JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, February 23, 2011

Tiga bangunan sekolah di Sabah tak selamat, SPRM digesa siasat

Oleh Masdar Wahid
KEADILAN Sabah mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat tiga bangunan sekolah di Sabah yang dilaporkan tidak selamat untuk digunakan, kata Ketua Cabang KEADILAN Tawau, Datuk Kong Hong Ming (gambar).

Kong yang juga Ahli Majlis Presiden KEADILAN Sabah mengulas berkaitan tiga sekolah di daerah Tawau, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, SK Bahagia dan SK Jambatan Putih yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun namun tiada Sijil Kelayakan Menduduki (CFO) sehingga kini.

Menurut Kong, siasatan itu perlu bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam projek berkenaan.

"Inilah padahnya apabila kontraktor yang dilantik hanya dalam kalangan kroni Umno BN dan bukan dari mereka yang layak.

"Kerajaan sepatutnya mengadakan tender terbuka bagi memastikan hanya mereka yang layak, berpengalaman dan sudah terbukti berjaya sahaja yang untuk mengendalikan sesuatu projek," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Pada 12 Februari lalu, Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Muhiddin Yusin mengesahkan beberapa bangunan di tiga sekolah itu tidak selamat untuk digunakan sebagaiman laporan yang diterimanya dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dua hari selepas itu pula, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor dilihat enggan dipersalahkan apabila mengatakan Pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya berperanan memberi kelulusan kepada pelan pembangunan dan pelan bangunan di sekolah tersebut.Kenyataan kedua-dua pihak itu diselar oleh Yang Dipertua Persatuan (YDP) Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kukusan, Bairullah Dumpas yang meminta mereka segera menyelesaikan masalah itu.

"Pihak sekolah memaklumkan saya bahawa mereka tidak memiliki pelan bangunan itu.

"Sebab itu saya menyarankan agar Kementerian Pelajaran, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan JKR supaya berbincang untuk menyelesaikan masalah ini.

"Tidak perlulah tuding menuding sebab akhirnya yang jadi mangsa ialah murid dan kakitangan sekolah," kata Bairullah pada 14 Februari lalu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi mengakui sebanyak 38 sekolah rendah dan menengah gagal disiapkan mengikut jadual dalam Rancangan Malaysia ke sembilan (RMKe-9) di Sabah.

Mengulas lanjut, Kong berkata, kesan kegagalan itu mengakibatkan rakyat berdepan masalah beganda.

"Pertama, murid yang terlibat di kesemua 38 sekolah itu dan kedua penduduk Sabah secara keseluruhan kerana saya difahamkan Pelajaran Sabah terpaksa memperuntukkan RM1.5 juta pula untuk menyelesaikan ketiga-tiga sekolah itu.

"Persoalannya apakah jaminan kerajaan negeri peruntukan itu tidak 'disonglap' kroni Umno Bn kali ini," soalnya.

No comments: