JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, May 13, 2013

27 Parlimen BN dalam bahaya


27 Parlimen yang dimenangi BN pada 5 Mei lalu berada dalam bahaya apabila Pakatan Rakyat bakal mengemukakan petisyen pilihanraya tidak lama lagi sebagaimana didedah Mohd Rafizi Ramli dalam sidang media hari ini.

Beliau yang mengetuai pasukan yang dikenali dengan nama Siasat PRU13 itu berkata, daripada jumlah itu 19 daripadanya ditandingi KEADILAN, diikuti PAS (6) dan DAP (2) kerusi Parlimen.

19 kerusi KEADILAN itu ialah Parlimen Baram, Pasir Gudang, Machang, Ketereh, Bagan Serai, Kota Marudu, Beaufort, Setiawangsa, Segamat, Ledang, Balik Pulau, Kulim Bandar Baharu, Muar, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Merbok, Pensiangan, Tebrau dan Saratok.

Kerusi yang gagal dimenangi DAP pula adalah Bentong dan Labis manakala bagi PAS melibatkan Kuala Selangor, Sungai Besar, Titiwangsa, Pulai, Kuala Kangsar dan Pendang.

BN berjaya memenangi 133 kerusi berbanding 89 yang diperolehi Pakatan pada Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu dan keputusan yang berbeza di 27 kerusi berkenaan akan membolehkan Pakatan membentuk kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah.

Rafizi turut menerima 237 laporan aduan salah laku pilihan raya sepanjang berlangsungnya PRU termasuk melibatkan lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang, Perak dan Kedah.

Pakatan Rakyat memenangi 28 kerusi DUN berbanding BN 31 di Perak pada PRU 5 Mei lalu dan petisyen itu kelak mampu mengubah kerajaan di negeri itu.

Begitu juga di Kedah apabila Pakatan hanya memerlukan empat lagi kerusi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Ketika ini BN mempunyai 21 kerusi DUN berbanding 15 bagi Pakatan di negeri jelapang padi itu.

Pasukan penyiasat itu buat masa ini dianggotai 67 orang melibatkan pelbagai latar belakang termasuk doktor dan peguam.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, jika usaha itu berjaya, kerajaan BN akan tumbang dan PR akan mengambil alih Putrajaya.

"BN sekarang ada 133 kerusi Parlimen. Sekiranya daripada petisyen yang kita akan buat, kita berjaya dapat 22 kerusi, yang akan tinggal pada BN hanya 111 kerusi. Ini bermakna kita akan dapat majoriti dan jadi kerajaan," katanya di Johor pada 12 Mei lalu.

Kit Siang turut mengumumkan Gobind Singh Deo turut menganggotai jawatankuasa siasatan itu bagi mewakili DAP.

"Kita tunggu keputusan PRU13 diwartakan, selepas itu dalam tempoh 21 hari, kita boleh buat petisyen. "Kita jangka boleh kemuka petisyen di 20 hingga 30 kerusi Parlimen yang dimenangi BN," katanya lagi.




No comments: