JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Monday, July 30, 2012

Lajim, Bumburing meriahkan politik Sabah

Masdar Wahid

Tindakan Ahli Parlimen Umno Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO-BN), Datuk Seri Wilfred Bumburing meninggalkan BN memeriahkan lagi gelora politik Sabah.

Walaupun kedua-dua pemimpin itu meninggalkan BN dan menyokong perjuangan Pakatan Rakyat, mereka bagaimanapun tetapi tidak menyertai KEADILAN seperti diuar-uarkan sejak setahun lalu.

Lajim menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang memfokuskan pengundi Bumiputera Islam (BI) manakala Bumburing membentuk Angkatan Perubahan sabah (APS) dan memfokuskan pengundi Bumiputera Bukan Islam (BBI) di Sabah.

Sesuatu yang menarik dalam politik Sabah, penjenisan atau pengkelasan pengundi bukan berasaskan kaum walaupun sentimen perkauman dan kenegerian sangat kuat di negeri itu.

Jika di Semenanjung pengundi dikategorikan kepada Melayu, Cina, India, Orang Asli dan lain-lain, Sarawak kepada Melayu-Melanau, Cina, Iban, Orang Ulu dan lain-lain, ia tidak pula di Sabah.

Di Sabah pengundi dikelaskan kepada tiga yang utama iaitu Bumiputera Islam (BI), Bumiputera Bukan Islam (BBI), Cina (C) dan lain-lain.

Ini kerana jika anda mengkelaskan pengundi mengikut kaum, ianya sangat sukar kerana pokok pangkal di sini tetap berkait kepentingan agama dan sentimen itulah yang menjadi asas sebagai tujuan akhir sesebuah parti untuk memerintah.

Contohnya, jika anda menyebut Kadazan-Dusun-Murut (KDM), Cina dan kaum-kaum lain, ia agak sukar kerana tidak semua kaum itu menganut agama yang sama.

KDM misalnya, kumpulan itu juga ada yang sudah lama memeluk Islam dan begitu juga dengan Cina, malah ada kaum yang disebut sebagai Sino (Cina-Dusun), begitulah unik dan menariknya politik dan sosiobudaya di Sabah.

Maka penubuhan PPS dan APS oleh Lajim dan Bumburing itu sudah tentu sangat baik untuk gelombang perubahan rakyat Sabah memilih Pakatan sebagai kerajaan baru di negeri itu.

Ketika ini hanya pengundi majoriti Cina di sesebuah kawasan sahaja yang solid dan sangat pasti menyokong Pakatan.

Bagi kawasan Campuran BI dan BBI, ia agak sukar di ramal kerana ia bergantung kepada gabungan pelbagai isu dan memerlukan tokoh untuk menarik kedua-dua gabungan pengundi itu menyokong Pakatan.

Walaupun penulis akui Lajim, Bumburing mungkin menang jika bertanding di kawasan yang disandang kini, namun tidak akan memberi impak di kawasan lain negeri itu, kecualilah Parlimen di bubar hari ini.

Bumburing misalnya, hanya menang tipis di Tuaran pada PRU 2008 dan sejak itu, gerak kerja KEADILAN Cabang Tuaran aktif membentuk sokongan rakyat dari pelbagai lapisan rakyat.

Malah, selain Upko-bumburing, Umno dan sekutunya yang lain di Parlimen Tuaran juga bermasalah dan dilanda krisis sehingga akhbar milik keluarga Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Musa Aman terpaksa melaporkan di media mereka.

Lajim pula meninggalkan Umno selepas wujudnya krisis beliau dengan pemimpin Umno di situ, Datuk Azizah Mohd Dun dan beliau bakal digugurkan pada PRU akan datang, selain gerak kerja aktif KEADILAN-PAS di situ untuk menewaskan Lajim-Umno.

Apapun, Lajim-Bumburing menambahkan lagi persaingan pembangkang untuk merebut 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN di Sabah pada PRU kali ini kerana bakal mewujudkan pertandingan lebih satu penjuru jika Pakatan gagal menyelesaikan masalah agihan kerusi.

Berikut ialah bentuk gabungan yang mungkin menghiasi politik Sabah pada PRU kali ini.

Pakatan Rakyat Sabah = KEADILAN, PAS, DAP + APS dan PPS

BN = Umno, MCA, Gerakan, Upko, PBS, PBRS, LDP dan parti kecil lain dalam BN seperti PPP, MIC,

Parti Pembangkang lain

= SAPP mahu tanding lebih 2/3 DUN dan beberapa Parlimen

= UBF/Star juga mahu tanding semua kerusi negeri dan Parlimen atas alasan konon untuk Sabah, tapi sebenarnya untuk kepentingan peribadi Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

= Parti Pembangkang tajaan BN yang menamakan diri mereka 'Parti Pembangkang Bersatu' iaitu

- Barisan Rakyat Sabah Bersekutu (Bersekutu), Pertubuhan Kebangsaan Pasok Nunukragang Bersatu (Pasok) dan Parti Demokratik Setiahati Kuasa Rakyat Bersatu Sabah (Setia) kini dikenali sebagai Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama).

- Bersekutu diasaskan Datuk Harris Sallleh yang juga rakan rapat Tun Dr Mahathir, Pasok memfokus pengundi KDM dan setia kawasan BI.

- Ketiga-tiga parti ini tidak pernah ada himpunan agung pilih pemimpin, namun akan muncul dan bertanding semua DUN dan Parlimen setiap kali ada pilihanraya.

No comments: