JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Wednesday, April 28, 2010
isu gaji pengawal keselamatan
SAYA terpanggil untuk menulis berhubung isu kenaikan gaji pengawal kerana laporan akhbar ini baru-baru ini antara lain menyatakan 'jangan ada majikan yang berdalih dengan 1,001 alasan untuk tidak mematuhi pengumuman berkenaan.'
Untuk maklumat, syarikat kawalan keselamatan rata-ratanya menjalankan perniagaan dengan memberi khidmat pengawal keselamatan mengikut kadar upah yang kami terima.
Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) sudah meminta supaya kaji semula kadar upah pengawal yang tersiar dalam akhbar ini pada hari yang sama.
Ia bermaksud jika pelanggan mampu membayar lebih, maka sudah tentu kami juga sanggup membayar lebih daripada itu.
Pada masa kini rata-rata pelanggan masih ada yang membayar upah pengawal selama lapan jam dengan kadar cuma RM800 hingga RM900 saja sebulan, bekerja 24 hingga 26 hari.
Jadi bagaimana syarikat keselamatan boleh bayar RM1,100 sebulan. Inilah masalah sebenar kami, bukannya kami tidak mahu bayar gaji yang lebih tinggi.
Setiap gaji yang dibayar oleh semua pengusaha syarikat kawalan keselamatan adalah berbeza-beza.
Ia mengikut upah yang dibayar oleh pelanggan kepada kami. Rata-rata pelanggan berkehendakkan khidmat yang baik tetapi enggan membayar dengan kos dipinta.
Oleh kerana terlalu ramai pengusaha syarikat kawalan keselamatan, maka peperangan harga menjadi-jadi antara satu sama lain.
Inilah yang menyebabkan gaji pengawal tidak seragam. Menyedari hakikat ini, maka timbul inisiatif Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan mengadakan Majlis Penetapan Gaji dan persatuan diminta turut menyertai perbincangan demi perbincangan beberapa tahun lalu yang dipengerusikan oleh Datuk Lee Hwa Beng.
Keputusan bersama sudah pun tercapai pada 2009. Ia terbahagi kepada beberapa zon mengikut kadar sara hidup di satu-satu kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Gaji pokok yang patut dibayar berbeza antara zon dan yang saya tahu, gaji pokok yang di sebut oleh beberapa akhbar sebanyak RM1,150 dan RM1,450 adalah tidak benar.
Ia adalah gaji yang akan dibawa pulang atau disebut ‘take home pay’ oleh pengawal.
Ini setelah diambil kira kerja lebih masa pengawal keselamatan yang dibenarkan sebulan 104 jam atau sehari empat jam.
Kebanyakan pengawal dibayar berbagai-bagai elaun tambahan seperti elaun sara hidup, elaun kedatangan, elaun dobi, elaun minyak, elaun pos dan lain-lain elaun mengikut lokasi mereka ditugaskan.
Ada tempat yang terpencil, jauh dari rumah mereka dan sebagainya.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri baru-baru ini adalah tidak menyeluruh, kurang jelas dan tidak diperincikan.
Ia menyebabkan kekeliruan antara media, pengguna, pengawal dan keseluruhan pengusaha syarikat kawalan keselamatan.
Saya percaya Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan kadar gaji yang sudah dipersetujui bersama oleh beberapa Ahli Jawatankuasa PPKKM dan badan-badan lain yang terbabit dalam perbincangan Majlis Penetapan Gaji dan penulis juga turut serta.
Diharap kementerian dapat segera membetulkan keadaan yang mengelirukan orang ramai yang terbabit dalam industri ini.
DATUK RAHMAT ISMAIL,
Bekas Presiden PPKKM/
AJK Biro Latihan PPKKM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment