JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, September 13, 2010

Kes Bunuh Sosilawati dan Cabaran sang Wartawan


Kes bunuh jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dibunuh dan dibakar benar-benar menguji insan yang bergelar wartawan.

Dalam dunia kewartawanan, semakin dekat berita itu di hati pembaca, semakin ghairah wartawan untuk melaporkannya termasuklah berdepan dengan kekangan peraturan yang kadangkala mahu tidak mahu perlu diredah juga demi menjadi orang pertama mendapatkan berita itu.

Lebih-lebih lagi jika pihak Editor berkeras mahukan lebih bahan berita berbanding yang diberikan oleh pihak polis dalam sidang akhbar yang pastinya ada beberapa perkara pasti tidak akan diberikan bulat-bulat walaupun soalan ditanyakan mengenainya.

Bernama hari ini melaporkan Polis terpaksa menahan tiga wartawan kerana didakwa cuba menyusup masuk ke ladang ayam, tempat di mana kesemua mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.

Sebenarnya, selagi tiada usaha dilakukan sendiri oleh pihak wartawan berkaitan perkara itu, pastinya banyak perkara penting tidak akan dihebahkan kepada orang ramai kerana kes ini ada kaitan dengan seorang Datuk yang juga seorang ahli perniagaan.

Apa-apapun, kepada anda yang bertekad ingin menjadi wartawan khususnya wartawan Jenayah, anda mesti sanggup tidak tidur malam, peka dengan keadaan sekeliling dan mempunyai keinginan yang tinggi mendapatkan sendiri berita itu tanpa bergantung pada sidang akhbar semata-mata.

Teringat pesan seorang Editor kanan di akhbar media arus perdana yang tidak balik ke rumah selama tiga hari kerana melaporkan berita pembunuhan Mona Fendy suatu ketika dahulu.

Editor itu yang hanya berkelulusan SPM dan kini berjaya di akhbar tersebut berkata, laporan itu antara penyumbang segera beliau dinaikkan pangkat sehingga kini.

Lima petugas media ceroboh kena tahan

BANTING: Lima petugas media termasuk dua daripada Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) ditahan polis kerana cuba memasuki kawasan dipercayai menjadi lokasi jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga individu dibunuh serta dibakar, di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, wartawan jenayah Harian Metro, Shamsul Munir Safini dan jurugambar, Mohd Yusni Ariffin ditahan ketika cuba meninjau kawasan rumah ladang serta pusat penternakan milik suspek utama kes bunuh dan bakar empat mangsa terbabit.

Shamsul dan Yusni dikatakan cuba memasuki tempat kejadian melalui kawasan belukar bersebelahan sebelum kehadiran mereka disedari polis yang berkawal dan ditahan.

Difahamkan, kad memori kamera, buku nota dan tag petugas media mereka dirampas untuk tujuan rekod, tetapi dipulangkan semula setengah jam kemudian selepas diberi amaran keras.

Tiga lagi yang ditahan dan diberi amaran adalah jurukamera agensi berita Xin Hua, Lim Ling Fong; pemberita sambilan NTV7, Mohd Shahif Ibrahim; dan wartawan portal berita Malaysian Insider, Yow Hong Chieh.


Polis Tahan Dua Jurukamera, Seorang Pemberita Di Lokasi Pembunuhan Sosilawati

BANTING, 13 Sept (Bernama) -- Dua jurukamera video dan seorang pemberita ditahan anggota polis yang berkawal di Ladang Gadong, Tanjong Sepat, lokasi yang dipercayai menjadi tempat jutawan kosmetik Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dibunuh dan dibakar.

Mereka ialah jurukamera agensi berita Xin Hua Lim Ling Fong, stringer NTV7 Mohd Shahif Ibrahim dan wartawan portal berita Malaysian Insider Yow Hong Chieh.

Ketiga-tiga mereka ditahan kira-kira 4.15 petang Isnin ketika cuba menyusup masuk ke ladang ayam, tempat di mana kesemua mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.

Namun mereka hanya berjaya menyusup masuk kira-kira 200 meter dari tempat polis berkawal, iaitu di kawasan pintu masuk jalan ke ladang berkenaan.

Selepas ditahan, mereka diarah menaiki kereta peronda polis sebelum dibebaskan pada 5.43 petang kira-kira 50 meter dari tempat mereka ditahan.

Mohd Shahif berkata ketika ditahan, anggota polis cuma memeriksa kad pengenalan mereka dan memberi amaran agar tidak lagi menceroboh tempat kejadian.

Dalam kejadian itu, Sosilawati, 47, menjadi mangsa pembunuhan kejam bersama pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32. -- BERNAMA

KRONOLOGI: Kes bunuh, bakar Sosilawati dan tiga individu lain

6 September 2010

Media melaporkan Datuk Sosilawati Lawiya, 47, hilang sejak 30 Ogos lalu selepas urus niaga pembelian tanah di Banting bersama peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38 dan pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44. Sosilawati dikatakan membawa RM4 juta bersamanya.

7 September

Dua kereta BMW, masing-masing dengan nombor pendaftaran WTL 11 dan AAJ 5, milik Sosilawati dan Ahmad Kamil ditemui. Kereta Sosilawati ditemui di Apartmen Angsana, Taman Subang Mewah, Subang Jaya; manakala kereta Ahmad Kamil ditemui di hadapan Hotel Dorsett di SS12, Subang Jaya.

Keluarga Sosilawati menafikan mangsa membawa wang RM4 juta.

8 September
Polis melaporkan Sosilawati dan tiga individu lain masih dalam negara. Sosilawati mengunjungi kedai Fazz Enterprise Kerepek House di Kampung Sungai Lang, Banting pada jam 4 petang, 30 Ogos lalu.

Noorhisham pula menghubungi isterinya untuk memaklumkan beliau tidak akan pulang tiga hari melalui telefon pada malam 30 Ogos.

9 September

Media melaporkan Sosilawati disembunyikan di lokasi rahsia oleh kumpulan tertentu kerana perselisihan perniagaan dan kewangan.
10 September

Kehilangan Sosilawati dilaporkan didalangi seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.

Polis menahan lima suspek berhubung kehilangan empat mangsa itu.

11 September

Polis menemui lokasi empat mangsa itu dibunuh dan mayat mereka dibakar di sebuah ladang di Teluk Gadong berhampiran Tanjung Sepat, Banting. Polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya.

Polis mengesahkan Sosilawati, Ahmad Kamil, Noorhisham dan Kamaruddin dipukul sampai mati, mayat mereka dibakar di Ladang Gadong, sebelum abunya dibuang ke dalam sungai. Polis menahan seorang remaja berusia 19 tahun.

No comments: