JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Saturday, February 2, 2008

Skandal Seks Adun Sabah!!!

Malaysia Today telah menerima sepucuk surat daripada seorang lelaki yang bernama Mohd Ariffin Abdullah pada 23 Februari 2007. Pada mulanya hanya dianggap surat layang, namun setelah membaca isu kandungan dan turun gelanggang, dakwaan pengadu benar dan tepat.
Setelah hampir tiga bulan menjalankan siasatan Malaysia Today memutuskan untuk menyiarkan surat aduan ini yang ditujukan kepada Ketua Perhubungan, Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

Wakil Malaysia Today di Semporna telah menemui pengadu namun meminta agar gambarnya tidak dirakamkan sebagai langkah keselamatan.

Menurut Mohd Ariffin, beliau merasa berdosa dan malu apabila hampir seluruh rakyat Kunak, Semporna dan Tawau mengetahui dan bercerita tentang skandal Adun Kunak, Datuk Haji Jasa Haji Rauddah.

Sebagai ahli Umno Silam, beliau merasa menjadi tanggungjawabnya untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan kerana merasa berdosa bersubahat dengan Adun yang berpangkat Datuk dan Haji.

“Pada mulanya saya tidak percaya perkara ini, tetapi apabila mendengar pengakuan mangsa iaitu Penolong Pegawai Daerah Kunak, Bahari Haji Yunus dan pertengkaran dengan isterinya, Suraya Hussin yang mengaku menjalinkan hubungan sulit dengan YB Datuk Jasa, maka saya terpaksa menulis surat aduan kepada Ketua Perhubungan Umno Sabah,” ujar Mohd Ariffin yang begitu waspada menuturkan percakapannya.

Menurut Mohd Ariffin, Jasa selalu membawa Suraya ke Tawau dan Kota Kinabalu dengan alasan Suraya menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Puspanita Kunak sehinggalah Bahari merasakan berlaku perubahan ketara terutama hubungan ranjang dan layanan hambar Suraya sebagai isteri.

“Mereka sudah ada tiga orang anak, tetapi apa boleh buat, ADO Bahari terpaksa menceraikan isterinya setelah isterinya mengaku curang dengan Datuk Jasa,” ujar Mohd Ariffin yang simpati dengan Bahari dan anak-anaknya.

Tegas Mohd Ariffin, beliau terpaksa membersihkan nama baik Bahari yang dinista dan ditohmah sebagai mendapat ’habuan projek’ dan sehingga membenarkan isterinya menjadi ’isteri angkat’ (gundik projek) kepada Jasa.

“ADO Bahari begitu disayangi oleh penduduk Kunak, tetapi kami tidak sangka YB Jasa sanggup melakukan perbuatan terkutuk tersebut,” ujar Mohd Ariffin yang turut menjalankan siasatan rapi sebelum mengambil keputusan menulis surat kepada Musa Aman.

Menurut Mohd Ariffin, sebelum ini Jasa pernah menjalinkan hubungan dengan bekas isteri Pegawai Daerah Lahad Datu, Samsu Baharun Abdul Rahman iaitu Sitti Jalmah Haji Armain yang merupakan bekas teman wanitanya sekalipun wanita itu telah bersuami. Sitti Jalmah kini merupakan isteri kepada Mantan Adun Lahad Datu, Datuk Haji Mohd Yusof Jamli setelah diceraikan Samsu Baharun Abdul Rahman kerana kes sumbang mahram. Yusof Jamli ialah abang ipar kepada Samsu.

Dalam pada itu, selain skandal zina dengan isteri orang, ramai penduduk Kunak terutama Ketua cawangan Umno melaporkan bahawa Jasa juga mengkhianati ahli Umno Silam dengan melupakan janji yang dibuat semasa pilihan raya umum Mac 2004 terutama janji projek pembangunan kepada Cawangan Umno, perlantikan anak tempatan Kunak dan membawa Kunak membangun bersama Barisan Nasional.

“Semasa berkempen dulu, YB Jasa berjanji untuk membahagikan tanah kerajaan di Tingkayu kepada kami yang tidak bertanah. Tetapi setelah menang, dia bagi kepada taukey Cina. PKR dia yang urus dan terima wang daripada Cina tersebut untuk menutup banyak skandal YB Jasa,” ujar Lahmuddin yang selama ini begitu setia menyokong Jasa.

Tegas Lahmuddin lagi, seluruh penduduk di Ladang Tun Fuad dijanjikan akan diberi penempatan atau tapak rumah di tanah bekas Lapangan Terbang Kunak, tetapi Jasa luluskan kepada orang lain sehingga ahli Umno terpaksa menumpang di tanah orang lain kerana dihalau oleh Cina yang diluluskan tanah berkenaan.

Manakala Hazizul pula memberitahu Jasa mengamalkan nepotisme di dalam pentadbiran kerana semua pegawai lantikan politik dilantik di kalangan sanak-saudara dan ahli keluarganya.

“Dia lantik anak saudara dia, Eksxan Haji Muhammad sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Daerah (ADDO),” ujar Hazizul yang turut kesal kerana kebanyakan pegawai lantikan politik didatangkan khas daripada Semporna dan menidakkan peluang anak tempatan Kunak.

Jelas Hazizul lagi, Jasa turut melantik Mat Sah Talib, Mantan Pegawai Jabatan Pendidikan Daerah yang dibuang kerja setelah dijatuhi hukuman oleh mahkamah kerana jenayah pecah amanah pada 2002 sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat Kunak (CDO).

“Seorang pesara polis, Maskor, pula dilantik sebagai Ketua Anak Negeri. Dia bukan ada jasa memperjuangkan Umno melainkan meminta rasuah semasa dia jadi polis. Kalau semua jawatan dia bagi kepada orang luar, bagaimana ahli Umno Silam?” ujar Hazizul yang amat kesal kerana kadar pengangguran di Kunak begitu tinggi.

Semasa berkempen untuk bertanding Naib Ketua Umno Bahagian Silam dan Dun Kunak, Jasa telah memberi jaminan kepada ahli Umno Silam di Kunak untuk mengutamakan mereka dalam sebarang pengagihan atau perlantikan jawatan. Jika tidak ada orang Kunak yang layak, barulah Jasa akan melantik orang luar yang berkelayakan.

“Tapi apa jadi? Jasa lantik budak hingusan dari Semporna, Nazrie Pintal sebagai Penolong Pegawai Kerja Majlis Daerah Kunak. Ramai anak Ketua Cawangan Umno yang berkelulusan Sarjana Muda dan Sarjana tidak ada kerja. Jadi pada pilihan raya akan datang suruhlah orang Semporna undi dia. Biarlah kami duduk di rumah, mogok…” ujar Makling dengan nada menyindir.

Makling menekankan, Jasa turut mengimport wanita daripada Semporna, iaitu Norjeti Haji Sulaiman untuk dilantik sebagai Kerani Pembangunan Majlis Daerah Kunak.
“Kau fahamlah kenapa dia pilih Norjeti. Macam juga apa dia buat pada Suraya,” ujar Makling yang menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan.

Manakala seorang kontraktor anak jati Kunak, Jasman, turut mengadu, Jasa membolot semua projek pembangunan untuk dirinya, keluarga dan suku-sakat serta sanggup merasuah pegawai penguatkuasa undang-undang dengan projek pembangunan.

“Banyak projek dia bagi kepada Ketua Polis Daerah Kunak, Inspektor Redzuan, Ketua Cawangan Khas Kunak dan juga kenduri projek dengan Pegawai Daerah, Kamlun Haji Pasal dan Penolong Pegawai Daerah Hussain dan sebagainya semata-mata mahukan laporan cemerlang agar dia terus menjadi calon BN, bila kami komplen. Kamlun kena tukar. Tapi OCPD masih jadi OCPD Projek,” ujar Jasman yang meminta Pesuruhjaya Polis Sabah menjalankan siasatan rapi.

Oleh kerana tiada pilihan dan harapan, Jasman terpaksa berhijrah ke Tawau untuk menjalankan projek Majlis Perbandaran Tawau dan projek kecil yang diagihkan secara saksama oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Bagi Johari pula, beliau berpendapat Jasa sudah lupa daratan kerana secara sesuka hati melakukan sesuatu mengikut kehendaknya tanpa mempedulikan undang-undang.

“Adakah patut dia buat rumah di atas tanah simpanan kerajaan?. Saudara saya, Pegawai Kerja Majlis Daerah Kunak, Industan Lumantang cakap, YB Jasa suruh dia bagi komen positif. Begitu juga dengan Penolong Pemungut Hasil Tanah. Dia buat rumah bernilai setengah juta di atas tanah rezab. Ramai rakyat pohon tidak dapat. Tapi dia ceroboh dulu baru pohon. Saya dengar sudah lulus,” ujar Johari lagi.

Johari menjelaskan, sebelum Jasa membina rumah di atas tanah simpanan kerajaan, beliau telah membina rumah di atas tanah kerajaan iaitu di dalam kawasan Rumah Rehat Kunak. Apabila banyak pihak membuat aduan, Jasa tidak lagi tinggal di situ tetapi dia membuat rumah di atas tapak yang diceroboh tanpa sebarang kelulusan termasuk pelan bangunan.

“Apa mau buat, saudara saya terhutang budi kepada YB Jasa. Dulu dia rasuah pegawai BPR apabila mereka datang mau siasat Pegawai Kerja Majlis Daerah atas tuduhan rasuah. Oleh kerana semua rahsia di dalam tangan Industan, maka YB Jasa terpaksa campurtangan. Sampai sekarang tiada lagi BPR datang,” akui Johari yang terpaksa mendedahkan perkara ini kerana simpati bagi mengelakkan saudaranya menjadi kambing hitam.

Sementara itu, seorang pesara, Haji Sumaila menyifatkan Jasa terlalu mementingkan diri dan tidak menjaga politiknya dan bersikap samseng.

“Dia tidak patut menampar seorang pekerja wanita di Milimewa Kunak hanya sebab perkara kecil. Bawalah berunding. Mereka itu rakyat, jadi kalau wakil rakyat bersikap samseng dan menampar orang sesuka hati, bagaimana perasaan ibu bapa dan sanak-saudara pekerja itu? Mereka juga pengundi. Jadi kalau hati mereka disakiti, mahukah mereka undi BN lagi? Inilah susahnya kerja kami,” ujar Haji Sumaila yang sering berulang-alik dari Semporna ke Kunak kerana mengusahakan kolam ternakan udang.

No comments: