JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Sunday, March 14, 2010
Makan ikan rahsia dapat 13A+
PULAU PINANG 12 Mac - Menjadikan ikan sebagai menu harian wajib sejak kecil menjadi rahsia kecemerlangan seorang anak subkontraktor sehingga muncul pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 peringkat negeri yang diumumkan semalam.
Edwina Tang Chooi Wern, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Lebuh Light di sini memperoleh keputusan cemerlang tertinggi 13A+.
Dia yang dilihat masih terkejut dengan keputusan itu berkata, selain amat suka makan ikan, kejayaannya turut disumbang melalui usaha keras di samping mahu memberikan contoh terbaik kepada kedua-dua adik lelakinya.
"Saya amat suka makan ikan dan sejak kecil lagi keluarga saya akan memastikan ada hidangan ikan dalam menu setiap hari.
"Kalau tidak ada ikan, saya rasa agak janggal. Pada saya, ikan amat bagus kerana ia kaya dengan protein yang cukup baik untuk mencerdaskan otak," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau merupakan calon terbaik daripada 26 pelajar yang diisytiharkan sebagai calon cemerlang negeri ini kerana mendapat keputusan tertinggi bagi semua mata pelajaran.
Tambah Edwina, beliau berhasrat menyambung pelajaran di tingkatan enam sebelum ke universiti bagi mencapai cita-citanya menjadi seorang doktor.
Sementara itu, bagi SMK Convent Green Lane, walaupun tidak mencatat keputusan lulus 100 berikutan seorang calonnya adalah pelajar khas, sekolah itu tetap melakar kejayaan tersendiri apabila tujuh pelajarnya memperolehi keputusan cemerlang tertinggi di negeri ini.
Mereka ialah Carmen Chuah Ming Ke yang mendapat 12A+, Felicia Tan Li Phing (11A+), Ooi Hui Lynn (11A+), Lee Huey Fern (10A+), Menakaa Chandran (10A+), Tan Pei Jin (10A+) dan Tricia Yeoh Su Lin (10A+).
Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ibrahim Mohamad memberitahu, seramai 22,401 calon menduduki peperiksaan SPM 2009 di negeri ini termasuk 2,359 calon persendirian.
Menurutnya, selain 26 calon terbaik, 743 calon memperolehi kombinasi A dalam semua mata pelajaran manakala 20 sekolah mencatat pencapaian lulus 100 peratus di negeri ini.
"Jumlah calon yang layak mendapat sijil sekurang-kurangnya lulus satu mata pelajaran pula meningkat kepada 17,373 berbanding 17,148 pada tahun lalu," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment