Masdar Wahid
Ahli Parlimen (MP) Datuk Lajim Ukin dan MP Tuaran, Datuk Wilfred Bumburing sendiri yang menjemput Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah pada 29 Julai ini, kata Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, Ahmad Tamrin Jaini.
Tamrin berkata, walau apapun keputusan yang bakal diumum kedua-dua pemimpin BN itu, ia pasti memberi impak kepada politik Sabah pada Pilihan Raya Umum akan datang kerana Lajim dan Bumburing sudah pasti menyertai pembangkang.
"Mereka berdua yang jemput sendiri Anwar dan samada Ketua Umum hadir atau tidak, itu perkara kedua kerana yang penting akan berlaku gelombang baru politik Sabah selepas pengumuman itu.
"Walaubagaimanapun, kita tetap berharap mereka sertai KEADILAN," katanya ketika dihubungi.
Ahad ini bersamaan 29 Julai, Bumburing akan hadir pada perhimpunan khas di Dalit, Tuaran, pada 1:00petang dan pimpinan KEADILAN bersama Pakatan Rakyat negeri dan pusat sudah mengesahkan kehadiran.
Bumburing yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO-BN) pernah mendesak partinya meninggalkan BN menjelang 16 September, namun senyap selepas beberapa pemimpin Upko diberi jawatan.
Bumburing sudahpun meletak jawatan selaku Pengerusi BN Tuaran pada 23 Julai lalu dan merupakan MP Tuaran sejak tiga penggal lalu.
Manakala Lajim akan membuat pengumuman mengenai hala tuju politiknya dan mengulas pelbagai isu berkaitan kepentingan Sabah d Kampung Kaundu, Beaufort jam 5 petang.
Lajim juga sudah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu dan tidak akan bertanding mempertahankan sebarang jawatan pada pemilihan Umno akan datang.
Ketika ini, Lajim ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno dan MP Beaufort sejak 2008, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias beberapa penggal, bekas Timbalan Ketua Menteri dan masih memegang Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
Orang kanan Lajim, Amsir Dani juga sudah meletak jawatan sebagai Ketua Umno Cawangan Beaufort Tiga dan Pegawai Pembangunan Luar Bandar (CDO) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, jawatan yang disandangnya sejak 18 tahun lalu.
Amsir yang terlibat dalam politik sejak 1994 dan pernah menjadi Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda Umno Beaufort dan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian bertindak demikian sebagai mengikut jejak langkah Lajim.
“Jika Lajim boleh dan rela meletakkan jawatannya sebagai Ketua Cawangan Umno mengapa pula saya tidak boleh mengikut jejaknya melepaskan Ketua Cawangan," katanya pada 23 Julai lalu serentak dengan pengumuman keluar parti Bumburing pada hari sama.
No comments:
Post a Comment