JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, April 16, 2010

FRU, PORU perlu 12 kereta perisai meriam air

KOTA KINABALU 15 April - Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) di Sabah dan Sarawak memerlukan tambahan 12 buah kereta perisai meriam air bagi meningkatkan kekuatan pasukan itu.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Salleh Mat Rasid berkata, selain itu, pasukan tersebut juga memerlukan kira-kira 24 mini meriam air dalam usaha menangani rusuhan dengan lebih berkesan.

"Polis sentiasa memandang berat keselamatan dalam negeri dan walaupun sedar kenderaan meriam air agak mahal, kita minta supaya kenderaan itu ditambah di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Meriam air amat perlu dan kita dapat lihat apa yang terjadi di Bangkok baru-baru ini yang tidak mempunyai meriam air menyaksikan 21 orang mati dalam usaha menyuraikan penunjuk perasaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penutupan kursus Meriam Air PORU Bersepadu Siri 01/2010 Peringkat Briged Sabah di padang kawat Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Turut hadir Komander Pasukan Gerakan Am Sabah, Datuk A. Paramasivam; Timbalan Komander FRU, Asisten Komisoner Nasaruddin Zahari; Komander Pasukan Gerakan Marin Sabah, Asisten Komisioner Abdul Manaf Othman dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria.

Pada majlis itu, seramai 63 anggota PORU di negeri ini berjaya menamatkan kursus latihan bersepadu itu.

Menurutnya, ketika ini, jumlah meriam air di seluruh negara hanya 11 buah dan ia wajar ditambah bagi memperkasakan pasukan anti rusuhan itu.

Katanya, langkah penambahan itu penting dalam melaksanakan pendekatan baru menggandingkan meriam air dan anggota FRU untuk menyuraikan rusuhan tanpa mengabaikan keselamatan penunjuk perasaan.

Sementara itu, Salleh berkata, pihaknya akan menyediakan pakaian keselamatan terkini bagi meningkatkan perlindungan keselamatan kepada anggota unit rusuhan itu.

Katanya, kekuatan FRU sebanyak 21 pasukan dan PORU sebanyak 24 unit tidak akan ditambah memandangkan jumlah berkenaan sudah memadai.

No comments: