JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, June 11, 2009

Kebakaran berhampiran KKIA


Penduduk bandar raya ini gempar setelah menyangka bangunan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini terbakar, sedangkan ia sebenarnya membabitkan 20 buah rumah kongsi di Taman Seri Tanjung, bersebelahan terminal itu.

Kebakaran pukul 9 pagi itu menyebabkan asap hitam menutupi ruang udara di kawasan tersebut yang boleh dilihat pada jarak kira-kira 10 kilometer.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, asap tebal turut memasuki bangunan terminal dan memenuhi persekitaran landasan tetapi tidak menimbulkan situasi panik.

Difahamkan, kesemua penghuni rumah kongsi tiada kerana bekerja sebagai buruh di terminal itu yang sedang menjalani kerja-kerja menaik taraf.

Berikutan itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan kebakaran tersebut berjaya dikawal sebaik sahaja bomba dan penyelamat tiba kira-kira 10 minit selepas itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sembulan, Faisal Ahmad berkata, api berjaya dikawal 20 minit kemudian selepas 26 anggota bomba dari Kota Kinabalu dan Sembulan tiba di tempat kejadian.

"Kita berjaya mengawal api daripada merebak ke blok lain yang berhampiran dengan sebuah kilang papan. Empat buah jentera bomba digunakan untuk operasi tersebut," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Faisal, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran termasuk jumlah kerugian di 20 buah rumah tersebut yang dibahagikan kepada empat deret blok.

utusan

No comments: