JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, November 13, 2009

70 Peratus Bangunan Kerajaan di Sabah Berbahaya


Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendedahkan hampir 70 peratus daripada bangunan penting di Sabah yang kebanyakannya milik kerajaan tidak memiliki Sijil Kebakaran (FC) dan ini bermakna, tujuh daripada 10 bangunan di negeri ini, tidak mendapat perakuan daripada jabatan berkenaan.

Keadaan itu menyebabkan risiko tinggi di kalangan orang ramai jika berlaku kejadian tidak diingini di bangunan yang mereka kunjungi itu terutama jika berlaku kebakaran atau bangunan runtuh kerana mereka tidak dilindungi insurans.

Penolong Ketua Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Rusmani Muhammad, berkata hampir 70 peratus daripada 373 premis penting yang dikenal pasti di Sabah tidak memiliki perakuan keselamatan kebakaran daripada JBPM dan jika berlaku sesuatu tidak diingini, mereka yang berada di situ disifatkan sebagai ‘mati katak’.

Beliau berkata, selain hospital atau tempat rawatan, perpustakaan, hotel, asrama dan pejabat, bangunan lain yang dimestikan mempunyai FC ialah kedai, kilang, tempat perhimpunan dan gudang.

“Perangkaan terbaru JBPM Sabah mengesahkan hanya 118 premis atau 31.6 peratus bangunan saja yang tersenarai dalam sembilan kategori itu di seluruh negeri yang memiliki FC.

“Ini menunjukkan masih ramai pemilik atau pengurusan bangunan di Sabah kurang faham atau belum sedar mengenai kepentingan mendapatkan FC untuk bangunan mereka.

“Mengikut undang-undang, pemilik atau pengurusan bangunan yang lalai atau enggan mematuhi arahan mendapatkan FC boleh dikenakan tindakan,” katanya di sini, semalam.

Rusmani berkata, sehingga bulan lalu, sebanyak 59 FC baru dikeluarkan di seluruh negeri iaitu 18 di sekitar daerah ini, Tawau (24), Sandakan (13) dan empat di Keningau.

Bagi pembaharuan FC, beliau berkata, 58 perakuan dikeluarkan iaitu 28 di Kota Kinabalu, Tawau (21), Keningau (lima) dan empat di Sandakan, manakala satu perakuan pindaan sudah dikeluarkan di Tawau.

Berdasarkan perangkaan itu, Rusmani berkata, Kota Kinabalu dan Tawau masing-masing hanya memiliki 46 premis yang dilengkapi FC, selain 17 bangunan di kawasan Sandakan dan sembilan premis di Keningau.

“Jumlah ini rendah berbanding bilangan premis berdaftar iaitu sebanyak 131 premis di kawasan ibu negeri, Tawau (116), Sandakan (91) dan 35 di Keningau,” katanya.

Rusmani berkata, bangunan kategori kilang adalah yang paling tinggi tidak mempunyai FC iaitu 152 premis, diikuti hotel (108), pejabat (36), kedai (27), gudang atau storan (18) dan 13 bangunan hospital (13).

Sehubungan itu, pemilik dan pihak pengurusan bangunan di Sabah wajar mengambil langkah segera mendapatkan FC atau perakuan keselamatan kebakaran daripada JBPM jika tidak mahu bangunan mereka dilabel sebagai tidak selamat.

“Jika terus berdegil, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan tegas seperti menampal poster menyatakan ‘bangunan ini mudah terbakar’ atau menyenaraikan nama bangunan mereka di akhbar sebagai pemberitahuan premis tidak selamat dihuni atau dikunjungi.

“Itu antara langkah dipertimbangkan JBPM sebagai hukuman dan pengajaran kepada pemilik atau pengurus bangunan kerana akibat sikap tidak peduli mereka, usaha meminimumkan kejadian kebakaran pada bangunan awam dan komersial sukar dilaksanakan,” katanya. bharian

No comments: