JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, February 16, 2008

Pairin kecewa berdepan adik sendiri

KOTA KINABALU 15 Feb. -- Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joseph Pairin Kitingan melahirkan rasa kecewa apabila terpaksa berdepan dengan adiknya sendiri di kawasan Parlimen Keningau pada pilihan raya umum 8 Mac ini.

Beliau bagaimanapun berkata, ia tidak menghalangnya untuk terus memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) menentang adiknya, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan yang merupakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, BN tidak gentar untuk berhadapan dengan PKR Sabah dan yakin beliau akan memenangi kerusi yang disandangnya sejak 32 tahun lalu itu.
“Walaupun kesal dengan keputusan adik saya (Jeffrey), saya anggap ia (keputusan itu) adalah satu proses demokrasi di negara kita,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Jeffrey semalam yang bertekad akan bertanding di Parlimen Keningau pada pilihan raya kali ini walaupun terpaksa berdepan dengan Pairin.
Pairin menang tanpa bertanding bagi Parlimen Keningau pada pilihan raya lalu. Selain itu Pairin turut menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan selama 30 tahun berturut-turut.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peluang PKR untuk menawan Keningau adalah tipis kerana rakyat bijak menilai pihak mana yang mampu membela masa depan mereka.

“Peluang BN untuk menang besar adalah nyata, perkara ini boleh dilihat melalui sambutan masyarakat,” katanya sambil menambah senarai calon pilihan raya PBS kini sudah 90 peratus siap.

No comments: