SAYA antara guru yang pernah mengajar di pedalaman mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi atas keprihatinan beliau melawat sekolah pedalaman di Sabah dan Sarawak baru-baru ini.
Terpanggil dengan kaedah beliau gunakan untuk mengunjungi sekolah yang jauh dari pusat bandar atau pekan dengan meredah hutan, sungai hinggakan terbaring di atas rumput kepenatan, mengingatkan kembali saya ketika baru ditempatkan di sebuah sekolah di pedalaman Daerah Beluran, Sabah pada akhir Disember 1994.
Saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kabulu, Paitan dan untuk sampai ke sekolah itu, saya terpaksa mengharungi laut selama 14 jam menggunakan bot nelayan kerana pada masa itu untuk menyewa bot laju memang di luar kemampuan, berbeza dengan membayar tambang hanya RM15 jika menaiki bot nelayan.
Sekolah itu hanya boleh dihubungkan melalui jalan utama iaitu laut oleh penduduk setempat yang rata-rata di kalangan etnik sungai untuk keluar masuk berurusan sama ada di pekan Beluran atau Sandakan.
Ketika guru dari Semenanjung sampai di Sabah, kami menjalani kursus seminggu di Kota Kinabalu dan di situlah kami diberitahu lokasi sekolah yang akan ditempatkan.
Saya bersama empat rakan yang ditempatkan di beberapa sekolah pedalaman, terpaksa tidur hampir tiga minggu di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Beluran kerana tidak boleh masuk ke sekolah masing-masing akibat musim tengkujuh dan laut berombak besar.
Di situlah saya mengenali pentingnya bekalan elektrik dan air bersih kerana selama dua tahun mengajar di sana, hanya generator yang dihidupkan sehingga jam 9 malam.
Jika tidak rosak dan untuk memperoleh air untuk di minum, saya terpaksa menadah air hujan dengan membuat takungan di depan rumah.
Cuma sedikit nasihat kepada bakal guru yang diberi peluang mengajar di sekolah seperti ini agar jangan menolak dan gunakan peluang sekali seumur hidup untuk menimba sebanyak mungkin ilmu yang tidak akan kita peroleh di tempat lain seperti di Semenanjung.
Gunakan setiap saat ketika berada di pedalaman dengan aktiviti bermanfaat misalnya bersukan dan memancing agar kita sentiasa aktif kerana ini satu daripada cara untuk melupakan yang kita berjauhan dengan keluarga dan segala kemudahan seperti tersedia di bandar.
Sentiasa mengamalkan hidup bermasyarakat di tempat seperti ini kerana penduduk akan bangga jika dapat berbakti kepada guru yang mengajar di pedalaman, lebih-lebih lagi mendidik anak mereka.
Selagi ada manusia di tempat itu, selagi itulah kita selamat dan segala pengorbanan amat besar nilainya. Anggaplah kesukaran sebagai cabaran dan saya percaya kawasan seperti di Kabulu, Paitan sekarang lebih baik berbanding sekitar 1990-an.
Akhir kata, kepada bakal guru yang ditempatkan di sekolah seperti ini sentiasa fokus dengan misi dan jauhkan sikap hanya mementingkan diri kerana tidak semua memperoleh peluang seperti ini dan mereka yang terpilih sebenarnya adalah guru cemerlang.
FENDYN9,
Selangor
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment