JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Saturday, September 11, 2010
Majoriti berhutang di Lembah Klang
Sebahagian besar penduduk di Lembah Klang terpaksa berhutang bagi membeli keperluan asas kerana pendapatan mereka tidak mencukupi untuk menanggung kos hidup yang tinggi.
Hasil kajian yang dijalankan oleh Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terhadap 232 responden di sekitar Lembah Klang mendapati 41.9 peratus daripada mereka terpaksa berhutang bagi mendapatkan keperluan asas.
Responden juga didapati telah membeli secara ansuran di kedai runcit berdekatan dengan tempat tinggal mereka, meminjam wang dari kaum keluarga atau menggunakan kad kredit.
Manakala 33.6 peratus lagi terpaksa bergantung pada penggunaan kad kredit untuk membeli-belah barang keperluan isi rumah dan mengisi minyak kenderaan.
Rumusan kajian itu dibentangkan dalam kertas kerja bertajuk ‘Kesan Kenaikan Harga Barang Terhadap Perbelanjaan, Tabungan dan Kredit Isi Rumah di Lembah Klang’ yang dijalankan oleh Norlaila Abu Bakar, Doris Padmini Selvaratnam, Nor Aini Idris dari fakulti tersebut.
Kajian itu merupakan antara 67 kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Kepenggunaan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea) Ke-14 di Hotel Equatorial di Bangi hari ini.
Seminar bertajuk ‘Halatuju Penyelidikan Kepenggunaan: Isu dan Cabaran’ itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan UKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Macfea.
Kajian itu juga mendapati, kenaikan harga barang telah menyebabkan isi rumah terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang lebih tinggi terhadap makanan, pengangkutan dan pendidikan anak-anak.
Peningkatan itu dilihat paling ketara berlaku dalam kategori makanan dan minuman.
Isi rumah juga tidak dapat mengurangkan kuantiti pembelian kerana ia merupakan barang keperluan asas yang penting bagi menjamin kesejahteraan hidup.
Peningkatan perbelanjaan bulanan isi rumah menyebabkan lebihan pendapatan untuk tabungan menjadi berkurangan malah ada yang tidak berbaki.
Berikutan itu, 94.4 peratus responden mencadangkan supaya kerajaan bertindak dengan lebih agresif untuk mengawal harga barang khususnya keperluan asas.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment