JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Tuesday, April 20, 2010

Pengundi Hulu Selangor dipindahkan ke Selayang?

KUALA KUBU BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan pemindahan pusat pengundian 13,488 pengundi dilakukan mengikut peruntukan kuasa Akta Pilihan Raya 1958 (Seksyen 7) bagi memudahkan dan memberi keselesaan kepada mereka menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata beliau amat kesal dengan dakwaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kononnya SPR menjadi dalang Barisan Nasional (BN) bagi menjatuhkan parti itu.
Beliau berkata, pemindahan pusat pengundian tidak mengganggu atau mengelirukan pengundi kerana pusat pengundian sebelum ini ditutup.
“Melalui Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958, SPR diberi kuasa menyemak setiap masa dan kemas kini serta diberi kuasa untuk melakukan belah bagi. Kuasa ini akan digunakan apabila pengundi mencecah sehingga 3,000 atau lebih di satu pusat pengundian.

“Kita buat kerana ada sekolah baru. Jumlah pengundi di satu tempat pengundian dikecilkan untuk keselesaan pada hari mengundi dan kita tidak menjangkakan akan ada pilihan raya kecil ini,” katanya semalam.

Kelmarin, PKR mendakwa SPR dalang kepada usaha menjatuhkan parti itu pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April nanti.

Pengarah pilihan rayanya, Fuziah Salleh, mendakwa pemindahan itu sengaja dirancang untuk mengelirukan pengundi dan menjatuhkan PKR.
Wan Ahmad berkata, SPR melakukan proses ini sebelum berlaku pilihan raya kecil berkenaan dan akan memaklumkannya kepada pemimpin parti politik mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, katanya, PKR perlu dapatkan penjelasan SPR terlebih dulu sebelum membuat tuduhan.

Mengulas dakwaan PKR mengenai 228 pengundi di Kampung Tanjung, Sungai Choh, dikeluarkan dari Hulu Selangor, beliau berkata, ia berlaku selepas pembetulan kedudukan lokaliti diletakkan di tempat sebenarnya.

“Apabila kita lakukan semakan, kita dapati kawasan berkenaan berada dalam Parlimen Selayang, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang dan mengikut peruntukan undang-undang kita perlu memperbetulkan lokalitinya.

“Yang menjadi isu, pengundi tidak diberitahu kerana kita kesuntukan masa, tapi sebenarnya SPR sudah memberitahu perkara ini secara bertulis kepada cawangan parti di kawasan berkenaan beberapa bulan lalu,” katanya. BH

No comments: