JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, February 26, 2011

Pegawai SPR perlu berkecuali - Wan Ahmad

MIRI: Para pegawai dilantik untuk mengurus pilihan raya akan datang tidak harus mengambil mudah akan tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada mereka.

Timbalan Pengerusi SPR Malaysia, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, para pegawai dan penolong pegawai yang diamanahkan untuk mengurus pilihan raya, hendaklah bertugas atas landasan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.

“Jika para pegawai dan penolong pegawai pengurus pilihan raya tidak dilantik atau tidak ada, maka perjalanan sesebuah pilihan raya itu tidak berlandaskan undang-undang dan peraturan,” kata Wira dalam ucapannya ketika perasmian taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus SPR bertempat di Hotel Mega, pagi semalam.

Menurutnya, para pegawai yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar dan turut mempunyai keputusan muktamad dalam sesuatu keputusan pilihan raya.

“Apabila tiba masanya nanti, segala keputusan terletak di tangan para pegawai yang dilantik untuk memutuskan sesuatu perkara untuk dimuktamadkan,” ujar beliau lagi.

Pada masa sama, Wira turut menegaskan bahawa seseorang pegawai itu harus berpegang kepada prinsip sikap berkecuali ketika memikul tanggungjawab berkenaan.

“Sikap ini penting bagi memastikan para pegawai dalam keadaan neutral dan tidak dapat dipengaruhi apabila membuat keputusan,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, mereka juga turut membawa nama baik serta reputasi SPR ketika menjalankan tugas tersebut.

Semalam, seramai 15 orang pegawai pengurus dan 33 orang penolong pegawai pengurus dari N.57 Belaga sehingga N.71 Bukit Sari hadir pada sesi taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus SPR bagi Zon Miri.

Taklimat telah bermula bagi ketiga-tiga zon iaitu bermula dengan Zon Kuching pada (21 dan 22 Februari), Zon Sibu (23 dan 24 Februari) serta Zon Miri bermula semalam dan berakhir pada hari ini. BP= 26 Feb 2011

No comments: