JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Thursday, February 23, 2012

Apabila 'Perkasa Versi Sabah' berkata-kata...

KOTA KINABALU, 21 Feb — Dilihat akan menggamatkan suasana pilihan raya umum, rakyat Sabah bakal bangkit melalui penubuhan parti baru dinamakan “Sabah Star” selain disertai pembangkang untuk menawan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu sejak sekian lama.

Diketuai Datuk Jeffrey Kitingan, parti berusia sebulan ini atau Parti Reformasi Negeri (STAR) percaya ia akan menimbulkan sentimen yang boleh memecahkan rekod keputusan pilihan raya umum di Semenanjung Malaysia.

Pemimpin veteran berusia 65 tahun ini, yang mempunyai pengalaman menarik sepanjang kariernya dilihat tidak menyerlah dan keluar daripada sekurang-kurang enam parti politik, menegaskan pada kali ini beliau merasakan perubahan akan berlaku di Sabah.

“Kami (rakyat Sabah) telah menderita. Kita telah mencapai kemerdekaan tetapi kami tidak menikmati erti kemerdekaan. Malah kami kehilangan kemerdekaan dan (kami telah) menjadi koloni sekali lagi,” katanya dalam temubual ekslusif bersama The Malaysian Insider.

Sepanjang tahun lalu, Dr Jeffrey melalui platform lain — Barisan Bersatu Borneo (UBF) — telah bergerak di kawasan luar bandar Sabah untuk membawa “Agenda Borneo”, walaupun kecil namun sentimen anti Tanah Melayu bertambah untuk menawan kuasa politik. Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk Malaysia pada 1963 tetapi Singapura meninggalkann gabungan itu dua tahun kemudian.

Beliau telah menganjurkan program yang dipanggil “Jamuan Teh Borneo” di sekurang-kurangnya 400 lokasi di seluruh negeri itu dengan harapan penggunaan peristiwa bersejarah “Jamun Teh Boston” akan membangkitkan semangat patriotisme di kalangan pengundi untuk mempertahankan autonomi negeri.

Peristiwa Jamuan Teh Boston merupakan peristiwa penting dalam perjuangan kemerdekaan Amerika apabila kolonis menghantar masuk kapal ke Boston Harbor pada 1773 dan membuang 342 peti bekalan teh ke dalam air sebagai bantahan terhadap cukai dikenakan Britain.

“Seperti kolonis di Amerika, kami juga mahukan hak kami kembali. Kami mahu kembali ke perjanjian Malaysia 1963. Kami mahu segala perjanjian dilaksanakan...janji, jaminan,” kata Dr Jeffrey.

“Kami mahu peranan yang adil dalam kerajaan pusat - kami merupakan komponen yang membentuk Malaysia, jadi kami sepatutnya berkongsi peranan untuk menguruskan negara.”

Beliau menegaskan mana-mana pihak yang berkuasa untuk membentuk kerajaan pusat pada pilihan raya akan datang — sama ada BN atau pembangkang — banyak perkara perlu dilakukan untuk menarik hati rakyat negeri itu — faktor utama yang boleh digunakan sebagai “cip tawaran” untuk mencapai autonomi Sabah.

“Kita akan lihat semula formula perkongsian kuasa... kerana, kami (Sabah) ialah sebuah negara merdeka - kami hanya bersetuju untuk membentuk persekutuan, itu sahaja,” katanya.

Sejak perjanjian Malaysia, Dr Jeffrey berkata rakyat Sabah menjadi “pengemis” di tanah air sendiri selain menjadi negeri termiskin walaupun kaya dengan sumber asli.

“Adakah anda tahu mengenai terma kuasa, kerajaan negeri hanya mengukit kira-kira RM3.6 bilion? Tetapi kami memberi RM35 bilion kepada kerajaan pusat setiap tahun,” katanya.

Beliau percaya peningkatan kemasukan pendatang tanpa izin di negeri itu akan menjadi masalah utama pada pilihan raya ke-13 nanti.

“Ini merupakan masalah utama yang telah kerajaan lakukan hanya untuk mengekalkan kuasa mereka, mereka sebenarnya memusnahkan negeri,” katanya.

Semasa lawatan kerja dua hari ke Sabah minggu lalu, Datuk Seri Najib Razak tidak mengumumkan perjanjian Kabinet untuk membentuk suruhanjaya diraja siasatan ((RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di negeri itu.

Sebaliknya perdana menteri mengumumkan Sabah akhirnya bangkit dengan sendiri daripada bawah dan kerajaan pimpinan PAS Kelantan menjadi negeri termiskin.

Tetapi Dr Jeffrey, negeri yang dikenali sebagai “negeri di bawah bayu” itu masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Beliau juga turut berasa kecewa dengan fokus pembangunan ekonomi kerajaan BN menambah semuanya mengenai “semenanjung, semenanjung, semenanjung.”

“Ia seperti, mereka makan dulu dan yang bakinya (diberikan) kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tetapi semua itu boleh berubah, Dr Jeffrey percaya, dengan kerja keras di bawah.

Melalui “Jamuan Teh Borneo”, beliau memberi rakyat Sabah pengajaran tentang sejarah, di mana ia beliau yakin “pengetahuan adalah kuasa.”

Semasa setiap “jamuan teh”, Dr Jeffrey berkata peserta akan menjalani tiga proses - iaitu mempelajari tentang sejarah kemerdekaan Sabah dan pembentukan Malaysia; apa yang terjadi sejak perjanjian 1963 dan bagaimana untuk maju dan; sesi soal jawab.

“Jawapannya ialah pendidikan dan pengetahuan. Saya memberitahu mereka pengalaman saya yangl lalu semasa (bekas perdana menteri Tun) Dr Mahathir Mohamad berkata kepada saya, jangan ajar orang tentang apa yang mereka tidak tahu.

“Biar mereka tidak tahu apa-apa... jadi mereka boleh manipulasi dan kawal. Ini adalah sikap persekutuan, anda tahu,” katanya.

Walaupun beliau yakin “Agenda Borneo” mungkin boleh menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang, bagaimanapun Dr Jeffrey berkata Sabah Star akan menjadi “praktikal” jika berkuasa.

Katanya parti itu bersetuju untuk berunding tentang formula perkongsian kuasa dengan pembangkang utama lain di negeri itu, termasuk Parti Progresif Sabah (SUPP) dan tiga parti komponen Pakatan Rakyat, dianggotai PKR, PAS dan DAP berasal dari Semenanjung Malaysia.

Tetapi Dr Jeffrey mempunyai satu syarat yang kelihatan tidak akan dipersetujui pakatan pembangkang Pakatan Rakyat — iaitu semua parti asal Sabah mengambil mengambil kerusi utama pada pilihan raya umum akan datang.

“Ada beberapa kerusi, saya boleh katakan di kawasan yang berkonflik. Sebab itu kami cadangkan Pakatan Rakyat, yang berasal dari semenanjung fokus kepada semenanjung sementara kami di sini dan kita akan menyokong antara satu sama lain semasa membentuk kerajaan pusat,” katanya.

Dr Jeffrey berkata Sabah Star mempunyai senarai calon yang bersedia untuk bertanding di 22 atau sekurang-kurangnya 30 kerusi negeri dari 60 kerusi.

Calon-calon itu, katanya terdiri daripada sekurang-kurangnya 80 hingga 90 peratus pendatang baru politik, kebanyakannya terdiri daripada guru dan profesional dengan sebilangan kecil merupakan ahli politik seperti dirinya.

“Guru merupakan penyokong terbesar kami dan orang muda akan masuk.

“Jadi saya fikir kesannya ada...ia sedang dibina dengan baik. Saya tidak lagi bersendirian dalam mempertahankan autonomi Sabah,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, BN menyapu bersih 59 dari 60 kerusi tetapi hilang dua kerusi selepas SAPP keluar dari parti gabungan itu. DAP mempunyai satu kerusi.

No comments: