JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Sunday, March 14, 2010
Jenayah: Miri bakal jadi bandar raya 'hantu'
MIRI 12 Mac - Saintis forensik dan pakar kriminologi (pengkaji jenayah) terkemuka dunia, Dr. Henry Lee pernah menyatakan, bandar Miri akan menjadi 'bandar raya hantu' jika kes jenayah tidak ditangani dengan efektif.
Ini berdasarkan pengalaman beliau selama hampir 50 tahun dalam penguatkuasaan undang-undang dan menyelesaikan kes jenayah yang menyaksikan ada bandar raya runtuh ekoran kegagalan pihak berkuasa memerangi jenayah.
Dengan satu bilion jenayah berlaku di seluruh dunia setiap tahun, ia telah mengakibatkan kehilangan pendapatan, kerugian ekonomi dan kehilangan nyawa manusia, katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah 'Jenayah dan Vandalisme' anjuran bersama Majlis Bandaraya Miri, Kelab Rotary Miri dan Jawatankuasa Anti-Vandalisme Miri di sini baru-baru ini.
Hakikatnya, usaha membendung jenayah di bandar raya ini adalah tanggungjawab semua pihak, bukannya terletak di bahu pihak berkuasa sahaja.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sarawak, setakat Januari hingga September tahun lalu, statistik indeks jenayah di Sarawak bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menurun 6.82 peratus iaitu 9,205 kes berbanding 9,879 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu.
Keseluruhan statistik indeks jenayah bagi daerah-daerah besar seperti Kuching, Samarahan, Sibu, Bintulu, Limbang dan Lawas telah menunjukkan penurunan kecuali Miri.
Ini kerana daerah Miri menunjukkan peningkatan sebanyak 18 kes berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan kes jenayah ini sedikit sebanyak memberi tempias terhadap Miri sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama di utara Sarawak, khususnya dari segi kemasukan pelancong dari luar negara seperti Brunei.
Statistik Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bagi Januari hingga November tahun lalu menunjukkan seramai 268, 568 pelancong dari Brunei memasuki Miri berbanding tempoh yang sama pada 2008 sebanyak 330,839 iaitu penurunan sebanyak 6.7 peratus.
Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia-Brunei, Jamilah Abdul Halim berkata, penduduk Brunei semakin kurang datang ke Miri kerana kecewa dengan masalah jenayah yang kian meningkat.
''Rakyat Brunei sangsi dengan tahap keselamatan di Miri menyebabkan mereka lebih rela melancong ke Sabah walaupun terpaksa memandu beratus-ratus kilometer," katanya semasa mesyuarat Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Miri baru-baru ini.
Menurut Jamilah, warga Brunei mendakwa, kereta mewah mereka sering menjadi sasaran dipecah atau dicuri selain menjadi menjadi mangsa ragut oleh penjenayah lalu menyebabkan mereka patah hati untuk datang ke Miri.
Ujarnya, jenayah ini seolah-olah tiada penghujungnya malah makin meningkat, namun pihak polis menafikan ia terlalu serius dan berdasarkan statistik, jenayah terhadap warga Brunei sudah menurun.
''Mereka (warga Brunei) tidak berani datang ke sini kerana bimbang kenderaan mereka menjadi sasaran dipecah atau dicuri.
''Justeru, mereka lebih rela pergi ke Sabah meskipun jaraknya lebih jauh," katanya.
Menurut Jamilah, apa yang mengecewakan, sehingga kini tidak banyak yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk menangani masalah jenayah tersebut.
Sementara itu, mengulas perkara yang sama, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim memberi jaminan bahawa keselamatan pelancong Brunei yang membeli-belah di sini akan tetap dijaga.
Malah beliau menafikan sekeras-kerasnya spekulasi liar yang mendakwa bandar raya Miri adalah tidak selamat sehingga menjejaskan kedatangan pelancong dari negara jiran.
''Polis memberi jaminan bahawa Miri adalah selamat untuk dikunjungi malahan spekulasi liar sedemikian adalah strategi menakut-nakutkan pelancong asing untuk datang ke sini," ujarnya.
Jamaluddin berkata, statistik jenayah di Miri telah menunjukkan penurunan, sehubungan itu tiada sebab pelancong dari luar takut untuk melawat atau membeli-belah di Miri.
''Pada masa yang sama, kita akan terus melakukan rondaan dari semasa ke semasa bagi memastikan jumlah jenayah di sini berkurangan sekali gus mengembalikan kepercayaan pelancong untuk melawat Miri," jelasnya.
Beliau seterusnya menambah, jumlah kes ragut di sini tidak begitu membimbangkan malahan kes berkenaan telah menunjukkan penurunan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, pelawat asing tidak perlu bimbang akan keselamatan mereka ketika berada di sini kerana polis juga menempatkan anggota bagi tujuan pemantauan di kawasan strategik seperti di pasar raya dan kawasan lain yang menjadi tumpuan pelancong.
Dalam pada itu, Miri terus berjaya menarik kehadiran pelancong dari Indonesia, Filipina, Singapura dan China.
Setakat Januari hingga November tahun lepas, kemasukan pelancong dari Indonesia seramai 55,703, Filipina (24, 288), Singapura (8,111) diikuti China (6,242).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment