JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label KEBAKARAN. Show all posts
Showing posts with label KEBAKARAN. Show all posts

Friday, June 10, 2011

ADUN nafi kebakaran dirancang

Penempatan di Kampung Titingan, Tawau yang terbabit dalam lima kebakaran sejak awal tahun ini, tidak termasuk dalam kawasan pembinaan Bandar Baru Titingan.

Perkara itu ditegaskan Pembantu Menteri Kewangan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, bagi menolak spekulasi kebakaran berkenaan dirancang pihak tertentu.

"Projek pembinaan berada di luar penempatan kampung itu.

"Kita bukan saja menolak keras spekulasi itu, malah penduduk mangsa kebakaran dibenar membina semula rumah di kawasan sama tanpa halangan dengan pembiayaan sendiri.

"Sebagai wakil rakyat kawasan itu, saya membenarkan mereka mendirikan kediaman baru tetapi kita nasihatkan jangan bina terlalu rapat dengan jiran," katanya pada 9 Jun lalu.

Kampung Titingan terletak kira-kira lima kilometer (km) dari bandar Tawau, sudah lima kali mengalami kebakaran tahun ini dengan yang terbaru Sabtu lalu, membabitkan Blok 5 yang menyebabkan kira-kira 100 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Kawasan yang turut dikenali sebagai ‘Kampung Ice Box’ itu dibahagi tiga iaitu Kampung Titingan Pasir, Kampung Titingan Tengah dan Kampung Titingan Hujung.

Penduduknya merangkumi pelbagai kaum dengan sebahagian besar rakyat tempatan.

Tawfiq berkata, penempatan itu mudah terbakar kerana terlalu sesak dan padat, selain penduduknya memperoleh tenaga elektrik menerusi penyambungan kabel elektrik secara haram.

Selain itu, katanya, penggunaan papan lapis sebagai dinding rumah juga berisiko tinggi kepada kebakaran, manakala keadaan yang sesak menyukarkan bomba memadam kebakaran.

"Jika berlaku kecuaian walaupun disebabkan lilin, risiko kebakaran amat tinggi," katanya.

Rekod menunjukan, dakwaan penduduk bahawa pihak tertentu sengaja membakar kawasan perumahan mereka bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah pun kedengaran sejak pertengahan 90-an.

Sementara itu, Tawfiq berkata, pembinaan Bandar Baru Titingan fasa pertama membabitkan bangunan komersial akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk di kampung berkenaan yang sebahagian besarnya adalah nelayan.

Tawfiq merupakan Adun Apas pertama selepas memenangi kerusi itu pada Pilihanraya Umum (PRU) dengan menewaskan calon KEADILAN selain seorang calon bebas yang menarik diri di saat akhir.

Kekuatan Adun Umno ini kerana beliau kerap turun padang terutamanya menghadiri setiap masjid dan surau utama di kawasan Apas.

Selain itu, jentera Pakatan Rakyat di kawasan ini juga gagal di kesan malah mencari cawangannya pun sukar.

Tawfiq sebelum ini turut dikaitkan antara penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggakan beliau terpinggir seketika dalam politik di Sabah sebelum meningkat naik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jika Pakatan Rakyat komited untuk menang di kawasan ini, mereka perlu menampilkan calon dikenali ramai atau setanding dengan kredibiliti Tawfiq.

Friday, November 13, 2009

70 Peratus Bangunan Kerajaan di Sabah Berbahaya


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendedahkan hampir 70 peratus daripada bangunan penting di Sabah yang kebanyakannya milik kerajaan tidak memiliki Sijil Kebakaran (FC) dan ini bermakna, tujuh daripada 10 bangunan di negeri ini, tidak mendapat perakuan daripada jabatan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan risiko tinggi di kalangan orang ramai jika berlaku kejadian tidak diingini di bangunan yang mereka kunjungi itu terutama jika berlaku kebakaran atau bangunan runtuh kerana mereka tidak dilindungi insurans.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Rusmani Muhammad, berkata hampir 70 peratus daripada 373 premis penting yang dikenal pasti di Sabah tidak memiliki perakuan keselamatan kebakaran daripada JBPM dan jika berlaku sesuatu tidak diingini, mereka yang berada di situ disifatkan sebagai ‘mati katak’.

Beliau berkata, selain hospital atau tempat rawatan, perpustakaan, hotel, asrama dan pejabat, bangunan lain yang dimestikan mempunyai FC ialah kedai, kilang, tempat perhimpunan dan gudang.

“Perangkaan terbaru JBPM Sabah mengesahkan hanya 118 premis atau 31.6 peratus bangunan saja yang tersenarai dalam sembilan kategori itu di seluruh negeri yang memiliki FC.

“Ini menunjukkan masih ramai pemilik atau pengurusan bangunan di Sabah kurang faham atau belum sedar mengenai kepentingan mendapatkan FC untuk bangunan mereka.

“Mengikut undang-undang, pemilik atau pengurusan bangunan yang lalai atau enggan mematuhi arahan mendapatkan FC boleh dikenakan tindakan,” katanya di sini, semalam.

Rusmani berkata, sehingga bulan lalu, sebanyak 59 FC baru dikeluarkan di seluruh negeri iaitu 18 di sekitar daerah ini, Tawau (24), Sandakan (13) dan empat di Keningau.

Bagi pembaharuan FC, beliau berkata, 58 perakuan dikeluarkan iaitu 28 di Kota Kinabalu, Tawau (21), Keningau (lima) dan empat di Sandakan, manakala satu perakuan pindaan sudah dikeluarkan di Tawau.

Berdasarkan perangkaan itu, Rusmani berkata, Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing hanya memiliki 46 premis yang dilengkapi FC, selain 17 bangunan di kawasan Sandakan dan sembilan premis di Keningau.

“Jumlah ini rendah berbanding bilangan premis berdaftar iaitu sebanyak 131 premis di kawasan ibu negeri, Tawau (116), Sandakan (91) dan 35 di Keningau,” katanya.

Rusmani berkata, bangunan kategori kilang adalah yang paling tinggi tidak mempunyai FC iaitu 152 premis, diikuti hotel (108), pejabat (36), kedai (27), gudang atau storan (18) dan 13 bangunan hospital (13).

Sehubungan itu, pemilik dan pihak pengurusan bangunan di Sabah wajar mengambil langkah segera mendapatkan FC atau perakuan keselamatan kebakaran daripada JBPM jika tidak mahu bangunan mereka dilabel sebagai tidak selamat.

“Jika terus berdegil, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan tegas seperti menampal poster menyatakan ‘bangunan ini mudah terbakar’ atau menyenaraikan nama bangunan mereka di akhbar sebagai pemberitahuan premis tidak selamat dihuni atau dikunjungi.

“Itu antara langkah dipertimbangkan JBPM sebagai hukuman dan pengajaran kepada pemilik atau pengurus bangunan kerana akibat sikap tidak peduli mereka, usaha meminimumkan kejadian kebakaran pada bangunan awam dan komersial sukar dilaksanakan,” katanya. bharian

Wednesday, August 19, 2009

20 RUMAH MUSNAH

TAWAU : Dianggarkan lebih 20 buah rumah musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Kg. Tanjung Batu Tengah, kira-kira jam 4.00 petang kelmarin.

Kebakaran tersebut merupakan kebakaran kedua yang berlaku di kawasan berhampiran dalam tempoh seminggu selepas lebih 30 buah rumah musnah di Kg. Vietnam, 12 Ogos lepas.

Kebakaran kelmarin difahamkan berpunca akibat tindakan bermain api oleh kanak-kanak di salah sebuah rumah di kampung itu, namun kesahihannya masih belum dapat dipastikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu Datuk Hajah Hamisa Samat yang ditemui di lokasi kejadian berkata, beliau amat dukacita dan turut bersedih kerana kebakaran itu memusnahkan harta benda penduduk.

“Kita amat bersimpati dengan apa yang berlaku. Kita akan berusaha memberi mereka bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa pihaknya berharap Jabatan Air dapat memantau dan memperbanyakkan pili-pili bomba di kawasan penempatan penduduk agar sebarang insiden kebakaran, mudah dikawal dan dipadam oleh pihak bomba.

Menurutnya, beliau mendapat maklumat bahawa tekanan air di pili-pili bomba di dua lokasi kebakaran sebelum ini agak rendah sekaligus menyukarkan usaha pihak bomba memadam api.

Dalam hal sama, Hamisa turut meminta kerajaan supaya segera menyediakan penempatan atau rumah-rumah mampu milik untuk penduduk yang masih tinggal di kawasan penempatan yang padat dan sesak, serta amat berisiko tinggi berhadapan dengan bencana kebakaran

tawaukini

Tuesday, August 11, 2009

Lebih 1,000 ekar terbakar

KUCHING: Bahagian Sibu semalam mencatatkan jumlah kebakaran belukar dan hutan paling luas di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Ahmad Shahabuddin berkata keluasan kebakaran belukar dan hutan yang berlaku di wilayah tengah itu untuk semalam sahaja mencecah kepada 1,261 ekar, yang membabitkan 22 kawa-san.

Kawasan paling luas terbakar katanya ialah di salah satu ladang kelapa sawit di Bintangor, membabitkan keluasan 1,200 ekar.

“Untuk hari ini sahaja (semalam) kita terbabit dalam memadamkan kebakaran di 14 kawasan di bahagian Sibu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Di bahagian Kuching yang turut merangkumi bahagian Samarahan dan Sri Aman beliau berkata keluasan kebakaran semalam sahaja ialah 174 ekar dengan kebakaran berlaku di 14 tempat.

Kawasan terluas menurut beliau ialah di Bakong, Kilo-meter 18, Jalan Serian-Sri Aman.

Kebakaran di situ membabitkan keluasan 80 ekar.

Anggota Bomba dan Penyelamat di sini semalam terbabit dalam operasi memadamkan kebakaran belukar di Kota Samarahan, Matang, Batu Kawah dan Samariang.

Untuk bahagian utara, Miri dan Limbang, beliau berkata kawasan yang paling luas terbakar ialah di tepi jalan berhampiran Jambatan Asean.

Manakala di bahagian Bintulu beliau berkata tidak banyak menerima panggilan kebakaran.

Bagaimanapun untuk dua kawasan terbabit beliau tidak menyatakan keluasan ke-bakaran.

Mengenai bilangan anggota bomba, beliau berkata anggota seramai 1,070 orang di seluruh negeri adalah mencukupi.

Daripada jumlah itu, seramai 420 orang dikhususkan untuk kerja-kerja memadam kebakaran hutan dan belukar.

“Operasi harian seperti memadam kebakaran rumah (jika ada) kita jamin tidak akan terjejas kerana kita sekarang menggunakan jadual kerja berpandukan syif 24 jam berbanding 12 jam pada waktu biasa,” katanya.

Mengenai dakwaan keba-nyakan kebakaran hutan dan belukar berpunca daripada aktiviti pembakaran tidak terkawal oleh syarikat-syarikat perladangan, beliau berkata itu adalah di luar tanggungjawab Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Itu anda kena tanya Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), mereka yang berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalah alam sekitar,” katanya.

Pembakaran ketika musim kemarau merupakan punca jerebu yang hampir saban tahun menjejaskan kualiti udara di Sarawak.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari laman web JAS di beberapa kawasan setakat jam 11 pagi semalam menunjukkan Sibu menca-tatkan bacaan tidak sihat iaitu 187 dan terus merekodkan bacaan tertinggi di Sarawak pada semalam.

Samarahan yang mempu-nyai bacaan 155 dan Sarikei 136 turut berada dalam kategori tidak sihat.

Tuesday, July 28, 2009

Rumah Buyong Panjai, Lidong ranap terbakar

buyonghanggus-pic2-270709

Rumah panjang Buyong Panjai dalam kawasan Lidong, Betong musnah dijilat api menerusi kejadian kebakaran yang berlaku sekitar lewat petang kelmarin.

buyonghanggus-pic1-270709Menurut sumber, kejadian terbabit telah memusnahkan satu daripada dua buah rumah panjang yang terdapat di situ menerusi kebakaran yang dipercayai bermula sekitar jam 6 petang.

Kejadian kebakaran yang memusnah sebanyak 28 buah pintu rumah panjang Buyong Panjai itu kata sumber dipercayai telah bermula dari kawasan beranda atas (sadau) dalam bilik yang didiami oleh keluarga Tanang anak Sa.

Tanang sekeluarga yang ketika itu sedang berada di kawasan ruang tamu dalam bilik di rumah panjang berkenaan terkejut apabila menyedari api mula marak dari kawasan beranda atas bilik mereka.

“Bagaimanapun sebuah lagi rumah panjang yang mempunyai sejumlah 12 pintu termasuk pondok kecil dalam kawasan Buyong Panjai, Lidong ini tidak mengalami sebarang kerosakan berhubung kejadian kebakaran ini,” kata sumber.

Sementara itu Ketua Bomba dan Penyelamat Bahagian Betong, Masidi Taha ketika dihubungi berkata pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.22 petang.

Pihaknya kemudian mengerahkan sejumlah 14 buah anggota dengan menggunakan dua buah jentera pemadam kebakaran yang tiba di tempat kejadian terbabit kira-kira 19 minit kemudian.

“70 peratus rumah panjang terbabit musnah dijilat api ketika kami tiba di tempat kejadian tersebut. Bagaimanapun tujuh buah bilik di rumah panjang terbabit bersama tujuh buah unit rumah yang berhampiran berjaya diselamat setelah berjaya mengawal api kebakaran berkenaan 50 minit kemudian,” katanya.

Kejadian kebakaran ini telah menyebabkan hampir 200 orang mangsa kebakaran rumah panjang Buyong Panjai, Lidong tinggal sehelai sepinggang. Tiada mangsa dilaporkan cedera atau terkorban dalam kejadian tersebut.

Pejabat Telekom Sandakan Terbakar, Talian Telefon, Internet Terjejas


2807-lead-1b
TERJEJAS ... Kebakaran ibu sawat utama Telekom Malaysia Berhad menjejaskan komunikasi di Pantai Timur.
28th July, 2009

SANDAKAN: Gangguan perkhidmatan komunikasi teruk melandai Pantai Timur apabila kebakaran berlaku di bahagian pejabat dan komunikasi Telekom Malay- sia Berhad di sini kelmarin.

Beribu-ribu pengguna dari Sandakan, Tawau, Lahad Datu, Semporna dan kawasan sekitarnya terjejas.

Menurut kenyataan dari TM, kebakaran itu mengakibatkan gangguan perkhidmatan seperti suara, internet dan data TM seperti Telefoni, Litar Suwa, Data IPVPN, Metro E,TM Direct dan Streamyx/DSL.

“Kami buat masa ini sedang membuat taksiran tentang tahap kerosakan dan kerja-kerja baik pulih di ibu sawat tersebut akan dimulakan sebaik sahaja proses taksiran selesai,” kata kenyataan itu.

“Kami akan membuat pengumuman mengenai perkembangan kerja-kerja baik pulih yang sedang dijalankan,” katanya.

Ketika memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi, beliau memberikan jaminan bahawa TM sedang mengambil semua langkah yang perlu untuk membaik pulih perkhidmatan komunikasi secepat mungkin.

Para pelanggan boleh menghubungi TM di talian 100 atau menghantar e-mel ke help@tm.com.my untuk melaporkan sebarang masalah perkhidmatan yang berkaitan.

Kerosakan ini telah menjejaskan golongan peniaga apabila mereka yang menggunakan transaksi bank dan pelbagai jenis perkhidmatan yang menggunakan khidmat TM terjejas.

Memandangkan khidmat Streamyx terjejas mereka menggunakan broadband untuk mengekses internet.

Dalam kebakaran kira-kira pukul 6.30 pagi itu, bahagian pejabat dan komunikasi yang terletak di tingkat dua bangunan Tele- kom itu musnah.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Mohd Razali Awang Ahmad berkata tiga jentera bersama-sama 15 ang- gota bomba dikerah ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 6.32 pagi.

Api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 10 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan, katanya.

Dalam pada itu, sehingga pukul 3 petang kelmarin, perkhidmatan talian telefon, internet dan mesin ATM masih lagi tidak berfungsi. NST

Sunday, July 12, 2009

RUMAH TERBAKAR, ROKOK SELUDUP DITEMUI

KUNAK: Polis membongkar kegiatan pengedaran rokok seludup dari sebuah rumah yang musnah dalam kebakaran di Kg Bagiang, di sini Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kunak, DSP M Radzi Mahmod, berkata kegiatan itu disedari selepas polis menemui banyak rokok yang telah rosak di rumah berkenaan akibat kebakaran itu.

"Rokok tersebut disimpan dalam tanah sedalam lebih kurang satu kaki bagi mengaburi kegiatan mereka," katanya.

Menurutnya lagi, siasatan akan dilakukan bagi mencari suspek berhubung kegiatan penyeludupan rokok terbabit.

keruaknews

Sunday, June 28, 2009

Kebakaran: Wanita 70an Terjejas


SANDAKAN, 28 Jun (Bernama) -- Enam orang tinggal sehelai sepinggang apabila dua rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam satu kebakaran di Kampung Karamunting di sini hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Mohd Razali Awang Ahmad berkata tiga jentera bersama 21 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.44 petang.

Katanya api kemudian berjaya dikawal setengah jam kemudian dari merebak ke rumah berhampiran di kampung itu, dengan operasi memadamkan api turut melibatkan 12 anggota bomba sukarela Karamunting.

Menurutnya sebuah rumah yang terbakar itu dihuni oleh lima sekeluarga, manakala sebuah lagi dihuni seorang wanita tua berusia lingkungan 70-an dan semua mereka berjaya menyelamatkan diri.

Api dipercayai bermula dari sebuah bilik di rumah yang dihuni oleh lima sekeluarga itu yang kemudian merebak ke kedai runcit terletak di bawah rumah itu dan ke rumah yang terletak bersebelahan, katanya.

Beliau berkata punca dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.

Thursday, June 11, 2009

Kebakaran berhampiran KKIA


Penduduk bandar raya ini gempar setelah menyangka bangunan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini terbakar, sedangkan ia sebenarnya membabitkan 20 buah rumah kongsi di Taman Seri Tanjung, bersebelahan terminal itu.

Kebakaran pukul 9 pagi itu menyebabkan asap hitam menutupi ruang udara di kawasan tersebut yang boleh dilihat pada jarak kira-kira 10 kilometer.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, asap tebal turut memasuki bangunan terminal dan memenuhi persekitaran landasan tetapi tidak menimbulkan situasi panik.

Difahamkan, kesemua penghuni rumah kongsi tiada kerana bekerja sebagai buruh di terminal itu yang sedang menjalani kerja-kerja menaik taraf.

Berikutan itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan kebakaran tersebut berjaya dikawal sebaik sahaja bomba dan penyelamat tiba kira-kira 10 minit selepas itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan, Faisal Ahmad berkata, api berjaya dikawal 20 minit kemudian selepas 26 anggota bomba dari Kota Kinabalu dan Sembulan tiba di tempat kejadian.

"Kita berjaya mengawal api daripada merebak ke blok lain yang berhampiran dengan sebuah kilang papan. Empat buah jentera bomba digunakan untuk operasi tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Faisal, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran termasuk jumlah kerugian di 20 buah rumah tersebut yang dibahagikan kepada empat deret blok.

utusan

Monday, June 8, 2009

Rumah Terbakar Sebelum Solat


KUCHING: Hasrat seorang warga emas menunaikan solat Zuhur di rumahnya di Jalan Bentara, Semariang, di sini, seperti biasa tidak kesampaian apabila kediamannya musnah dijilat api, petang kelmarin.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 2.15 petang ketika Hamidah Rapaie, 73, ibu kepada empat anak sedang berdiri di atas sejadah untuk mendirikan solat.

Hamidah berkata, sewaktu hendak mengangkat takbir terdengar teriakan jiran sebelah yang memanggil namanya dan menyuruh keluar, kerana rumah sudah terbakar.

"Tanpa berlengah saya yang sudah terlalu tua dan uzur bergegas menuju pintu dapur dan api sudah merebak dengan cepat.

"Alhamdulillah... saya berjaya keluar dan selamat," katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, kebakaran itu terlalu pantas dan dalam masa 10 minit rumah separuh kayu itu yang dibina sejak 21 tahun musnah sama sekali.

Ketika kejadian Hamidah ditemani anak angkatnya Mariam, 45 yang mendengar radio di bilik sebelah, manakala dua lagi anaknya ada urusan di luar rumah.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat, Petra Jaya, berkata cuaca panas menyebabkan api cepat memusnahkan rumah separuh kayu itu dan punca kebakaran sedang disiasat.

BERITA HARIAN 8 JUN 2009

P/S: GAMBAR DI ATAS BUKAN GAMBAR SEBENAR