JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, February 11, 2008

Krisis BN Di DUN Merotai

Kenyataan Presiden LDP Datuk V.K Liew yang menyatakan Ketua Umno Kalabakan Datuk Gha-pur Salleh ‘boleh terus bermimpi’ tentang kerusi DUN Merotai, dibidas kelmarin oleh tiga wakil rakyat di kawasan Parlimen Kalabakan.

Menurut Ghapur yang juga Ahli Parlimen Kalabakan, tuntutan semula kerusi DUN Merotai dibuat oleh Umno Kalabakan disebabkan itu adalah suara rakyat dan kehendak kira-kira 20,000 ahli Umno di bahagian terbabit.

“Kalau Datuk V.K Liew kata saya bermimpi, dia pun mungkin bermimpi sebab mahu jadi calon. Tapi saya bercakap berdasarkan fakta. Kerusi itu milik Umno sejak merdeka dan adalah wajar jika kita menuntut kembali”.

“Kalau pun dulu kita bersetuju untuk menyerahkannya kepada LDP, itu hanyalah untuk satu penggal sahaja dan bukannya untuk selama-lama-nya,” katanya.

Selain menuntut atas dasar hak dan desakan rakyat, beliau memberitahu yang kajian pihaknya juga mendapati kerusi itu mungkin akan jatuh ke tangan parti pembangkang, jika wakil rakyat sekarang Datuk Liew Yun Fah masih dicalonkan di kawasan itu.

Ini kerana katanya, sejak Liew menjadi wakil rakyat, tiada pembangunan ketara berlaku di kawasan itu dan jika adapun, ianya adalah hasil perancangan yang dibuat olehnya mahupun Datuk Dr. Patawari, semasa menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Jadi janganlah dakwa kononnya pembangunan yang berlaku dibawa oleh seseorang individu. Kami pun tidak pernah dakwa begitu. Tapi apa pembangunan yang dia bawa kononnya ketara?,” kata beliau.

Menurut Ghapur, beliau juga bersedia membawa sesiapa sahaja ke DUN Merotai, untuk mendapatkan sendiri maklum balas rakyat tentang apakah pembangunan yang berlaku di kawasan itu.

Sementara itu, wakil rakyat Sebatik Datuk Dr. Patawari Patawe yang pernah menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Merotai memberitahu bahawa segala pembangunan di Merotai hari ini adalah hasil perancangan yang telah pun dibuat lebih awal.

Pengwujudan Pekan Merotai, pra-sarana jalan raya, kemudahan air dan elektrik, pembangunan sekolah, stadium sukan, pengazetan kampung-kampung dan sebagainya jelasnya, telah pun dibuat sebelum tahun 2004 lagi.

“Kalau ada yang kata kajian rambang (random survey) masih mahu-kan Liew, itu tidak penting. Yang penting ialah ketetapan Umno Kalabakan kerana ini adalah suara lebih 20 ribu ahli-ahli Umno di bahagian ini,” katanya yang juga Timbalan Ketua Umno Kalabakan.

Diminta mengulas mengenai kenyataan V.K Liew di dalam akhbar tempatan kelmarin, Patawari memberitahu yang jika Datuk Ghapur atau Umno Kalabakan bermimpi, V.K Liew pula mungkin ‘mengigau.’

Ini kerana menurutnya, V.K Liew tidak boleh mendakwa yang kerusi DUN Merotai adalah hak LDP sedangkan sejarah jelas membuktikan yang kerusi itu adalah milik Parti Umno.

Bagi wakil rakyat Tanjung Batu, Haji Mohd Kamil Datuk SP Mohd Kassim pula, beliau bersetuju dengan ketetapan Umno Kalabakan agar kerusi itu dikembalikan semula kepada parti terbabit.

“Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Tapi yang jelas, pembangunan di Merotai adalah pembangunan yang dibawa Barisan Nasional (BN) dan bukannya individu,” kata beliau lagi.

Di dalam sebuah akhbar tempatan kelmarin, Presiden LDP itu menyatakan yang Datuk Ghapur boleh terus bermimpi untuk mengambil semula kerusi DUN Merotai dari parti itu.
Menurut V.K Liew, kerusi itu adalah milik LDP dan Datuk Liew Yun Fah sudah cukup bagus di Merotai dan itu boleh dilihat oleh semua orang.

1 comment:

AL-AZHAR MEMBERS ,MASJID AL-AZHAR said...

Bukan nk komen tapi nk bagi tau...

sila layari suararevolusi.blogspot.com

jika ada apa2 pandangan or isu or maklumat bg kt email suararevolusi@gmail.com