlimen Batu Sapi bersama beberapa pimpinan dan jentera Pakatan Rakyat negeri dan Pusat turut menjelaskan bahawa, agihan kerusi sepatutnya dibincangkan selepas PRK itu kerana yang penting ketika ini ialah menewaskan BN dalam PRK yang pertama di Sabah ini.

Ditanya peluang Pakatan Rakyat dalam PRK itu, beliau berkata, jentera mereka akan melakukan yang terbaik.

“Kita akui Pilihan Raya ini tidak mudah tapi kami akan melakukan yang terbaik,”katanya ringkas.

Sebentar tadi, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP)Ansari Abdullah yang juga seorang peguam dipilih sebagai calon Pakatan Rakyat pada PRK tersebut.

Sementara itu, SPR memaklumkan sebanyak 26 borang pencalonan telah diambil oleh PBS, Pakatan Rakyat, calon bebas dan beberapa parti kecil di Sabah.

Kerusi parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi yang terdiri daripada 24,047 biasa dan 1,535 undi pos - dengan 15,099 atau 59.02 peratus pengundi bumiputera-Muslim, 689 bukan bumiputera-Muslim (2.69 peratus), 9,737 Cina (38.06 peratus) dan 57 lain-lain kaum (0.22 peratus).

PBS tolak tuntutan Bumiputra Islam


Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Pairin Kitingan akhirnya meminggirkan suara Bumiputra Islam dalam parti itu apabila meletakkan Naib Ketua Wanita PBS bagi penggal 2009-2012, Linda Tsen Thau Lin sebagai calon mereka pada Pilihan Raya Kecil(PRK) Parlimen Batu Sapi yang penamaan calonnya ditetapkan pada 26 Oktober ini manakala pengundiannya pada 4 November depan.

Linda Tsen Thau Lin, 54, ialah isteri kepada mendiang Edmund Chung Ket Wah, 54, yang juga bekas penyandang Parlimen itu dua penggal berurut-turut sejak kerusi itu diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2004.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Sabah, Musa Aman, di salah sebuah Hotel di Sandakan, Sabah sebentar tadi.

Dengan pengumuman itu, hasrat kelompok Bumiputra Islam dalam PBS akhirnya dipinggirkan walaupun sebelum ini mereka menuntut pimpinan PBS pusat agar memberi peluang kepada Bumiputra Islam dalam parti itu sebagai calon pada PRK kali ini.

Terdahulu, ahli-ahli dan masyarakat di peringkat akar umbi PBS di Batu Sapi merayu pucuk pimpinan tertinggi PBS supaya ‘laluan’ diberikan kepada calon mewakili kaum bumiputera Islam untuk bertanding pada PRK itu.

Ketua Pergerakan Pemuda PBS Sekong, Mahmud Hassan, berkata peluang tersebut merupakan kayu ukur kepada sejauh mana ketelusan pucuk pimpinan PBS dalam menghadapi Pilihan raya Umum (PRU) ke 13, di mana pengundi Bumiputera Islam turut berperanan besar kepada kekuatan Barisan Nasional (BN).

“Dalam hubungan ini saya dan ahli-ahli mencadangkan sekiranya Ketua Bahagian PBS Sekong, Bonie Yusuf Abdullah diberikan peluang bertanding mewakili parti,” katanya.

Ketua Cawangan PBS Kampung Segaliud, Haris bin Ijaris, yang sama-sama mengemukakan rayuan kepada parti itu pula berkata, kelebihan besar Bonie menghidupkan semula kepimpinan parti PBS di Bahagian Sekong sebelum ini perlu diambil kira dalam menghadapi PRK itu.

“Daripada jumlah keahlian parti yang semakin baik berbanding sebelumnya, hubungan beliau dengan pemimpin mewakili rakan-rakan parti komponen di kawasan itu juga penting. Keupayaannya untuk mewakili parti bukan berdasarkan simpati, tetapi kerana Bonie sudah bekerja untuk parti, BN dan rakyat,” kata Haris.

Untuk rekod, hampir 60 peratus daripada 25,582 pemilih berdaftar dalam Parlimen Batu Sapi merupakan pengundi Bumiputra Islam.

Pilihanraya Swak : satu lawan satu - Anwar


MIRI: Pakatan Rakyat (PR) Sarawak berjanji akan meletakkan calonnya di kesemua kerusi dipertandingkan bagi pertarungan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum dan negeri akan datang.

Ini diumumkan oleh Ketua Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan lawatan di Miri, pagi semalam.

“Pakatan Rakyat Sarawak akan bertanding di semua kawasan dan soal rundingan, Pakatan Rakyat Sarawak dah bagi mandat berunding dan akan diputuskan apa yang sebaiknya,” kata Anwar semasa ditemuramah oleh pihak media di kediaman Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri Dr Teo Yu Keng.

Menurutnya, PR peringkat persekutuan telah meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada PR Sarawak dengan memberikan autonomi sepenuhnya dan juga ruang yang cukup.

Anwar menjelaskan bagi memudahkan PR Sarawak mengemukakan manifesto sendiri dan menentukan kedudukan kerusi bakal-bakal calon melalui rundingan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Sarawak Baru Bian ketika mengesahkan rundingan antara PR Sarawak berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat dan berbincang mengenai kesemua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Sembilan puluh peratus daripada 71 kerusi telahpun kami bincang dan kami dapat lihat adanya peluang yang cukup baik untuk kami,” ujar Baru.

Manakala Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Wong Ho Leng pula mengatakan rundingan berhubung pembahagian kerusi telah pun di peringkat akhir.

“Saya percaya perbincangan bagi baki 10 peratus lagi daripada kerusi akan diselesaikan dengan sempurna dan kami akan mendapat undi lebih tinggi dalam pilihan raya kali ini,” tambah Wong.

Semalam, ribuan rakyat Sarawak menyambut kedatangan Anwar sebaik tiba di Lapangan Terbang Miri dan dijangka meneruskan lawatannya ke Batu Sapi, Sandakan pada hari ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Presiden Parti Kebangsaan Sarawak(SNAP) Edwin Dundang Bugak dan Ahli Jawatan-kuasa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat Mohamad Sabu.

Batu Sapi : Ini sebab kita lawan Umno - Anwar


Ketua Pakatan Rakyat di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, rakyat harus menolak Umno kerana pemimpin parti itu dan sekutu-sekutunya yang lain mewakili kepentingan golongan yang rakus, sombong dan sanggup melaga-lagakan antara satu kaum dengan kaum yang lain di Malaysia demi kelangsungan hayat parti mereka.

Menurut Anwar, parti itu juga sanggup mempertahankan cara mereka yang keji itu dengan menggunakan apa sahaja termasuklah kuasa yang dimiliki, media dan badan kehakiman di negara ini.

“Kita lawan Umno sebab apa, sebab dia mewakili kepentingan golongan yang rakus, sombong, ada kuasa untuk punggah kekayaan untuk mereka, keluarga dan kroni mereka.

Balak, kekayaan, hasil-mahsul yang banyak, memperkayakan segelintir kecil pemimpin mereka, tetapi nasib rakyat terbanyak terus tertindas, harga barang naik, harga minyak naik. Hidup dalam kesusahan, 30 tahun, 40 tahun tak banyak perubahan.

Kita bukan negara miskin seperti di Zimbabwe, tapi kita di Malaysia. Hasil minyak 70 Bilion ringgit satu tahun. Pemimpin-pemimpin kaya raya. Rumah merata tempat. Kekayaan dikumpul begitu banyak.

Pemimpin mana, Melayu ya. Cina, ya. Kadazan ya. India ya.

Oleh kerana nak pertahankan cara mereka itu, mereka guna semua apa yang ada. Media, bidang kuasa, penguatkuasaan, hakim dan apa sahaja untuk pertahankan mereka,” katanya dalam satu ceramah di Papar, Sabah baru-baru ini.

Batu Sapi : Ke mana perginya RM52 Biilon saham Bumiputra ?


Anwar turut mempersoalkan ke mana perginya saham Bumiputera bernilai RM52 Bilion sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) di perkenalkan.

“Kita tolak Umno, kerana sekarang bila dia dah parah, baru dia nak fikir soal Melayu. Dulu dia fikir dia punya kontrak, dia fikir saham dia.

Sebab itu kita tanya, berapa jumlah saham yang diperolehi sejak DEB diperkenalkan. Tahun 1971 dilancarkan, 1972, 1973 dia pemimpin-pemimpin Umno mula kumpul saham.

Seluruh jumlah saham mengikut Datuk Seri Najib (Najib Razak, Presiden Umno ketika ini), 54 bilion ringgit. Jawab Datuk Najib yang ada sekarang tinggal Dua Bilion ringgit.

Sekarang Pakatan Rakyat dalam mesyuarat baru-baru ini, pemimpin PAS, PKR dan DAP hadir, kita kata, kita kena turun tanya. Di Sabah, saudara patut tanya mulai malam ini.

Mana pergi 52 bilion ringgit saham Melayu, Bumiputra. Mana perginya? Bagi pada isteri, anak, anak perdana Menteri, adik perdana Menteri yang kaya-raya, bekas Perdana Menteri paling kaya, cuba jawab,” soalnya.

Batu Sapi : Mantapkan jentera, fahami Perlembagaan - Anwar



Sehubungan itu, Anwar mengingatkan rakyat Sabah khususnya jentera penerangan Pakatan Rakyat agar tidak terperangkap atau meniru cara Umno khususnya yang terus membangkitkan isu agama dan perkauman demi mempertahankan hayat politik mereka.

“Saya katakan tadi dan saya ulang. Kita tolak Umno kerana sikap perkauman mereka. Kerana tidak adil dalam tindakan mereka,sebab dia rasuah, sebab dia Zalim.

Apa masalah Umno, dia nak jadi terlalu perkauman. Jadi jangan kita ada niat kalau kita berkuasa. Samada kita itu Muslim atau Kadazan, Dusun, Murut tanpa kira, ini bukan soal suku kaum.

Maka jangan kita permainkan isu yang sama seperti yang mereka permainkan.

Sebab itu kita bertanggungjawab menyampaikan maklumat. Kita tidak boleh menyampaikan dengan cara ‘saya lebih Melayu daripada mereka’ atau ‘saya lebih pelampau Islam daripada mereka, tidak’ kerana itu cara Umno dan BN.

Ada tempat dalam perlembagaan kita, kedudukan Bahasa Melayu, Kedudukan Islam, kedudukan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu, itu kita tidak pertikaikan.

Tetapi peruntukan-petuntukan itu bukan untuk bertindak tidak adil pada orang lain. Kita kena faham yang ini.

Kita hanya menunjukkan kekuatan kita, budaya kita, fahaman agama kita dan prinsip kebebasan, keadilan yang kita hendak pertahankan.,” tegasnya yang menerima tepukan gemuruh dari ribuan rakyat yang hadir.

Batu Sapi : Perwakilan Umno sindir PBS ?


Tidak cukup dengan tuntutan terbuka Umno pusat dan negeri untuk merampas kerusi sekutu mereka dalam BN, Perhimpunan Agung Umno kali ini tidak terlepas dari usaha Umno menyindir dan memperlekehkan sekutu mereka termasuklah Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bakal berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam Parlimen Batu Sapi.

Pergerakan Puteri Umno Sabah misalnya dilihat menyindir PBS dengan dakwaan bahawa sejak Umno ‘merampas’ Sabah pada tahun 1994, Umno melakukan lebih baik berbanding parti-parti lain yang menerajui kerajaan negeri Sabah sebelum itu.

“Perbezaan pembaharuan yang berlaku sejak Umno menerajui pentadbiran di Sabah mulai 1994 berbanding pemerintahan parti-parti politik sebelumnya adalah ibarat "langit dan bumi",” kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Sabah, Musliati Moslimin.

Musliati, 37, berkata paling ketara adalah di ibu negeri, Kota Kinabalu, yang menyaksikan pembangunan fizikal menyeluruh meliputi peluang perniagaan, perluasan kemudahan lapangan terbang, universiti dan kompleks pejabat.

"Daripada segi pelancongan, kalau kita lihat contohnya di Kundasang, Keningau, Lahad Datu dan Semporna, kerajaan (negeri) buat jalan raya, rumah kedai, selain pembangunan resort dan inap desa untuk tarik pelancong," tambahnya lagi seperti yang dilaporkan BERNAMA.

PBS ialah kerajaan negeri Sabah sebelum tahun 1994 di mana presiden parti itu, Pairin Kitingan ialah Ketua Menteri Sabah sebelum kerajaanya tumbang selepas beberapa Adun PBS melompat ke dalam BN.

Rekod menunjukkan, ini bukan kali pertama PBS disindir oleh Umno malah Umno negeri Sabah pernah menuntut beberapa kerusi milik PBS diserahkan kepada Umno.

Ketua Pemuda Umno Kota Kinabalu, Bahrul Razha Chuprat misalnya, pernah mendesak agar kerusi Parlimen Kota Kinabalu yang dimiliki PBS diserahkan kepada Umno walaupun jelas pengundi di kawasan itu majoritinya masyarakat Cina.

Menurut Bahrul, desakan itu dibuat atas dasar semangat setia kawan serta bagi menyelami sejauh mana konsep 1Malaysia dapat diterjemahkan oleh sekutu-sekutu BN khususnya di Sabah.

“Kita mahu melihat sejauh mana keikhlasan rakan-rakan lain dalam BN terhadap Umno terutamanya di kawasan bandar, kerana Umno selama ini telah banyak bertolak ansur dan membantu kejayaan calon-calon daripada parti komponen BN yang bertanding di kawasan majoriti orang Melayu dan Bumiputera Islam,” kata Bahrul pada 5 Julai lalu.

Parlimen Kota Kinabalu kini diwakil oleh Dr. Hiew King Chew dari DAP yang kini dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Pakatan Rakyat dalam PRK Parlimen Batu Sapi.

Selain PBS, sekutu BN di Sabah seperti UPKO, LDP dan PBRS pernah didesak agar kerusi milik mereka diserahkan kepada Umno.

Paling menarik apabila Naib Presiden Umno, Hishamuddin Hussin mahu sistem kuota dalam BN dikaji semula yang mana kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas kematian mendiang Edmund Chong Ket Wah.

“Kita perlu menang dan pastikan sistem kuota itu bukan satu kekangan untuk dapatkan sokongan. Pengalaman dalam pilihan raya lalu adalah satu peluang untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Kita tidak semestinya mengikut formula lama yang diamalkan sejak dulu. Mungkin corak lama sudah tidak lagi sesuai.

Pindaan Perlembagaan UMNO sendiri adalah hasil daripada pengalaman pilihan raya lalu," katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Selayang di Rawang pada 9 Oktober lalu.

Berita berkaitan di sini, di sini dan di sini.

juga di sini, di sini, dan di sini. juga di sini.

Saturday, October 23, 2010

Batu Sapi : Apa itu 'Nai' dan 'Ping' ?


Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi yang akan berlangsung tidak lama lagi bakal menjadikan bandar ini tumpuan pelawat khususnya dari Semenanjung.

Bagi yang pertama kali mahu ke sini, khususnya bagi penggemar 'teh', 'nescafe' atau semua minuman bersusu, anda barangkali mahu meluangkan sedikit masa membaca pesanan ini.

Jangan lupa menyebut 'nai' setiap kali memesan minuman kegemaran anda.

Pada kalangan masyarakat di sini dan pantai timur Sabah amnya yang meliputi Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Telupid, perkataan 'nai' merujuk kepada minuman yang dicampur susu.

Justeru, kalau inginkan teh bercampur susu, pesanlah 'teh nai', atau 'nescafe nai' bagi nescafe dan seterusnya. Jika tidak, alamat anda akan dihidangkan dengan minuman 'O'.

Sekiranya minuman susu berais yang anda mahu, pastikan anda menyebut 'nai ping' apabila membuat pesanan. Contohnya 'teh nai ping' bagi 'teh ais', 'milo nai ping' untuk 'milo ais' dan sebagainya.

Bagi yang bersikap 'tidak apa' dan menerima saja minuman yang dihantar, ia bukan perkara besar, namun buat yang cerewet pasti ada pihak yang mencuka -pelanggan marah kerana "lain yang diminta, lain yang dihantar", dan pemilik kedai pula menanggung kerugian.

Justeru ingat 'nai' dan 'ping', ketika membuat pesanan minuman kegemaran anda di sini.

Batu Sapi : Musa dan Pairin Tamak Kuasa?


KOTA KINABALU : Desakan dua pimpinan DAP di negeri ini terhadap Ahli Parlimen (MP) Keningau, Pairin Kitingan agar segera melepaskan jawatan beliau mempunyai asas yang kukuh.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Tze Phin berkata, desakan itu harus dilihat dari sudut positif kerana Pairin dilihat memegang terlalu banyak jawatan selain kerap ponteng dalam program-program yang dihadirinya.

Menurutnya, Pairin bukan sahaja gagal menghadiri banyak program penting yang melibatkan rakyat, tetapi juga sentiasa kurang sihat selain sering datang lewat sama ada dalam persidangan Dun ataupun di pejabatnya sendiri.

"Kalau benar Pairin menyayangi rakyat, dia harus melepaskan jawatan MP yang disandangnya sejak sekian lama. Beliau sepatutnya mengurangkan bebanan tugas yang disandangnya terlalu banyak sehingga kesihatannya sering terganggu sejak akhir-akhir ini.

"Kalau Pairin kosongkan MP sekali pun, kita tidak akan bertanding di situ kerana tujuan cadangan peletakan jawatan itu ialah supaya beliau menjaga kesihatan selain boleh memfokuskan kepada jawatan-jawatan lain yang disandangnya," katanya kepada erapakatan.com.

Terdahulu, dua pimpinan DAP Sabah, iaitu naib pengerusinya, Edward Ewol Mujie dan setiausaha publisiti parti itu Dr Edwin Bosi menasihatkan Pairin melepaskan kedudukannya sebagai MP Keningau memandangkan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu menyandang terlalu banyak jawatan.

Selain MP, Pairin juga menjawat jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tambunan selain Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri.

Pairin yang kini berusia 70 tahun juga adalah satu-satunya calon BN di Sabah yang bertanding dua kerusi serentak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 8 Mac 2008 iaitu Dun Tambunan dan MP Keningau.

Dalam Persidangan Agung Tahunan parti itu pada November tahun lalu, Pairin turut mengekalkan jawatannya sebagai presiden PBS bagi tahun ke-25 berturut-turut sejak penubuhan PBS pada 1984.

Pada 14 Ogos 2008, Ketua PBS Bahagian Kiulu, Sindin Ranggangon pernah mengusulkan agar Pairin meletak jawatan sebagai presiden parti dan digantikan oleh pemimpin yang lebih berkaliber yang akhirnya menyaksikan kes Sindin dirujuk ke jawatankuasa disiplin.

Mengulas kenyataan Ketua Menteri (KM) Sabah, Musa Aman bahawa DAP jangan masuk campur urusan parti lain, Jimmy yang juga Adun Sri Tanjung dengan tegas membidas kenyataan itu.

"Musa Aman juga harus melepaskan jawatannya kerana dia pun dua kali lima, gila kuasa sama macam Pairin," katanya.

Jimmy menambah, Musa sejak menjadi KM Sabah juga memegang terlalu banyak jawatan malah lebih banyak darpada Pairin.

Adun tunggal PR di Sabah itu memberitahu, Musa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Sabah sehingga kini turut mencengkam jawatan Menteri Kewangan Sabah selain membolot jawatan Pengerusi Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Pengerusi Yayasan Sabah.

"Alangkah baiknya jika beberapa jawatan itu diberi kepada anak tempatan Sabah sebagai mengurangkan pengangguran di negeri ini.

"Apakah langsung tiada penduduk tempatan yang layak memegang jawatan itu, sehingga Musa dan Pairin tergamak membolot semua jawatan itu?" soalnya.

Nota : Berita di atas ialah Arkib Kabar Era Pakatan.

Musa ialah Pengarah Pilihanraya BN pada PRK Parlimen Batu Sapi dengan Pairin ialah timbalannya.

Friday, October 22, 2010

Pilihanraya Swak : Kem pembalakan diserang, Syrkt didakwa rampas tanah rakyat


SIBU:Sebuah syarikat pembalakan di Ulu Sebangan, Simunjan mengalami kerugian yang dianggarkan lebih kurang RM2 juta setelah kuarters pekerja dan pelbagai peralatan kem pembalakan dibakar oleh lebih 100 orang di kem pembalakan berkenaan Isnin lalu.

Kejadian itu berlaku dipercayai berpunca daripada penduduk kampung berkenaan mendakwa syarikat terbabit menjalankan operasi pembalakan secara tidak sah di tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka.

Difahamkan syarikat berkenaan iaitu Sri Berjaya Enterprise & Co. telah beroperasi di situ sejak lebih sebulan lalu.

Menurut laporan, terdahulu sebelum insiden tersebut, mandur kem pembalakan berkenaan pernah membuat laporan polis setelah sekumpulan penduduk kampung membuat sekatan jalan pada jam 9.00 pagi pada 15 Oktober lalu bagi menghalang jentera berat milik syarikat memasuki kem di Kilometer 2.5 Ulu Sungai Selabu, Sebangan.

Namun tindakan itu tidak menghalang seramai 32 pe-kerja kem pembalakan di situ menjalankan tugas-tugas harian mereka sehinggalah pada jam 2.55 petang pada Isnin lalu, apabila kem pembalakan itu diserbu lebih 100 orang yang diketuai empat orang yang dikenali mandur syarikat.

Menurut kenyataan polis, mandur syarikat yang berumur 36 tahun dan rakan-rakannya telah dilemparkan dengan kata-kata kesat dan diugut supaya keluar dari kuarters kem pembalakan dalam tempoh 15 hingga 30 minit sebelum sesuatu yang tidak diingini terjadi kepada mereka.

Mandur dan rakan-rakan sekerjanya terpaksa bergegas melarikan diri dari situ se-telah salah seorang daripada kumpulan tersebut melepas-kan tiga das tembakan senapang patah.

Kumpulan tersebut juga dilaporkan melontarkan batu ke arah para pekerja itu yang bertempiaran lari dari situ.

Mandur turut memberitahu bahawa dia dan rakan-rakannya sempat melihat bagaimana kem mereka dibakar dari jarak lebih kurang 500 meter dan tidak berpatah balik ke situ dan terpaksa tinggal di sebuah kampung berdekatan.

Pada keesokan hari sekitar jam 8.30 pagi, Pengarah Urusan Syarikat Lau Poung Siing dan tiga pekerja lain tiba di kem pembalakan tersebut untuk meninjau dan meng-ambil gambar di tempat yang terbakar.

Peralatan kem yang turut musnah dibakar termasuk sebuah pam trak, dua kenderaan pacuan empat roda, moto greder, cermin lori balak dipecahkan, Traktor D 155 serta dua unit bateri dicuri, hos minyak dipotong, penu-tup minyak dibuang dan tangki minyak di isi tanah, dua unit bateri Shovel 966E dicuri, wayar Shovel 966D dipotong, bateri excarater Hitachi 2×200 dicuri, satu dram (1,600 liter) juga diisi dengan tanah dan beberapa peralatan alat ganti, barangan kepunyaan syarikat dan para pekerja sama ada dimusnahkan atau dicuri.

Polis telah mengesahkan dan telah menerima laporan berkenaan insiden tersebut.

Batu Sapi : Bung hina Proton ?


Beberapa pengedar kereta Proton Edar melahirkan rasa kecewa dan kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin yang menggesa Proton Holdings Berhad (PROTON) menutup operasi syarikatnya sekiranya ia terus mencatatkan kerugian.

Presiden Persatuan Pengedar Proton Edar (PEDA), Armin Baniaz Pahamin, berkata kenyataan Bung Moktar adalah tidak bersesuaian sekali gus menunjukkan Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional itu tidak memahami konsep industri automotif negara.

Beliau berkata, pengenalan Proton Inspira adalah produk baru model kereta yang dikeluarkan bagi mewujudkan persaingan di pasaran negara pembuatan kereta seperti Korea Selatan dan Jepun.

“Usaha sama antara PROTON dan Mitsubishi adalah kerjasama biasa di kalangan pengusaha kereta antarabangsa, malah kereta Mitsubishi Lancer bukan model lama sebaliknya sudah tiga tahun terjual di serata dunia sejak diperkenalkan pada 2007.

“Proton Inspira turut menyediakan peluang kepada pemilik kereta keluarannya yang berkeinginan untuk menukar ganti kereta mereka daripada model lama seperti Waja, Persona dan Gen2,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Bung Moktar kelmarin mendesak kerajaan menutup operasi PROTON kerana beranggapan syarikat automotif tempatan itu tidak berkembang dan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Bercakap ketika membahaskan Bajet 2011 pada persidangan Dewan Rakyat, Bung Moktar mendakwa, langkah PROTON mengeluarkan Inspira tidak membawa sebarang perubahan kepada syarikat terbabit atau memperkasakan pengeluaran kereta nasional yang disifatkan menggunakan teknologi dan reka bentuk sama dengan Mitsubishi Lancer.

Armin Baniaz berkata, kenyataan Bung Mokhtar itu adalah tidak wajar dikeluarkan oleh seorang ahli parlimen sekali gus boleh menjatuhkan reputasi PROTON sebagai syarikat pengeluar kereta tempatan.

Katanya, beliau berharap supaya Bung Moktar tidak mengulangi kesalahan itu kerana ia bukan saja menjejaskan nama baik dan jenama PROTON, malah menjatuhkan moral lebih 60,000 tenaga kerja di syarikat berkenaan.

Moden sedan terbaru, Proton Inspira akan dilancarkan November ini menawarkan harga permulaan RM79,888 seunit dengan dua kapasiti enjin iaitu 1.8 liter dan 2.0 liter didatangkan dalam empat warna iaitu merah, hitam, perak dan putih.

Thursday, October 21, 2010

Batu Sapi : Jom meriahkan HEMPAS


Satu Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS), akan diadakan di Sabah dengan matlamat utamanya bagi meneruskan kebangkitan rakyat di negeri itu khususnya berkaitan isu tanah yang selama ini dipermainkan oleh rejim Umno terhadap rakyat Sabah.

Pengerusinya, Haji Hamzah Abdullah berkata, jelajah berkaitan HEMPAS kian rancak diadakan ketika ini di sebelah pantai timur, Sabah yang bermula dari Tawau-Kalabakan-Semporna-Lahad Datu-Kinabatangan -Kunak-Beluran-Telupid-Ranau-Kundasang sebelum acara kemuncaknya akan diadakan di Dewan Hakka, Batu 6, Sandakan (Berdekatan Hotel Tyng) pada 24 Oktober 2010 yang bermula pada jam 8 pagi sehingga jam 5 petang.

Hamzah yang juga Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Batu Sapi menjelaskan, antara pengisian program HEMPAS ialah Pembentangan kertas kerja, Persembahan kebudayaan, tayangan VCD, Ceramah umum dan pelancaran Jawatankuasa bertindak berkaitan isu tanah.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah agar menghadirkan diri ke Himpunan ini bagi menyatakan kesatuan rakyat agar kita sama-sama bangkit mempertahankan hak kita yang terus dirampas oleh rejim Umno-BN sejak sekian lama,” katanya ketika dihubungi KABAR.

KABAR ialah akhbar politik yang sebelum ini dikenali sebagai Konsep Era Pakatan.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Sabah, Saudara Lahirul Latigu dalam satu kenyataan memberitahu, matlamat program itu bertujuan untuk menghimpunkan seluruh rakyat sabah terutamanya yang mengalami kemelut tanah setelah lama terabai di bawah pemerintahan Barisan Nasional yang telah menafikan hak rakyat untuk memiliki dan mewarisi tanah yang mereka telah usahakan sejak berpuluh tahun akibat dasar Geran Tanah Komunal.

“Himpunan ini juga akan menjadi medan bagi berbincang dan bertukar pendapat di samping mencari jalan penyelesaian melalui kaedah yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat.

Pelbagai aktiviti telah disusun antaranya Pembentangan kertas kerja, Tayangan Video Isu Tanah, Pelancaran deklarasi Tanah sabah, di samping pidato perdana oleh Pimpinan utama Pakatan Rakyat iaitu YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Lim Kit Siang dan YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Pelancaran Jentera pilihanraya kecil P185 Batu Sapi bagi Pakatan Rakyat juga akan dilancarkan,” katanya yang turut disiarkan di laman pasabah.wordpress.com.

Berikut ialah Tentatif Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) Sabtu ini.


8:00 pagi : Pendaftaran

9:00 pagi : Majlis perasmian

1) Ucapan Pesuruhjaya PAS Sabah – Hj Mohammad Abdullah
2) Ucapan Penyelaras Program- Sdra Mazlan Aliman, AJK Pas Pusat
3) Ucapan YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

10:00 pagi : Pembentangan kertas kerja 1
Oleh Datuk Koh Hong Ming (PKR)

10:30 pagi : Pembentangan kertas kerja 2
Oleh Sdra Robert (DAP)

11:00 pagi : Pembentangan kertas kerja 3
Oleh Tuan Hj Hamzah Abdullah (PAS)

11:30 pagi : Soal jawab / Resolusi

12:30 tghri : Tayangan Video / Makan tengah hari / Solat Zuhur

1:30 petang : Pidato Perdana

YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
YB Lim Kit Siang
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

4:30 petang : Pelancaran Deklarasi Tanah Sabah

Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil P185 Batu Sapi Pakatan Rakyat

5:00 petang : Tamat

Program lain sempena HEMPAS

1) Ceramah Umum
Tarikh : 23 Oktober 2010
Masa : 7.00 malam
Tempat : Hotel Sanbay, Bandar Ramai Ramai, Jalan Batu Sapi
Penceramah : YB Lim Kit Siang
Tuan Hj Hamzah Abdullah

Sehubungan itu, katanya, Dewan Pemuda Pas Sabah menjemput seluruh rakyat Sabah dari pelbagai latarbelakang khususnya di kawasan berdekatan agar sama-sama dapat hadir dan memeriahkan Himpunan tersebut.

Batu Sapi : Alasan SAPP letak calon


Pengerusi Majlis Pimpinan PKR negeri Sabah, Ahmad Tamrin Hj Jaini berkata, antara alasan SAPP untuk meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi ialah kerana bekas sekutu BN itu tidak berhajat untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Menurutnya, walaupun SAPP meletakkan calon mereka, namun tidak semestinya parti itu mampu memenangi PRK tersebut walaupun mengakui tindakan parti itu hanya akan menguntungkan BN.

“Hasil mesyuarat bersama SAPP dan pimpinan PKR hari ini, nampaknya SAPP berkeras mahu meletakkan calon mereka dan kita berkemungkinan berdepan tiga penjuru jika tiada calon bebas yang lain.

Sekarang terpulang kepada rakyat Sabah untuk memilih parti mana walaupun kita mengakui tindakan SAPP untuk turut meletakkan calon mungkin akan memecahkan undi Pakatan Rakyat seterusnya akan menguntungkan BN.

Lagipun, alasan SAPP untuk bertanding kerana mereka bukan komponen Pakatan Rakyat dan tidak berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat,” katanya kepada KABAR.

KABAR ialah akhbar politik yang sebelum ini dikenali sebagai Konsep Era Pakatan.

Ditanya peluang PKR dan Pakatan Rakyat dalam PRK ini, beliau meyakini gabungan itu mampu menawan Parlimen Batu Sapi.

“Kita ada peluang untuk menang, lagipun jentera Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP ketika ini berada pada tahap amat bersedia.

Lagipun, lanskap politik semasa selepas Tsunami Politik memperlihatkan rakyat Malaysia mahukan Pakatan Rakyat menerajui negara ini,”jelasnya.

Berhubung calon yang akan diketengahkan oleh Pakatan Rakyat, samada ia calon dari kawasan Parlimen Batu Sapi atau dari luar, Tamrin cuba berteka-teki dengan hanya menyebut; “Kita tunggulah, bila sampai masanya nanti kita akan tahu juga,” katanya ringkas.

Selain SAPP, PBS dan Pakatan Rakyat, terdapat beberapa lagi parti kecil di Sabah dijangka akan meletakkan calon mereka pada PRK tersebut termasuklah beberapa calon bebas.

Untuk rekod, pertandingan tiga penjuru sesuatu yang biasa dalam politik Sabah termasuklah pertandingan lapan penjuru di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada PRU lalu.

Pertembungan sesama sendiri pembangkang di Sabah antara resepi mudah untuk BN di negeri itu kekal ‘mencengkam’ Sabah sejak 20 tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha (Operasi) Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Noordin Che Ngah dilaporkan berkata, Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah setakat ini mengeluarkan 20 borang pencalonan untuk PRK itu yang mana bagi satu set borang itu berharga RM20.

"Saya tidak pasti sama ada semua borang itu akan diserahkan kembali. Kami hanya menjual, siapa-siapa pun boleh beli.

"Tetapi kalau ada yang memutuskan untuk bertanding nanti, saya berharap borang pencalonan akan diserahkan dengan deposit RM10,000 untuk bertanding sebagai calon Parlimen," kata Noordin.

Batu Sapi : PKR Sabah gagal fahami mesej Anwar ?


Pakatan Rakyat telah memuktamadkan bahawa PKR akan mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang penamaan calonnya pada 24 Oktober ini sebelum pengundiannya pada 4 November depan.

Samada PKR di negeri Sabah benar-benar memahami perjuangan PKR, tidak dapat dipastikan tetapi menjelangnya PRK Parlimen Batu Sapi, PKR Sabah tidak habis-habis berperang sesama sendiri dalam keadaan rejim BN di Sabah ligat turun padang untuk mempertahankan kerusi itu yang sebenarnya PR mampu menawannya jika mereka mementingkan muafakat.

Sebentar tadi, difahamkan, bekas rakan BN, Parti Maju Sabah (SAPP) tetap dengan kedegilannya untuk bertanding pada PRK itu seterusnya mengesahkan pandangan banyak pihak bahawa parti itu mungkin ditaja oleh rejim BN untuk memecahkan undi PR.

Buat semua Pimpinan, penyokong, pengikut dan pendokong tegar PKR (mungkinkah banyak trojan horse dalam PKR Sabah?), fahami baik-baik ucapan Datuk Seri Anwar di Papar, Sabah bulan lalu berhubung pentingnya muafakat PKR dan PR ke arah menawan Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sekiranya anda kekal dengan sikap degil yang sama, lebih baik PAS di beri peluang untuk bertanding di Parlimen Batu Sapi.

“Saudara Tamrin (Ahmad Tamrin Hj Jaini) selaku Pengerusi (Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah) kita selaras, pimpin dengan baik kita bagi kerjasam dengan dia.

Saudara Dr. Jeffrey selaku Naib Presiden kita minta dia jaga Sabah dan Sarawak, tingkatkan.

Kita nak gaduh dalam mesyuarat, kita gaduh, Saya bukan Dewa. Kita dalam KEADILAN, kita terbuka.

Cuma sebagaimana dipesan jangan sampai digunakan oleh orang luar untuk menikam kita, kalau terkeluar maklumat dan hal-hal yang boleh melemahkan kita. Ini kita pesan.

Jadi sebab itu, kita kena bergabung tenaga, selain daripada kita perkuatkan KEADILAN, kita kerjasama dengan DAP dan PAS, kerana kita dikalangan pimpinan, kita sudah bertekad.

Saudara tahu betapa banyak hubungan peribadi saya dengan pimpinan PAS dan DAP. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang. Kita berkomunikasi hampir setiap hari.

Saya Melayu Muslim, Lim Kit Siang Cina, bukan Islam. Saya PKR, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru HJ Hadi Awang PAS, tapi kita bincang dan cari muafakat.

Kalau saya boleh kerja macam satu keluarga, dengan pimpinan dalam Pakatan Rakyat, sebab apa kita dalam satu parti (dalam PKR) di negeri Sabah ini tak boleh muafakat macam adik-beradik,” tegas Anwar dalam ceramah di Papar, Sabah baru-baru ini.

Salam perjuangan di Batu Sapi!

Batu Sapi : SAPP tetap degil mahu lawan PR ?

Pilihan raya kecil Batu Sapi dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan SAPP apabila usaha mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti pembangkang itu menemui jalan buntu.

Di sebalik usaha supaya kerusi Batu Sapi ditandingi satu lawan satu, kedua-dua PKR dan SAPP berdegil mahukan calon masing-masing diketengahkan.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak berkempen menentang satu sama lain dan menjadikan BN sebagai sasaran bersama dengan harapan pilihan raya kecil itu boleh dijadikan "sumber rujukan" oleh mereka apabila mengadakan rundingan pada masa akan datang.

SAPP akan mengumumkan calonnya Sabtu ini, manakala Leong sekadar berkata PKR akan mengumumkan calonnya "sedikit masa lagi".

BN akan mengumumkan calonnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Ahad ini.

Mesyuarat peringkat tertinggi lebih sejam hari ini diadakan oleh kedua-dua parti itu dengan bendahari PKR mewakili Pakatan Rakyat manakala SAPP pula diketuai oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media selepas mesyuarat itu, kedua-dua pemimpin berkenaan mengakui tiada kata sepakat yang dicapai mengenai Batu Sapi.


Namun, mereka tidak menolak kemungkinan kerjasama pada pilihan raya umum akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan penamaan calon pada Selasa ini manakala pengundian adalah pada 4 November ini.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau dicabar oleh calon Bebas, Chung Kwong Wing tetapi berjaya mengekalkan kerusinya dengan mudah dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.-MK-

Batu Sapi : Muhyiddin gembira perbalahan SAPP-PKR


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu sedar bahawa pertelagahan yang wujud di kalangan parti pembangkang merupakan sikap sebenar pakatan berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kesepakatan yang cuba ditunjukkan pembangkang hanya bersifat kepura-puraan demi kepentingan politik.

Jelasnya perbalahan yang timbul terutamanya kegagalan mencari kata sepakat mengenai calon untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini memberi isyarat yang cukup jelas.

"Apa yang berlaku dalam pembangkang jelas memberi syarat dan iktibar kepada pengundi bahawa walau siapapun bertanding di situ mereka akan kata mereka sepakat namun sebenarnya tidak," katanya di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perbalahan yang berlaku antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) berhubung penentuan calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Perbalahan itu timbul apabila PKR mengumumkan akan meletakkan calon mereka walaupun SAPP yang merupakan parti pembangkang di Sabah sudah mengesahkan akan bertanding.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, BN tidak mempunyai masalah dalam isu penentuan calon kerana mengamalkan konsep permuafakan antara parti komponennya.

"Biar mereka bertelagah, bagi kita BN tak ada masalah kerana kita sudahpun ada konsep muafakat, kerusi itu akan diwakili PBS (Parti Bersatu Sabah) walaupun di situ Umno mempunyai ahli terbanyak.

"Kita setuju untuk sokong calon PBS. yang penting kita mesti bekerja keras untuk pastikan kemenangan," katanya.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Edmond Chong Ket Wah daripada BN akibat satu nahas jalan raya pada 9 Oktober.

Pada pilihan raya umum lalu, Chong yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah, menewaskan calon Bebas, Dr Chung Ong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi termasuk hampir 16,000 pengundi Bumiputera dan lebih 9,700 pengundi Cina. Penamaan calon ialah pada 26 Oktober ini.-Mstar-

Batu Sapi : BN biayai kempen SAPP?


Setelah Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di Parlimen semalam bahawa Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Rakyat di pilihan raya kecil Batu Sapi, persoalan berhubung Parti Maju Sabah (SAPP) yang juga mahukan kerusi tersebut sudahpun terjawab.

Pengerusi DAP Sabah, Dr Hiew King Cheu menyifatkan pengumuman tersebut satu langkah yang tepat dan gesaan supaya SAPP memberi laluan satu lagi kekuatan Pakatan Rakyat sebagai gagasan popular yang merentasi kaum, agama dan sempadan.

Bagi Dr Hiew yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, isu yang paling penting sekiranya ada ura-ura Pakatan Rakyat mahu bekerjasama dengan parti pimpinan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee adalah samada parti itu boleh diyakini sebagai rakan kongsi politik.

Malah kata beliau adakah SAPP boleh dipercayai?

Pakatan Rakyat katanya perlu mempelajari sejarah dan mengambil iktibar daripada liku-liku perjalanan politik Sabah yang diwarnai dengan segala macam ragam termasuk pengkhianatan sesama parti komponen demi kelangsungan pengaruh dan kuasa politik peribadi.

"Sebelum Pakatan Rakyat terfikir mahu bekerjasama dengan SAPP, fikir dulu masak-masak dan selidik latar belakang SAPP.

"Semasa dalam Barisan Nasional dahulu SAPP digunakan oleh Umno untuk memecahkan undi samada pada pilihan raya kecil mahupun pilihan raya umum. Parti itu mendakwa ia adalah parti tempatan walhal hakikatnya SAPP adalah parti dari Sabah yang didaftarkan di Kuala Lumpur, seperti juga parti-parti lain termasuk DAP, PAS dan KEADILAN.

"Mereka juga berdakwa parti-parti dalam Pakatan Rakyat adalah parti Semenanjung. Ini juga tidak benar. Kita adalah parti nasional sementara SAPP sebenarnya 'parti nyamuk'. Umpamanya DAP mempunyai 29 Ahli Parlimen dan 71 Ahli Dewan Undangan Negeri sementara SAPP hanya ada dua Ahli Parlimen dan dua Adun sahaja, itu pun semua di negeri Sabah," terang Dr Hiew.

Payah bagi mana-mana parti politik mahu mengadakan kerjasama dengan SAPP tegas tokoh veteran DAP itu.SAPP

Ini kerana sejarah mengajar bagaimana SAPP dibeli oleh Umno-BN ketika bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) sebagai rakan kongsi dalam kerajaan negeri tetapi kemudiannya parti itu mengkhianati PBS dan seterusnya menyumbang kepada kejatuhan pentadbiran Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 1993.

Teck Lee juga bertindak membawa keluar partinya sebagai komponen BN pada tahun 2009 setelah menuduh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi membelakangkan serta menafikan hak negeri Sabah. Kalau beliau buat begitu kepada bosnya, beliau juga boleh berbuat demikian kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.

"Sebenarnya Teck Lee marah sebab beliau tidak dapat jawatan dan permintaannya tidak dilayan oleh Perdana Menteri. Dia juga marah sebab beliau dilantik sebagai Senator tapi perlu menunggu giliran sebab tidak ada kekosongan dalam Dewan Negara. Dulu Pairin adalah bosnya tapi dia khianat, lepas itu Pak Lah jadi bos, dia pun khianat. Saya nak tanya adalah mana-mana parti politik berani menjadi rakan kongsi SAPP?," tanya Dr Hiew.

Dr Hiew tidak menolak kemungkinan langkah SAPP bertegas mahu bertanding di Batu Sapi adalah atas arahan BN malah tidak dinafikan BN juga membiayai segala kempen dan perbelanjaan parti itu di kawasan itu.

Beliau menegaskan Pakatan Rakyat di sabah telah bekerja keras selepas PRU 2008 untuk menarik sokongan rakyat dan hasilnya amat memberangsangkan sekali.

"Kita semua berkorban dan bekerja bersungguh-sungguh untuk membina kekuatan di Sabah. Jangan sia-siakan semua ini kerana mahukan sokongan SAPP. Mereka tidak boleh dipercayai.

"Kalau kita bekerjasama dengan SAPP ini bermakna kita telah menghampakan kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terutamanya apabila SAPP berkata berkali-kali bahawa parti itu mahu bertanding di 40 kerusi kerana Yeck Lee mahu menjadi Ketua Menteri.

"Bayangkan kalau Pakatan Rakyat beri 20 kerusi kepada SAPP dan pada hari penamaan calon parti itu isytihar menyokong BN, hilang begitu kerusi kepada BN dan hilanglah impian kita mentadbir serta membawa perubahan di Sabah," hujah beliau.

Sehubungan itu beliau menyeru pengundi Sabah supaya tidak mensia-siakan undi mereka kepada SAPP dan membuat tekad untuk menyokong calon Pakatan Keadilan sepenuhnya.

"Kalau SAPP benar-benar anti-BN, jangan pecahkan undi Pakatan Rakyat di Batu Sapi. Tarik diri dan buktikan bahawa anda betul-betul serius mahu jatuhkan BN. Kalau tidak anda sememang bersekongkol dan menjadi ejen BN," cabar Dr Hiew lagi.-SK-

Wednesday, October 20, 2010

Batu Sapi : SAPP pecahkan undi PR ?


Oleh : ISMAILY BUNGSU

SAYA sengaja provokasi agar Yong Teck Lee diletak jadi calon di Batu Sapi sebab saya mahu melihat reaksi semua orang dan harus berfikir secara yang lebih jauh.

Sebab hakikatnya di sana majoriti orang Cina dan majoriti dulu dimenangi oleh orang Cina dengan kelebihan undi yang begitu besar iaitu dekat 4,000 orang.

dan kalau demikian memang sukar kelihatannya, tetapi meski demikian harapan masih ada sebab kaum cina sudah tidak menyokong BN lagi, kalau adapun hanyalah tinggal 10%(kata orang kuat UMNO dari Tuaran)

Sesungguhnya election kali ini di Batu Sapi merupakan TEST buat Datuk Yong Teck Lee dan kalau memang Pakatan tak memilih calon parti dari SAPP dan Pakatan memilih orang Cina juga dari DAP atau PKR, lalu apa tindakan Yong Teck Lee dan kita akan tahu kemudian.

Kalau memang Yong Teck Lee/SAPP meletakkan calon juga dan terpaksa bersaing antara BN/SAPP dan DAP atau parti lain, maka itu bermakna SAPP tidak bisa dibawa berunding di PRU-13 yang akan datang dan PKR/PAKATAN harus memikirkan hal ini secara bijak sana politik masa depan.

Kita mengerti majoriti election yang lewat cukup besar dan apakah kemungkinan itu sokongan ahli2 SAPP di Batu Sapi atau LDP dan yang lainnya di PBS?

kita tidak pasti dan pandangan saya kalau dinilai secara buku kala DAP/PKR/SAPP meletakkan calon di Batu Sapi nanti,

Semuanya bakal putih mata dan kemenangan berpihak kepada BN sebab kita akan melihat taburan wang akan berlaku di sana kedua kemenangan Pakatan/pembangkang atau bebas di Batu Sapi tidak bisa mengubah kerajaan.

Kelihatannya Batu Sapi menjadi medan Pakatan untuk menguji kejujuran parti SAPP nantinya. Kita sama melihatnya dan kali ini PAKATAN jangan mudah tertipu.

Lagi Pilihan Raya Kecil di Kedah ?

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang dari Umno-BN, Datuk Syed Sobri Syed Hashim diisytihar bankrap minggu lalu ekoran kegagalan syarikatnya membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus menimbulkan kemungkinan membuka ruang kepada satu lagi pilihan raya kecil.

Kerusi disandang Syed Sobri, yang pernah berhadapan dengan isu yang sama dua tahun lalu, boleh diisytihar kosong jika gagal menjelaskan hutang itu kepada KWSP.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan wakil rakyat dari Kedah itu, yang didakwa bersama tiga defendan yang lain termasuk syarikatnnya, sebagai muflis Jumaat lalu.

Bagaimanapun di peringkat minggu lalu, mahkamah dikatakan hanya mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis selaku salah seorang pengarah syarikatnya.

Maklumat sebelum ini menyebut Syed Sobri (gambar) merupakan pengasas Kulim Enterprise.

Beliau dipercayai akan membuat rayuan.

Syarikatnya dipercayai gagal menjelaskan baki caruman lebih RM700,000. KWSP dikatakan membawa kes itu 2003.

Usaha mendapatkan kenyataan firma guaman yang mewakili Syed Sobri juga gagal.

Syed Sobri ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam menafikan beliau muflis sambil berkata, ia sengaja disebarkan oleh musuh politiknya.

“Semua terkawal, semua OK, saya tidak tahu siapa yang buat perkara ini.

“Tiada masalah, saya tidak tahu mengapa ini berlaku. Saya anggap ini satu fitnah pembangkang menjelang Perhimpunan Agung Umno,” kata beliau.

Perhimpunan Agung Umno 2010 bermula semalam.

Sambil menegaskan perkara ini secara terus-menerus dan sengaja disebarkan oleh pihak tertentu, Syed Sobri berkata, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang.

Ketika ditanya sama ada benar beliau tidak melangsaikan caruman KWSP, Syed Sobri berkata, ia dibayar balik dari semasa ke semasa secara ansuran.

“Saya sudah bayar secara ansuran, ini kes lama... tiada masalah,” kata beliau lagi.

Pada awal November 2008, beliau dikatakan hampir muflis kerana hutang bank.

Bagaimanapun menurut Syed Sobri ketika itu, beliau sudah pun menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Oleh itu katanya, peguam beliau juga telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan 3 November 2008, mengisytiharkan dirinya muflis.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805.

Selain itu, Syed Sobri juga menjadi perhatian kerana pernah dikaitkan dengan spekulasi akan mengosongkan kerusi atau melompat parti awal tahun ini.

Bagaimanapun ia dinafikan oleh Syed Sobri sendiri, yang juga Naib Ketua Umno Padang Terap.

Malah, ia bukan kali pertama Adun Kuala Nerang ini dikaitkan dengan isu letak jawatan.

Pada awal 2009, beliau pernah berada dalam situasi yang sama sehingga Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membuat kenyataan mengumumkan Syed Sobri tidak akan melepaskan jawatan setelah mereka berbincang hati ke hati pada 28 April 2009.

Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham Hashim meminta Syed Sobri supaya sedar diri bahawa beliau mewakili BN dan tidak seharusnya berlagak seperti wakil rakyat Bebas.

Umno mahu rayu, elak pilihan raya kecil DUN Kuala Nerang
Oleh Syed Mu’az Syed Putra
October 20, 2010


KUALA LUMPUR, 20 Okt – Umno bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil ekoran keputusan mahkamah mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim sebagai muflis Jumaat lalu.

Sambil mengakui belum ada butiran terkini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengelakkan pilihan raya kecil dengan membuat rayuan.

Syed Sobri diisytihar muflis ekoran kegagalan syarikatnya membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengisytiharan bankrap terhadap Syed Sobri kemungkinan membuka ruang kepada satu lagi pilihan raya kecil.

“Kita akan selidik dan lihat dulu perkara ini... jika perlu buat rayuan, kita akan buat,” kata Shafie.

Shafie yang juga Pengerusi Umno Kedah berkata, beliau belum menerima sebarang makluman daripada Syed Sobri sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya tidak tahu apa status perkara ini. Syed Sobri juga tidak maklumkan kepada saya mengenainya.

“Dulu saya pernah jumpa dengan beliau tapi perkara lain,” kata Shafie kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas melawat bilik media Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Jelas Shafie, parti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk diadakan pilihan raya kecil membabitkan kerusi DUN Kuala Nerang.

“Kalau perlu merayu kita akan buat tapi sekiranya perlu buat persediaan dengan keadaan berhadapan pilihan raya kecil kita akan adakan.

“Tiada masalah bagi kita, tapi saya harap tidak ada pilihan raya kecil,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Syed Sobri, yang didakwa bersama tiga defendan yang lain termasuk syarikatnnya, sebagai muflis Jumaat lalu.

Bagaimanapun di peringkat minggu lalu, mahkamah dikatakan hanya mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis selaku salah seorang pengarah syarikatnya.

Maklumat sebelum ini menyebut Syed Sobri merupakan pengasas Kulim Enterprise.

Beliau dipercayai akan membuat rayuan.

Syarikatnya dipercayai gagal menjelaskan baki caruman lebih RM700,000. KWSP dikatakan membawa kes itu 2003.

Syed Sobri ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam menafikan beliau muflis sambil berkata, ia sengaja disebarkan oleh musuh politiknya.

Pada awal November 2008, beliau dikatakan hampir muflis kerana hutang bank.

Bagaimanapun menurut Syed Sobri ketika itu, beliau sudah pun menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Oleh itu katanya, peguam beliau juga telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan 3 November 2008, mengisytiharkan dirinya muflis.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805.

Wednesday, October 13, 2010

Calon PR di Batu Sapi : Anwar bersikap terbuka


Ketua Pakatan Rakyat di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menunjukkan ketokohannya sebagai pemimpin apabila mengambil sikap terbuka berhubung komponen mana yang akan mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Batu Sapi yang kosong sejak 9 Oktober lalu.

Anwar yang sejak sebulan lalu kerap ke Sabah, memberi peluang seluas-luasnya kepada PKR, PAS dan DAP di negeri itu untuk berbincang dalam semangat kekeluargaan bagi memastikan keputusan terbaik dihasilkan oleh gabungan itu di Sabah sebelum diperincikan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat pusat.

“Pakatan memutuskan bahawa PAS akan meletakkan calonnya di Galas, dan DAP, PKR akan membantu memastikan kemenangan.

“Kami juga memutuskan untuk memberi kuasa kepada Pakatan Rakyat Sabah agar memutuskan parti yang akan bertanding di kerusi Parlimen Batu Sapi.

“Keputusan parti mana yang akan bertanding di Batu Sapi akan diputuskan oleh Pakatan Rakyat Sabah sebelum Isnin ini,” katanya dalam satu sidang akhbar petang tadi yang turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua DAP di Parlimen, Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan utama ketiga-tiga komponen itu.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, fuziah Salleh berkata, PKR akan mewakili PR pada PRK itu sebagaimana diputuskan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Difahamkan, calon PKR ketika itu, Dr Yusuf Sheikh Ahmad, ditahan oleh anggota polis cawangan khas untuk disoal-siasat sehingga proses penamaan calon berakhir yang menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi itu buat kali kedua berturut-turut sejak kerusi itu diwujudkan buat pertama kali pada tahun 2004.

PKR Cabang Batu Sapi telah menyenarai pendek tiga calon termasuklah dua daripadanya merupakan Bumiputera Islam yang juga anak tempatan di kawasan itu.

Manakala Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Yang Dipertua (YDP) PAS Sandakan, Ustaz Abdul Wahid pula mahu PAS diberi peluang untuk bertanding di kawasan itu pada PRK kali ini.

Rasanya sudah tiba masanya Pakatan Rakyat mengutamakan calon berbanding komponen mana yang bertanding.

Ini bagi memastikan PRK pertama di Sabah ini memberi kemenangan bermakna buat Pakatan Rakyat di Sabah, negeri yang dipropagandakan oleh rejim BN sebagai deposit tetap mereka.

Janganlah jadi seperti BN, sebaik kekososngan kerusi itu, Naib Presiden Umno, Hishamudin Husin mengeleluarkan kenyataan bahawa beliau mahu agihan kerusi dalam sekutu-sekutu BN di kaji semula.

“Kita perlu menang dan pastikan sistem kuota itu bukan satu kekangan untuk dapatkan sokongan. Pengalaman dalam pilihan raya lalu adalah satu peluang untuk memperbaiki kelemahan diri.

"Kita tidak semestinya mengikut formula lama yang diamalkan sejak dulu. Mungkin corak lama sudah tidak lagi sesuai. Pindaan Perlembagaan UMNO sendiri adalah hasil daripada pengalaman pilihan raya lalu," katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri anjuran UMNO Bahagian Selayang di Kuang, dekat Rawang pada 9 Oktober lalu.

Sebelum ini, Umno Sabah mengeluarkan kenyataan keras untuk ‘merampas’ beberapa kerusi sekutunya dalam BN di negeri itu termasuklah yang disandang oleh LDP, PBRS dan PBS.

PBS ialah penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi sejak tahun 2004.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini berkaitan PRK Parlimen Batu Sapi.

Konvensyen PR kali kedua 19 Disember ini


Ketua Pakatan Rakyat di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa gabungan itu akan mengadakan konvensyennya yang ke dua pada 19 Disember depan selepas ia kali pertama diadakan pada 19 Disember tahun lalu.

Menariknya, konvensyen kali ini akan diadakan di Dewan Millenium Kepala Batas, Pulau Pinang yang Ahli Parlimennya ialah bekas Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar yang juga AP Permatang Pauh menjelaskan, konvensyen itu antara lain akan menyentuh isu Felda dan Felcra, tanah Kampung Baru, isu pendidikan, pekerja wanita serta skandal BN dalam beberapa projek besar negara.

Sebelum konvensyen itu, katanya, satu Sidang Kemuncak Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November depan di Shah Alam, Selangor.

“Ia akan diadakan di Dewan Millennium, Kepala Batas. Kami akan membincangkan isu-isu berkaitan dengan Felda, Felcra, penempatan-penempatan kampung baru,” kata Anwar dalam satu sidang akhbar petang tadi yang turut disertai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua DAP di Parlimen, Lim Kit Siang dan barisan kepimpinan utama ketiga-tiga parti yang lain.

Difahamkan, konvensyen itu juga akan turut dihadiri buat pertama kali oleh satu lagi komponen gabungan itu, Parti Nasional Sarawak (SNAP) yang secara rasmi diumumkan menyertai Pakatan Rakyat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu Mei lalu walaupun SNAP telah pun bersama gabungan pembangkang di Sarawak sejak tahun 2006.

Untuk rekod, PR dibentuk selepas Tsunami Politik yang tercetus oleh gelombang rakyat pada 8 Mac 2008.

Konvensyen ini dilihat tepat pada masanya kerana rejim BN ketika ini melakukan pelbagai serangan gila dan terdesak terhadap PR dari setiap penjuru termasuklah fitnah terhadap Anwar dan beberapa negeri yang diperintah Pakatan Rakyat ketika ini.

Suatu hakikat berhubung Pakatan Rakyat ialah pimpinan utama gabungan itu diperingkat pusat khususnya Anwar, Hj. Hadi, Kit Siang dan beberapa pimpinan lagi kerap bertemu malah Anwar menyifatkannya hampir setiap hari tetapi ia ‘digelapkan’ oleh media upahan Umno-BN.

“Saudara tahu betapa banyak hubungan peribadi saya dengan pimpinan PAS dan DAP. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang. Kita berkomunikasi hampir setiap hari.

Saya Melayu Muslim, Lim Kit Siang Cina, bukan Islam. Saya PKR, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru HJ Hadi Awang PAS, tapi kita bincang dan cari muafakat,” kata Anwar dalam satu ceramah di Sabah baru-baru ini.

Batu Sapi : Beri peluang PAS bertanding - Wahid

PAS Kawasan Sandakan mengharapkan agar PAS diberi peluang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan di Parlimen Batu Sapi.

Kerusi parlimen itu kosong ekoran kematian wakil rakyatnya mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah pada 9 Oktober lalu.

Walaupun pada dasarnya kerusi tersebut diperuntukan untuk PKR, namun track recod daripada siri piliharaya yang lalu menunjukkan PKR gagal.

Justeru PAS kawasan Sandakan beranggapan bahawa sudah sampai masanya untuk PAS diberi peluang untuk bertanding di kawasan itu.

Yang Dipertua PAS Sandakan, Sdr. Abd. Wahid menegaskan bahawa peluang untuk Pakatan Rakyat (PR) yang diwakili oleh PAS, menang adalah cerah.

Ini kerana, PAS Batu Sapi yang diketuai oleh Tn. Hj. Hamzah Abdullah yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah telah sekian lama menjalankan pelbagai program kemasyarakatan yang memberi kredit kepada PAS.

Di samping itu parlimen Batu Sapi mempunyai 60.14% pengundi Bumiputera Islam. Maka dengan imej Islam yang dibawa PAS sudah pasti ia dapat menambat hati pengundi.

"Walau bagaimanapun PAS tetap menghormati keputusan Sekretariat Pakatan Rakyat Sabah untuk memutuskan siapa yang akan mewakili PR di parlimen Batu Sapi.

InsyaAllah, PAS Sandakan yang merupakan 'jiran terdekat' Batu Sapi akan mengarahkan seluruh jenteranya untuk membantu Batu Sapi" tegas sdr. Abd. Wahid.

http://pas313sdk.blogspot.com/2010/10/beri-peluang-pas-bertanding-di-parlimen.html

Batu Sapi : sokong AMK sebagai calon

oleh MUSLIMIN ARIP

SAYA amat tertarik dengan kenyataan media rasmi rakyat Sabah iaitu sabahkini.net bahawa sudah tepat pada waktunya Calon Parlimen Batu Sapi diberi kepada Angkatan Muda PKR yang berasal daripada Batu Sapi sendiri.

Cadangan ini timbul semata-mata kerana berdasarkan sejarah pilihanraya umum Sabah, PKR telah mengimport ramai ‘calon bidan terjun’ sehingga gagal meraih sokongan akar umbi dan pengundi atas pagar disebabkan kecenderungan mereka menyukai calon tempatan yang mudah mesra dan boleh ditemui di mana sahaja.

Dengan pemilihan wakil Angkatan Muda PKR, terutama Ketua AMK merangkap Setiausaha Bahagian Batu Sapi; yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan, dijangka pola sokongan pengundi akan berubah dan memihak kepada PKR sekalipun kemungkinan menghadapi lawan yang hebat seperti Datuk Yong Teck Lee (SAPP) dan calon PBS yang juga daripada luar daerah.

Pada pandangan peribadi saya, Angkatan Muda PKR Sabah amat berbangga sekiranya PKR Pusat memilih Zainuddin Hassan sebagi calon pilihanraya kecil ini kerana sejak beberapa dekad PKR bertapak di kawasan Batu Sapi, tidak seorangpun ‘anak watan’ pernah diberi mandat untuk mewakili bangsa dan kaumnya sendiri.

Sehubungan itu, pemilihan Zainuddin yang mewakili Angkatan Muda PKR akan memberi kejutan kerana keberanian dan perjuangan selama ini menentang kezaliman BN dan saya tidak menolak kemungkinan jika ada calon lain yang mencuri peluang untuk melakukan kejutan pada saat akhir.

Izinkan saya memaparkan contoh daripada sejarah pilihanraya Parlimen Batu Sapi kerana sejak PKR mula meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihanraya umum 1999 dengan meletakkan Mazry Nasir yang berasal daripada Kota Kinabalu.

Pada Pilihanraya Umum 2004, PKR meletakkan Amir Bak Laja berasal daripada Semporna dan Calon Parlimen, Pg Roslan Pg Nasrun berasal daripada Sukau (Calon ini telah dibeli dan melompat ke parti UMNO).

Pilihanraya ke 12 (2008) Calon DUN Sekong, Datuk Nahalan Damsal pernah mewakili UMNO sebagai wakil rakyat tetapi dipilih dalam PKR menjadi calon dan beliau ini telah gagal ketika dalam UMNO untuk mewakili rakyat dan kaumnya di DUN Sekong, walaupun beliau berasal daripada kawasan DUN Karamunting.

Kini tahun 2010 satu keajaiban berlaku di Batu Sapi dan apakah Angkatan Muda akan terus dilupakan PKR Pusat dengan meletak calon daripada luar sekali lagi dengan memperjudikan nasib rakyat yang tertindas semata-mata untuk menjaga hirarki parti?

Namun terserah kepada Ketua Cabang Batu Sapi, OKK Hassnar MP Ebrahim dan MPN serta PKR Pusat menentukan calon pada pilihanraya kecil dan sebagai ahli say patuh kepada apa juga keputusan; namun kami merayu sebelum pengumuman dibuat oleh PKR Pusat.

Pandangan dan sokongan saya ini berkisar kepada kronologi yang berlaku di kawasan Batu Sapi dan saya yakin PKR Pusat telah banyak belajar daripada petualangan yang berlaku dalam PKR Sabah setelah berjaya membersihkan parasit dan pembelot dalam parti; sewajarnya mendengar rintihan Angkatan Muda dan rakyat Batu Sapi.

Tuesday, October 12, 2010

Batu Sapi : PKR tetapkan dua kriteria utama


PKR Sabah menetapkan dua perkara penting berhubung pemilihan calon dari parti itu yang akan mewakili Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang kosong sejak 9 Oktober lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, yang juga Ketua Cabang Tuaran, Haji Ansari Abdullah berkata, dua prinsip itu ialah calon tersebut mestilah diterima oleh rakyat di kawasan itu dan sanggup berkhidmat untuk rakyat.

Sehubungan itu, katanya, satu mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan perkara itu di Ibu Pejabat PKR di Kota Kinabalu hari ini.

Beliau turut memberitahu, agar pertandingan satu lawan satu akan berlaku pada PRK yang pertama di Sabah ini.

“Kita harap dapat melihat pertandingan satu lawan satu di Batu Sapi. Sebenarnya kawasan itu diperuntukkan kepada PKR oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya yang lepas.

“Bagi PKR, kami sudah siap sedia untuk menghadapi pilihan raya itu,” katanya pada sidang akhbar di Kota Kinabalu berhubung kesediannya untuk bertanding (gambar) sebagai calon Naib Presiden dalam pemilihan PKR Pusat November depan.

Ansari menjelaskan selepas mesyuarat PKR Sabah hari ini (12 Oktober 2010) parti itu akan mengadakan perbincangan dengan parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat terutama dalam soal penubuhan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat termasuklah Pembangkang Bebas di negeri itu, Parti Maju Sabah (SAPP).

Selain SAPP, turut dilaporkan berminat bertanding di kawasan itu ialah Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga komponen Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Fuziah Salleh mengesahkan Parlimen Batu Sapi merupakan kuota untuk PKR sebagaimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Difahamkan, calon PKR ketika itu, Dr Yusuf Sheikh Ahmad, ditahan oleh anggota polis cawangan khas untuk disoal-siasat sehingga proses penamaan calon berakhir yang menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusi itu buat kali kedua berturut-turut sejak kerusi itu diwujudkan buat pertama kali pada tahun 2004.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Batu Sapi yang baru, OKK Hassnar MP Ebrahim dilaporkan menolak untuk dicalonkan dalam PRK itu

Hassnar bagaimanapun menyatakan pihaknya telah menamakan tiga calon untuk dipertimbangkan termasuklah dua daripadanya berketurunan Suluk dan seorang lagi berketurunan Bajau.

Berikut ialah Keputusan dalam Parlimen itu pada PRU 8 Mac 2008

P185 BATU SAPI = Jumlah Pengundi: 26,004 (angka ini akan berubah selepas ini)

Peratusan Kaum: B/I: 60.14% B/B/I: 2.31% C: 37.21% L: 0.34%

1. Edmund Chong Ket Wah (BN) (9,479)
2. Chung Kwong Win (Bebas) (5,771)

Majoriti: 3,708
Jumlah undi: 15,980
Peratus mengundi: 61.45%
Undi rosak: 730
Penyandang 2004 : Edmund Chong Ket Wah (BN)
(Majoriti: Menang tanpa bertanding

N43 SEKONG
Jumlah Pengundi: 11,308
Peratusan Kaum: B/I: 81.05% B/B/I: 2.22% C: 16.58%
1. Datuk Shamsuddin Yahya (BN) (4,271)
2. Datuk Nahalan Damsal (PKR) (2,082)
3. Mansor Mursalim (Bersekutu) (242)
Majoriti: 2,189
Jumlah undi: 6,876
Peratus mengundi: 60.81%
Undi rosak: 281
Penyandang 2004: Datuk Shamsuddin Yahya (BN)
(Majoriti:) Menang tanpa bertanding


N44 KARAMUNTING
Jumlah Pengundi: 14,696
Peratusan Kaum: B/I: 44.06% B/B/I: 2.38% C: 53.08%
1. Peter Pang En Yin (BN) (5,171)
2. Sak Cheong Yu (Bebas) (1,455)
3. Tan Shu Tee (PKR) (452)
4. Chok Kon Tack (DAP) (1,809)
Majoriti: 3,362
Jumlah undi: 9,158
Peratus mengundi: 62.32%
Undi rosak: 271
Penyandang 2004 : Datuk Wong Lien Tat (BN)
(Majoriti: 1,579 undi)

Batu Sapi : Hassnar atau Zainuddin?

Beberapa anggota PKR dalam Cabang Batu Sapi mahu PKR pusat memilih dua nama sebagai antara calon yang perlu dipertimbangkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi iaitu samada OKK Hassnar MP Ebrahim atau Zainuddin Hassan.

Seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Induk Cabang Batu Sapi, Albaris Nasra mahu AJK PKR di Cabang itu diberi peranan untuk mengemukakan nama calon yang akan diturunkan kelak bagi memastikan PKR menang di PRK tersebut.

Menurutnya, calon itu seharusnya dalam kalangan mereka yang kalis ujian wang dan jawatan selain bukan calon import.

“Jika boleh, biarlah Jawatankuasa Cabang yang mengemukakan cadangan siapa yang akan diturunkan membawa panji-panji PKR kerana jika silap letak calon, PKR hanya akan gigit jari.

“Kalau letak calon yang boleh dibeli dengan wang ringgit atau tawaran jawatan atau calon import, lebih baik tidak payah bertanding kerana hanya memenatkan dan membazir wang parti sahaja,” katanya.

Sehubungan itu, Albaris mencadangkan OKK Hassnar MP Ebrahim sebagai calon PKR yang disifatkannya sebagai tokoh paling berpengaruh, matang dan mempunyai pengalaman untuk mematahkan strategi BN.

Albaris turut menegaskan bahawa OKK Hassnar mempunyai pakej lengkap untuk menjadi calon untuk menawan kerusi itu seterusnya membawa suara lebih garang di Parlimen selain membantu PKR untuk menawan Sabah pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Albaris turut memberitahu, sebagai satu-satunya peniaga bumiputera yang berjaya dan tokoh Anak Negeri yang disegani ramai, OKK Hassnar, mampu memenangi PRK itu namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan Cabang dan Majlis Pimpinan Negeri serta PKR Pusat untuk memutuskannya.

Untuk rekod, OKK Hassnar pernah bertugas sebagai Ketua Polis Daerah di Sandakan, Sabah selain aktif memperjuangkan hak rakyat di negeri itu dan sudah pasti perjuangan beliau itu tidak dilaporkan oleh media arus perdana.

Di bidang politik, beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Cabang PKR Libaran dan kini merupakan Ketua Cabang PKR Batu Sapi yang dimenanginya dalam pertandingan tiga penjuru pada September lalu.

Dalam pertandingan itu, OKK Hassnar meraih 220 undi berbanding dua pencabarnya, Ahmad Ibrahim dan Mohd Din Mustapha yang masing-masing memperoleh 132 undi dan 50 undi.

“Kita kena pastikan PKR benar-benar bersih daripada petualang di dalam parti dan setakat ini kita bersyukur kerana PKR Sabah hampir kelihatan bersih sekalipun masih ada saki baki pengkhianat tegar di dalam PKR, tetapi syukur kerana pemimpin mula menerima saranan ahli.

“Kemenangan saya tidak penting, tetapi menentang BN secara berterusan sehingga menjelang pilihanraya umum akan datang adalah tugas penuh komited semua ahli PKR dan rakyat Sabah yang inginkan pembaharuan,” katanya selepas menang dalam pemilihan itu.

Bagi Aidil Kadir yang juga AJK Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Batu Sapi, beliau berpendapat Ketua Penerangan AMK Sabah, Zainuddin Hassan wajar dipilih sebagai calon sekiranya OKK Hassnar tidak berminat untuk bertanding pada PRK tersebut.

“Peluang saksama harus diberikan kepada pemimpin pelapis Angkatan Muda seperti Zainuddin kerana selama ini beliau tidak jemu-jemu memperjuangkan masalah rakyat di seluruh Sabah secara konsisten.

Jika Angkatan Muda tidak diberi peluang kali ini, bila lagi kami boleh membuktikan bahawa kami juga boleh memimpin,” katanya yang berkeyakinan Zainuddin berpotensi untuk menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen.

Sementara itu, AJK Cabang Batu Sapi, Aris Remigius, berpendapat Kawasan Batu Sapi memerlukan Wakil Rakyat yang dinamik dan mampu membawa isu rakyat ke Parlimen dan peluang saksama harus diberikan kepada Angkatan Muda yang selama ini menjadi tonggak perjuangan PKR di Sabah.

Aris juga berharap agar calon yang dipilih kelak merupakan anak tempatan yang yang mesra dan mudah didekati serta melihat peluang untuk menawan Parlimen itu amat cerah dengan meletakkan Zainuddin sebagai calon.

Difahamkan, Zainuddin dilahirkan Kampung Gas, Jalan Batu Sapi, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekong yang terletak dalam Parlimen Batu Sapi.
Beliau berkelulusan Diploma Automotif dengan mendapat pendidikan awal di SM St. Michael, Sandakan Bandar.

Dalam bidang politik, beliau pernah menjawat Setiausaha Pemuda Bahagian Sekong, Setiausaha Bahagian Sekong dan Ketua Pemuda Bahagian Batu Sapi dalam Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum berhijrah ke dalam PKR sejak tahun 1999 sehingga kini.

Dalam pemilihan PKR baru-baru ini, beliau mengekalkan jawatan Ketua AMK Cabang Batu Sapi merangkap Ketua Penerangan AMK Sabah serta berperanan sebagai Setiausaha Cabang Batu Sapi.

Zainuddin sudah bernikah dan mempunyai empat orang anak dan antara pimpinan AMK di Sabah yang kedepan dalam memperjuangkan hak rakyat.

SPR akan bermesyuarat pada 15 Oktiber ini berhubung persiapan Pilihan Raya di Parlimen Batu Sapi manakala Pengarah Pilihan Raya PKR Pusat, Fuziah Salleh mengesahkan PKR akan mewakili Pakatan Rakyat dalam PRK tersebut.

Batu Sapi : Badrul cadang tangguhkan pemilihann PKR

Calon jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin minta partinya yang dalam proses mengadakan sistem pemilihan langsung bersejarah peringkat pusat, kira-kira sebulan bermula 29 Oktober ini, agar menangguhkan aktiviti itu.

Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadian Rakyat (PKR) harus meneliti syor ini supaya parti ada masa yang cukup untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan dengan proses pemilihan dan juga bagi memberi tumpuan ke atas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Batu Sapi.

Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) ini berkata, parti perlu menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak “agar jangan sampai rumah sudah siap tetapi pahat terus berbunyi.”

“Kita hendak siapkan rumah baru dengan menggunakan sistem pemilihan dan memberi ruang demokrasi yang luas, tetapi dalam usaha kita hendak mencipta ruang demokrasi yang luas, jangan sampai kita dilihat rumah siap tetapi pahat terus berbunyi,” kata beliau ketika dihubungi.

Oleh itu pemimpin dari Rembau, Negeri Sembilan ini berkata, apa salahnya proses pemilihan ini ditangguhkan sementara bagi menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang banyak dibangkitkan di peringkat cabang sebelum ini.

“Walaupun masalah yang wujud ini sikit sahaja tetapi boleh menjejaskan pencapaian sejarah besar kalau kita terburu-buru mahu menyelesaikan proses pemilihan ini dengan tidak cermat mendengar serta menyelesaikan masalah teknikal yang ada,” kata beliau lagi.

Malah Badrul Hisham yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia berkata, langkah berani parti memperkenalkan sistem satu undi satu ahli turut berjaya menggamit perhatian banyak pihak untu melihat proses pemilihan kali ini dijalankan dengan jaya.

Menurutnya, pemilihan 2010 juga dianggap sebagai harapan baru bagi anak muda sebelum mereka menempuhi pilihan raya kecil ke-13 iaitu Batu Sapi.

PKR selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan cabang dan pemilihan cabang 3 Oktober lalu tetapi sembilan cabangnya bermasalah.

Sebahagian cabang bermasalah akan mengadakan pemilihan sebelum kongres hujung bulan depan manakala yang lain akan berbuat selepas kongres.

Di bawah sistem pemilihan langsung sekitar 400,000 ahlinya akan mengambil bahagian dalam proses pemilihan mulai 29 Oktober ini selama tiga minggu atau sembilan hari secara berperingkat-peringkat.

Selain itu, kata Badrul Hisham, pemilihan juga perlu ditangguhkan memandangkan partinya akan turun bertanding pada pilihan raya kecil Batu Sapi di Sabah.

Kerusi Batu Sapi diperuntukkan kepada PKR di bawah pembahagian kerusi kepada PKR tahun 2008.

“Parti memerlukan tumpuan penuh untuk menghadapi cabaran di Batu Sapi dan memenangi kerusi itu.

“Kerusi ini sangat penting bagi PKR dalam usaha menghadapi cabaran pilihan raya umum ke-13.

“Kekuatan kami dan Pakatan Rakyat di Semenanjung sudah cukup, dan sekarang perlu memberi tumpuan ke atas Sabah dan Sarawak bagi mengambil alih kerajaan persekutuan,” kata beliau.

Oleh itu katanya, kejayaan di Batu Sapi adalah penting bagi PKR dan Pakatan Rakyat sebagaimana DAP menang di Sibu.

Kerusi Batu Sapi kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah pada Sabtu lalu.

Chong yang juga Bendahari Agung PBS meninggal dunia selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah kereta di Jalan Coastal, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah.

Parlimen Batu Sapi mempunyai dua DUN iaitu Sekong diwakili Datuk Samsudin Yahya daripada BN dan DUN Karamunting oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Peter Pang En Yin yang kini wakil rakyat Bebas menyokong BN selepas keluar daripada Parti Liberal Demokratik bulan lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong memenangi kerusi tersebut setelah menewaskan calon Bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708. Mendiang memperoleh 9,479 undi manakala Chung meraih 5,771 undi.

Mengenai kemungkinan ditangguhkan pemilihan kali ini, Badrul Hisham berkata ia boleh diputuskan oleh MPP.

“MPP yang boleh membuat keputusan dan membolehkan JPP menangguhkan pemilihan,” kata beliau sambil menambah telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin.

“Nampaknya mereka juga setuju dengan cadangan ini. Saya akan menulis surat kepada ibu pejabat hari ini mencadangkan perkara ini,” katanya.

PKR akan mengadakan mesyuarat mingguan Biro Politik setiap Rabu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu notis Parlimen untuk mengadakan mesyuarat khas menetapkan pilihan raya kecil.

Pilihan raya kecil DUN Galas di Kelantan diadakan pada 4 November.

Batu Sapi : Hassnar enggan bertanding ?

Cawangan PKR Batu Sapi telah menyenarai-pendek tiga calon yang berkelayakan untuk diketengahkan bagi pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi, kata ketuanya Hassnar Ebrahim.

"Tiga nama berkenaan - seorang Bajau, seorang Suluk dan seorang lagi untuk dipertimbang oleh kepimpinan PKR Sabah malam ini.

"Biarkan pucuk pimpinan umumkan keputusan itu. Kami akan adakan juga mesyuarat Pakatan Sabah di Kota Kinabalu tidak lama lagi bagi membincang persiapan pilihan raya kecil.”

PKR diamanahkan untuk bertanding di parlimen Batu Sapi dalam pilihan raya 2008 tetapi parti itu gagal mengetengahakan sebarang calon pada hari penamaan calon.

Calon ditahan polis

"Apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2008 tidak patut dipersalahkan ke atas PKR. Calon kami, Dr Yusuf Sheikh Ahmad, malangnya ditahan oleh anggota polis cawangan khas untuk disoal-siasat sehingga proses penamaan calon berakhir,” dakwa Hassnar.

Pengarah pilihan raya PKR, Fuziah Salleh telah menyatakan minat parti itu untuk bertanding, meskipun DAP dikatakan berminat untuk mewakili Pakatan Rakyat.

Menurut Hassnar, beliau bukan antara calon PKR meskipun beliau dilantik sebagai ketua cawangan baru-baru ini. Beliau juga menolak spekulasi bahawa PKR akan menyerahkan kerusi itu kepada DAP untuk bertanding.

Batu Sapi adalah kawasan majoriti penduduk Islam, manakala bukan Islam yang dikatakan penyokong DAP mewakili kira-kira 40 peratus daripada pengundi.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, pada Sabtu lalu.

Chong, seorang perunding kejuruteraan adalah bendahari PBS dan pengerusi cawangan Elopura parti itu.

Mendiang menduduki kerusi Batu Sapi sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenangi kerusi itu tanpa sebarang saingan.

Bagaimanapun pada pilihan raya 2008, beliau mengekalkan kerusinya dengan mudah - menumpaskan calon Bebas, Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Chong memperoleh 9,479 undi manakala Chung pula mendapat 5,771.

BN dijangka sekali lagi diwakili oleh PBS untuk kerusi Batu Sapi manakala satu lagi parti pembangkang SAPP, juga dikatakan berminat untuk bertanding.

Batu Sapi : Aktiviti Korek Pasir penyebab Banjir Kilat - James

Aktiviti mengorek pasir di Jalan Batu Sapi dekat sini telah menyebabkan banjir kilat setiap kali hujan kerana parit di tepi jalan itu dipenuhi pasir.

Ia berpunca dari tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang melaksanakan pengorekan pasir di tanah dipercayai milik persendirian itu membiarkan pasir mengalir dan memenuhi parit berkenaan.

Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Datuk James Wong hari ini melawat tempat aktiviti mengorek pasir itu dan mengarahkan pemiliknya supaya membersihkan pasir yang memenuhi parit di jalan itu.

Pegawai majlis itu akan melakukan pemeriksaan semula esok bagi memastikan pasir yang memenuhi parit di tepi jalan itu dibersihkan dan jika gagal, tindakan akan diambil terhadap pemiliknya.

Beliau pergi ke tempat lokasi mengorek pasir itu yang dipercayai beroperasi sejak Januari lalu.

Sementara itu, mendiang Edmund Chong Ket Wah akan disemadikan di tanah perkuburan Cina di Batu 5, Jalan Tuaran, Khamis ini.

Batu Sapi: SPR bermesyuarat Jumaat ini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat Jumaat ini bagi membincangkan Pilihan Raya kecil Parlimen Batu Sapi ekoran kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah.

Pengarah SPR negeri, Mohd. Idrus Ismail berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

“Saya sendiri akan hadir pada mesyuarat itu bagi membincangkan proses pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi termasuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian,” katanya.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong selepas Ketua PBS Elopura, Edmund Chong Ket Wah 54, meninggal dunia dalam satu kemalangan pada 9 Oktober lalu.

PKR dijangka akan mewakili Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang pertama di Sabah ini.

Sunday, October 10, 2010

Catatan ringkas PRK Parlimen Batu Sapi (Update)

Kekosongan Parlimen Batu Sapi selepas kematian penyandangnya yang juga Bendahari Parti Bersatu Sabah (PBS) Edmund Chong Ket Wah 54, kira-kira 11.40 pagi semalam akan membuka satu lagi Pilihan Raya Kecil (PRK), jika ada pertandingan.

Samada PRK ini akan berlangsung secara serentak dengan PRK Dun Galas yang penamaan calonnya ditetapkan pada 26 Oktober ini dan pengundiannya pada 4 November depan, itu tidak pasti.

Tetapi yang pasti PRK pertama di Sabah ini mencetuskan beberapa perkara menarik.

PERTAMA, Sekutu-sekutu BN di Sabah kini berdepan dengan pelbagai krisis dalaman khususnya desakan agar Parti Liberal Demokratik (LDP) keluar dari BN selepas dua Timbalan parti itu membuat kacau termasuklah mempertikaikan kepimpinan Pengerusi BN Sabah, Musa Aman.

Dua timbalan itu ialah timbalan presiden LDP, Chin Su Phin dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Adun Karamunting, Peter Pang En Yin.

Chin Su Phin bertekak dengan Musa dalam mesyuarat BN negeri baru-baru ini manakala Peter (gambar bawah) keluar LDP dan mahu melompat ke parti Gerakan seperti yang dikatakan oleh Pengerusi BN Pusat, Najib Razak.

Menariknya, Dun Karamunting merupakan salah satu Dun yang terletak dalam Parlimen Batu Sapi.

Rekod menunjukkan, LDP ialah sekutu tertua BN di Sabah tetapi parti itu juga antara parti yang terkecil dan paling bermasalah di Sabah ketika ini. Ulasan ringkas di sini.

Bagi Parlimen Batu Sapi, walaupun ia diakui antara kubu BN, namun peluang Pakatan Rakyat untuk menang tetap ada bukan hanya kerana krisis BN di Sabah kian parah ketika ini tetapi juga keserasian Pakatan Rakyat Sabah yang kian kukuh sejak dua tahun lalu.

Ujian terhadap kerjasama Pembangkang di Sabah.

KEDUA, ini merupakan PRK yang pertama di Sabah selepas rakyat di negeri itu kecewa apabila mahkamah memberi kemenangan kepada Presiden PBRS di Parlimen Pensiangan.

Jika tidak, PRK Pensiangan hampir pasti diadakan secara serentak dengan Dun Batang Air, Dun Bukit Selambau dan Parlimen Bukit Gantang pada April tahun lalu.

Buat pengetahuan bersama, kegairahan rakyat Sabah terhadap pilihanraya di Sabah khususnya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lalu cukup tinggi dan ini dibuktikan dengan kewujudan pelbagai laman blog berkaitan Pensiangan di Sabah yang dinanti-nantikan berkemungkinan adanya PRK ketika itu.

PRK Parlimen Batu Sapi jika adanya pertandingan mungkin PRK yang ke13 sebelum PRU ke13 jika tiada lagi PRK selepas ini.

KETIGA, PRK Parlimen Batu Sapi ini juga akan menguji pendirian Parti Maju Sabah (SAPP) yang sejak meninggalkan BN pada 17 September 2008, sehingga kini enggan berada di bawah bumbung Pakatan Rakyat (PR).

Sikap SAPP terhadap PR akan teruji buat pertama kali pada PRK ini samada mereka akan meletak calon dengan bertembung dengan calon PR atau tidak.

SAPP sehingga kini enggan bertolak ansur dengan PR yang mahu bertanding lebih 40 daripada 60 kerusi Dun di Sabah, sesuatu yang bakal mencetuskan pertandingan lebih tiga penjuru seterusnya membantu kemenangan BN dengan mudah kerana undi terhadap pembangkang di Sabah akan berpecah.

KEEMPAT, BN hampir pasti mengekalkan calon dari sekutunya iaitu PBS, untuk bertanding pada PRK kali ini.

Mungkin koleksi ucapan parti dan pemimpin itu semasa jadi pembangkang dan kerajaan di Sabah boleh dibongkar semula.

Apa sudah jadi dengan PBS yang melompat ke BN buat kali kedua dan kegagalan mereka sepanjang dalam BN di Sabah.

Sesuatu yang pasti, pemimpin dari parti inilah yang lantang mahu mewujudkan kasino di Sabah.

Samada kasino akan dibina atau tidak di bina di Sabah, yang pasti, Presiden parti ini, Pairin Kitingan pernah mencadangkannya dalam satu persidangan Dun suatu ketika dahulu.

Selepas cadangan itu, MCA pula mencadangkan kasino turut diwujudkan di Labuan.

Sesuatu yang menarik juga kerana Pairin ialah satu-satunya pemimpin BN yang bertanding dua kerusi serentak pada PRU lalu dan PBS juga ialah satu-satunya sekutu BN yang tewas kerusi dalam PRU lalu berbanding sekutu BN yang lain.

KELIMA, perangai Umno sebelum ini yang sering menuntut kerusi dari sekutunya mungkin akan kedengaran lagi kali ini.

Sebelum ini, Umno Sabah menuntut kerusi dari sekutunya di negeri itu termasuklah dari PBRS, UPKO, LDP dan PBS.Tunggu dan lihat.

semalam sahaja, Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein mahu agihan kerusi dalam BN dikaji semula.

KEENAM, berkaitan calon, jika Pakatan Rakyat memberi laluan kepada PKR, siapa pula akan terpilih bagi mewakili parti itu ?

Berikut mungkin antara calon yang boleh dipertimbangkan.

1. Datuk Kong Hong Ming (Naib Pengerusi1 PKR negeri Sabah, sekiranya PKR mahu meletakkan calon berketurunan Cina)

2. Datuk Nahalan Damsal (Mantan Ketua Cabang PKR Batu Sapi dan calon PKR di Dun Sekong pada PRU lalu. Dun Sekong terletak dalam Parlimen Batu Sapi)

3. Chung Kwong Wing calon Bebas yang bertanding di kawasan itu Pada PRU lalu. (PKR kan dah biasa jemput siapa sahaja untuk bertanding)

4. Datuk Dr. Jefrey Kitingan (Naib Presiden PKR Pusat)

5. Hj Tamrin Mohd Jaini (Calon PKR Dun Sungai Sibuga di mana Dun ini berhampiran dengan Parlimen Batu Sapi. Tamrin ialah Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah)6. Datuk Halik Zaman (Ketua Cabang PKR Tenom yang juga tokoh PKR Sabah yang kian meningkat naik. Halik sejak setahun lalu dilihat banyak diberi peranan oleh PKR Pusat terutamanya di Tenom selain memiliki pengaruh tersendiri di negeri itu.

Kekuatan yang ada pada tokoh ini selain seorang ahli perniagaan, beliau juga banyak mengorbankan wang poket sendiri untuk memajukan PKR di negeri itu.

Walaubagaimanapun, siapa juga calon PKR atau Pakatan Rakyat yang diletakkan nanti, biarlah mereka yang tahan uji dan setia dalam perjuangan.

Rakyat sudah muak dengan adegan lompat parti yang mengkhianati amanah rakyat.

Kalau susah sangat, beri sahaja peluang kepada PAS untuk bertanding di kawasan itu dengan mempertimbangkan Yang Di Pertua (YDP) PAS Kawasan Batu Sapi, Tuan Hj Hamzah Abdullah sebagai calon.

Hj Hamzah ialah rakan kepada presiden SAPP, Yong Teck Lee ketika menuntut di London yang ketika itu beliau merupakan Presiden Kesatuan Pelajar Sabah di United Kingdom.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Sabah ini begitu komited memperjuangkan hak rakyat di kawasan itu khususnya berkaitan rampasan tanah yang di lakukan oleh rejim BN di Sabah.

Isu tanah antara isu yang banyak berlaku dalam Parlimen ini yang melibatkan tanah-tanah Bumiputra yang dirampas oleh rejim BN.

Secara kebetulan, Himpunan isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) akan diadakan di Dewan Utama, SM Kian Kok, Likas, Kota Kinabalu pada 24 Oktober 2010 (Ahad) yang kempen mengenainya telah pun berjalan sejak beberapa bulan lalu di Sabah.

Secara kebetulan juga, Hj Hamzah ialah Pengerusi HEMPAS pada tahun ini.

Pertimbangkan juga faktor berikut :

- Komposisi pengundi berasaskan PRU lalu. Bumiputra Islam (BI) : 60.02%, Bumiputra Bukan Islam (BBI) : 2.24%, Cina (C) : 37.33%, Lain-lain : 0.41%. (Angka ini mungkin berubah selepas ini)

- Budaya ugut dan rasuah oleh pihak BN terhadap pengundi, jentera PR perlu menerangkan dengan baik dan rasional isu ini dan bukannya beremosi dengan mengutuk rakyat.

- Elakkan ucapan berbentuk sentimen perkauman, janganlah jentera, ahli dan pimpinan PR terperangkap dengan cara kuno Umno-BN yang sanggup memanaskan suhu perkauman di negara yang majmuk ini semata-mata demi kepentingan politik mereka.

- PR harus mengakui bahawa masih ramai rakyat di Sabah termasuklah mereka yang menyokong Pakatan Rakyat tidak jelas dan masih tidak faham berkaitan isu ini.

- Lebih parah lagi, ia dimanipulasi secara jahat oleh Umno-BN melalui media upahan mereka secara berterusan seterusnya menggagalkan usaha perpaduan di negara ini.

- Isu Kalimah Allah dan isi serangan terhadap rumah ibadat yang tidak pernah terjadi sebelum ini, tetapi ia bangkit dan dipolitikkan dalam keadaan rejim BN kononnya melaung-laungkan slogan 1Malaysia.- Rakyat Sabah sudah lama hidup dalam keadaan aman dan harmoni, marilah kita kekalkan keadaan itu dengan kempen politik secara matang dan profesional. Walaupun kita akui PR tetap dinafikan untuk berkempen di media arus perdana.

Sila dapatkan ulasan terperinci dalam keluaran KABAR akan datang.

KABAR ialah akhbar politik yang sebelum ini dikenali sebagai Konsep Era Pakatan.

Salam Perjuangan!