JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas
Showing posts with label rasuah di sabah. Show all posts
Showing posts with label rasuah di sabah. Show all posts

Monday, September 26, 2011

Sekutu Bn desak SPRM siasat rasuah Ketua Menteri

Desakan Parti Liberal Demokratik (LDP) supaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mempercepatkan siasatan ke atas kes penggubahan wang haram yang membabitkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman pasti akan menjadi buah mulut untuk beberapa hari mendatang.

Ini kerana desakan itu bukan datang daripada luar, tetapi daripada salah sebuah parti komponen BN sendiri.

Dalam kenyataannya, Timbalan Presiden LDP, Chin Su Phin berkata, memandangkan PRU ke-13 dijangka berlangsung dalam masa terdekat, isu tersebut wajar diselesaikan sesegera mungkin.

Penyiasatan SPRM ke atas kes tersebut bermula sejak akhir 2008, namun sehingga kini tidak menampakkan sebarang kemajuan.

Menurut Chin, kes tersebut didakwa melibatkan beberapa pemimpin tempatan tetapi kebanyakannya memainkan peranan kecil, manakala dalang utamanya masih gagal dicekup oleh SPRM dan masih memainkan peranan di belakang tabir.

“Kami rakyat Sabah mahu mengetahui perkembangan kes ini,” kata Chin dalam satu laporan di Freemalaysiatoday.

“Saya berharap SPRM akan menyiapkan penyiasatan ke atas mereka yang terlibat, di Sabah dan Sarawak, dan menghadapkan mereka ke mahkamah sebelum PRU ke-13,” tambahnya.

Menurut Chin, walaupun diakui SPRM bekerja keras memerangi rasuah, namun apa yang dilihat sekarang ialah mereka hanya mengherey bekas-bekas pemimpin ke mahkamah, manakala pemimpin sedia ada yang terlibat dengan rasuah masih dibiarkan bebas.

Perlu disebut bahawa nama Musa pertama kalinya dikaitkan dengan penggubahan wang haram apabila seorang yang bernama Michael Chia, yang dipercayai mempunyai kaitan dengannya, ditahan di Lapatangan Terbang Antarabangsa Hongkong pada Ogos 2008.

Ketika ditahan Chia didakwa cuba membawa keluar sejumlah S$16 juta wang tunai, yang dipercayai untuk digunakan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Kes itu disiasat oleh Suruhajaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) yang menghantar tiga wakilnya ke Kota Kinabalu pada November tahun yang sama untuk menyiasat sumber wang tersebut.

Kes itu kemudian turut disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR), nama lama bagi SPRM.

Chia dan Musa bagaimanapun dilaporkan saling mengenali antara satu dengan lain. Tetapi banyak sumber mengatakan kedua-duanya mempunyai ‘kaitan’ dan Chia sering dilihat dalam majlis-majlis Musa.

Tuesday, August 11, 2009

Keputusan kes rasuah Kasitah Gadam didengar esok

Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan esok sama ada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam perlu mengemukakan pembelaan terhadap dakwaan rasuah dan penipuan.

Hakim Suraya Othman dijadual menyampaikan keputusannya sebelah pagi.

Pada 12 Februari 2004, Kasitah, 61, juga bekas Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (SLDB), didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi SLDB untuk kepentingan kewangannya dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan untuk meluluskan penjualan 16.8 juta saham Sapi Plantations yang dipegang oleh lembaga tersebut kepada Briskmark Enterprise Sdn Bhd.

Dia juga didakwa menipu SLDB dengan tidak mengumumkan tawaran PPB Oil Palms Sdn Bhd untuk memperuntukkan lima saham syarikat itu bagi setiap saham Sapi Plantations dalam cadangan PPB untuk disenaraikan pada Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE), kini Bursa Malaysia.

Sejumlah 31 saksi pendakwa telah dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu sejak ia pertama kali didengar pada awal 2007.

Antara saksi yang dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Tan Sri Joseph Kurup dan bekas Ketua Pegawai Operasi CIMB Bank Berhad Tan Sri Munir Majid. BERNAMA

Friday, July 24, 2009

Jumlah aduan kegiatan rasuah meningkat


KUCHING 23 Julai - Tahap keyakinan orang ramai untuk melaporkan kegiatan rasuah dan penyelewengan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, keadaan itu boleh dilihat berdasarkan pada peningkatan jumlah aduan yang diterima SPRM iaitu 9,000 laporan setakat bulan Julai tahun ini.

Menurutnya, jumlah itu mampu mengatasi rekod yang diterima pada tahun lalu iaitu sebanyak 15,000 laporan.

''Kita melihat tahap keyakinan orang ramai untuk melaporkan kegiatan rasuah mula menunjukkan peningkatan dan kita gembira dengan maklum balas itu.

''Justeru saya berharap, para pegawai saya akan memberi respons terhadap maklumat itu dan tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu benar," katanya di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anti Rasuah Sarawak 2009 bertempat di Padang Merdeka di sini.

Turut hadir, Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah SPRM Sarawak, Shamsiah Abu Bakar.

Ahmad Said memberitahu, keyakinan orang ramai itu juga membawa kepada kes-kes besar seperti yang didedahkan Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah baru-baru ini.

SPRM ujar beliau, masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat buat masa ini dan tidak akan membuat sebarang pengumuman.

''Saya harap, kita akan dapat menyiapkan siasatan ke atas kes-kes yang disebutkan itu sebelum penghujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, Shamsiah berkata, SPRM Sarawak telah menerima sebanyak 305 maklumat setakat enam bulan pertama tahun ini berbanding 616 maklumat yang diterima tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah laporan itu, 23 tangkapan telah dibuat dengan 64 kes sedang dibicarakan di mahkamah iaitu enam pertuduhan yang dilakukan membawa kepada empat sabitan mahkamah.

utusan

Monday, June 29, 2009

SEGERAKAN SIASATAN KES LANTAS

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja disaran menjalankan siasatan segera terhadap isu Padang Ragut di Kuala Pintasan, Kota Belud, Sabah bahkan harus membuka semula kertas siasatan terhadap semua pemimpin Barisan Nasional termasuk Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Musbah Jamli.

Pengerusi Yayasan Warisan Borneo, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, (gambar) memberitahu Sabahkini.net bahawa yayasan beliau menerima banyak aduan berhubung isu tanah adat di Sabah yang sesuka hati 'disambar' untuk menjalankan projek atas angin yang dipelbagaikan jenamanya oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Kita memandang serius pencerobohan dan rampasan tanah adat di Sabah termasuk di Kuala Pintasan ini kononnya untuk dijadikan projek Agropolitan, walaupun sebenarnya untuk mencipta kontrak kerja untuk pihak tertentu mengaut untung di atas kesengsaraan anak negeri Sabah yang lain," ujar Jeffrey lagi.

Jeffrey menekankan, era SPRM Sabah begitu malap sejak Mantan Pengarah SPRM Sabah, Puan Latifah Md Yatim ditukarkan ke Pulau Pinang, seolah-olah SPRM Sabah lumpuh dan tidak mampu lagi membanteras rasuah terutama melibatkan pemimpin Sabah seperti Datuk Seri Musa Aman, Musbah Jamli, Japlin Akim das sebagainya.

"Banyak laporan dibuat terhadap Musbah terutama ketika beliau menjadi Pengerusi Supernesa (GLC) tetapi kesnya ditutup begitu sahaja. Saya harap dapat dibuka semula termasuk 81 Dalil yang saya failkan sendiri terhadap Musa Aman kerana ada bukti yang nyata untuk mensabitkan beliau," ujar Jefrey lagi yang memohon campurtangan ibu pejabat SPRM.

Mesti ada sesuatu yang tidak kena apabila rakyat memberontak dengan berdemonstrasi secara aman untuk menghantar mesej yang jelas kepada pemimpin negara yang mengabaikan mereka ,demi mengejar 'Impiian Kosong' projek Agropolitan yang lebih elok dinamakan sebagai 'Agropolitikan' kerana merampas hak rakyat melalui manipulasi undang-undang yang mengabaikan hak asasi manusia.

Jeffrey turut memuji Jawatankuasa Bertindak Tanah Rezab Padang Ragut Kuala Pintasan-Kampung Labuan (Lantas) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dakwaan 364 hektar tanah rizab Padang Ragut Kuala Pintasan, Kota Belud yang telah diberi hak miilik geran atas nama orang perseorangan dan syarikat tertentu.

Sementara itu, dalam laporannya, Pengerusi Lantas, Asang Lantuhun berharap agar pihak berkuasa terbabit menyiasat laporan mereka untuk keadilan dan memastikan individu terbabit dihadapkan ke mahkamah.
Asang, yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Kota Belud, berkata salinan surat itu turut dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Sebelum ini, Lantas turut membuat laporan polis berhubung isu sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Sunday, June 28, 2009

Penduduk Lapor SPRM


KOTA BELUD, 28 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Bertindak Tanah Rezab Padang Ragut Kuala Pintasan-Kampung Labuan (Lantas) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dakwaan 364 hektar tanah rizab Padang Ragut Kuala Pintasan, di sini memiliki geran atas nama orang perseorangan dan syarikat tertentu.

Pengerusinya Asang Lantuhun berkata laporan itu dibuat Selasa lepas.

"Kami harap pihak berkuasa terbabit menyiasat laporan kami untuk keadilan dan memastikan individu terbabit dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Asang, yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Kota Belud, berkata salinan surat itu turut dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim.

Sebelum ini, Lantas turut membuat laporan polis berhubung isu sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Saturday, June 27, 2009

KUARI HARAM DI SILAM? SPRM BERDIAM DIRI?


WALAUPUN Laporan Kesan Impak Alamsekitar (EIA) yang dipohon oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd pada 10 Oktober 2005 tidak diluluskan, namun ‘Kuari Haram’ ini terus beroperasi dan mencemarkan alam sekitar bumi Silam sejak lebih 20 tahun lalu tanpa sebarang penguatkuasaan.

Permohonan EIA Folio 52, yang difailkan oleh Sinoh Environmental Sdn.Bhd dan GSM, bagi pihak Fordeco Construction Sdn.Bhd telah dikemukakan ke Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah pada 10 Oktober 2005 untuk Silam Quarry di Bukit Silam Lahad Datu, (milik Fordeco Contruction). Namun mengikut Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah telah menolak EIA berkenaan dan TIDAK MELULUSKAN permohonan tersebut pada 26 September 2006.

TERJUN.... Air terjun ini telah rosak setelah diceroboh pengusaha kuari berkenaan membuatkan sungai sekitarnya kering kontang.

Sewajarnya, sejak daripada tarikh tersebut atau sebelumnya, Silam Kuari yang beroperasi secara haram wajib ditutup ‘SERTA MERTA’ kerana telah memusnahkan ekosistem alam semula jadi dan mencemarkan Alam sekitar, namun ianya masih beroperasi sehingga hari ini, 27 Jun 2009.

Mungkin tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turun padang menyiasat kegiatan haram ini kerana jabatan penguatkuasa seperti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Mineral dan Geosains, Pejabat Daerah Lahad Datu, Polis Di-Raja Malaysia dan sebagainya tidak mampu lagi menguatkuasa undang-undang kerana terperangkap dalam ‘keranda rasuah’.

Jika skandal kuari haram di Selangor, Keningau, Labuan dan Negeri Sembilan berjaya ditangani dengan sempurna oleh SPRM, sudah pastinya skandal ini akan dapat di atasi dengan mudah di Silam sekiranya SPRM benar-benar menjalankan tugas mereka secara professional dan dedikasi.

PELABUHAN.... Pelabuhan ini dibina di atas tanah kerajaan tanpa sebarang kelulusan. Manakala OP bagi jalan ini telah tamat pada tahun lalu namun belum ada tanda-tanda sebarang tindakan diambil terhadap syarikat berkenaan.

Kejayaan kuari haram ini beroperasi selama lebih 20 tahun di kaki Gunung Silam, Lahad Datu dan menggunakan kawasan hutan simpan sebagai pelabuhan untuk mengeksport batu daripada kuari haram ini menimbulkan tandatanya kerana penduduk dan pencinta alam sekitar mengemukakan bantahan, namun semua bantahan tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

Dipercayai, Silam Quarry yang dimiliki sepenuhnya oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd, menjadi ‘Gedung Emas’ kepada hampir semua Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen di Silam kerana ianya beroperasi secara haram dan menjadi penyumbang utama ‘angpau’ kepada ahli politik dan penguatkuasa yang membudayakan rasuah dalam tugas mereka dan memanipulasi undang-undang untuk kepentingan sendiri.

Fordeco ialah anak syarikat Kwantas Corporation Berhad iaitu konglomerat perladangan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur yang dimiliki ‘Bumiputera’ melalui perolehan Sijil Anak Negeri Palsu daripada Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu (Bandaraya). Syarikat ini telah membeli sebidang tanah simpanan bumiputera di perkampungan bumiputera tersusun yang pertama di Sabah yang mempunyai batu granit untuk dijadikan kuari dan memohon Lesen Menduduki Sementara (T.O.L) sebagai tambahan bagi memastikan operasi kuari berkenaan berkekalan untuk satu tempoh yang panjang.

MUSNAH.... Murshidi kecewa kerana aduan penduduk kampung tidak diendahkan pihak berkuasa

“Memang tidak dinafikan, tanpa kuari ini, ekonomi Lahad Datu agak lembab kerana sumber bahan binaan utama untuk bangunan dan jalan raya yang agak sukar diperolehi di daerah ini. Namun mendirikan kuari di kawasan Perkampungan Bumiputera Silam adalah seperti meletakkan debu dan pasir dalam periuk nasi penduduk kampung,” ujar Ketua Kampung Lamag, Murshidi Abdul Ghaffar.

Menurut Murshidi, pemilik kuari ini mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan peledak yang kecil sekadar untuk meletupkan bungkah batu granit, namun mereka menggunakan peledak yang besar pada waktu malam sehingga seluruh kampong Silam merasa gegaran.

“Kuari ini pada mulanya hanyalah beroperasi pada skala kecil, namun Adun Lahad Datu, ketika itu, Mohammadin Ketapi telah membenarkan ianya beroperasi pada skala besar dengan meluluskan T.O.L. kepada syarikat berkenaan yang kini telah menceroboh kawasan Hutan Simpan Ulu Segama,” ujar Murshidi dengan nada kesal kerana tidak ada sebarang tindakan diambil walaupun Mantan Ahli Parlimen Silam, Datuk Samsu baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan lawatan mengejut ke kuari berkenaan sekitar 2006.

Tambah Murshidi lagi, penduduk kampung turut mengadu masalah mereka kepada Adun berikutnya seperti Datuk Askalani Abdul Rahim, Datuk Mohd Yusof Amat Jamlee, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman dan kini Datu Nasrun Datu Mansur , namun belum ada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa untuk menutup kuari haram ini.

“Pada 2006, Datuk Samsu Baharun Haji Abdul Rahman telah mengadakan operasi khas ke kuari ini bersama Jabatan Perhutanan, Polis, Tentera, Jabatan Tanah dan Ukur serta NGO untuk memantau perkembangan kuari berkenaan dan mengemukakan bantahan, namun selepas itu tidak ada sebarang tindakan,” ujar Murshidi yang mengharapkan Adun Lahad Datu, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dapat membantu penduduk kampung menyelesaikan masalah yang berlarutan sejak sekian lama ini.

“Kawasan ini dahulu ada sebuah air terjun yang cantik dan mudah kelihatan di musim hujan. Ia membentuk sungai yang berair jernih dan menjadi sumber penduduk kampung. Tapi kini semuanya musnah dan yang tinggal hanya debu berterbangan dan kesan pencemaran yang ketara,” ujar Murshidi yang kesal dengan sikap pengusaha kuari berkenaan tidak mempedulikan bantahan penduduk kampung semata-mata untuk mnegaut keuntungan yang lebih daripada kesusahan yang dialami penduduk kampung.

Sebaliknya, kata Murshidi, pihak pengusaha kuari batu granit berkenaan semakin rakus meletupkan dasar Gunung Silam sehingga gegaran setiap kali pengeboman boleh didengar dan dirasai dalam jarak lima kilometer daripada kuari berkenaan yang bukan sahaja memuntahkan habuk beracun, malah memusnahkan sistem hidrologi Gunung Silam.

“Apa alasan sekalipun, janganlah musnahkan air terjun dan sungai sekalipun terletak di dalam kawasan kuari kerana ianya diwartakan sebagai ‘riverine’ yang diharamkan sebarang aktiviti,” kata Murshidi yang telah beberapa kali menulis surat aduan kepada pihak penguatkuasa.

Memandangkan, air terjun ini satu-satunya di Kampung Bumiputera Silam telah musnah, maka Murshidi merayu agar pengusaha kuari ini menghentikan segera pengeboman di kawasan air terjun tersebut dan menutup operasi kuari berkenaan kerana dikhuatiri telah menceroboh kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air Hutan Simpan Ulu Segama.

"Banyak tanah penduduk kampung tidak dapat ditanam atau diusahakan kerana dicemari batu terutama ketika hujan lebat yang menyebabkan banjir lumpur sehingga memusnahkan tanaman. Mereka ada minta pampasan, tapi tidak dilayan, " ujar Murshidi lagi yang agak kesal kerana aduannya selama ini tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.

JPJ.... Kenapa JPJ tidak pernah menahan lori hantu yang membawa muatan lebih dan tidak mempunyai permit sebaliknya memburu pekebun kecil yang membawa lebih muatan.

KUARI.... Pemandangan kuari haram ini daripada udara sekitar jam 2 petang kelmarin.

Lebih mengejutkan sabahkini.net, terdapat jambatimbang stesen Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang terletak dipintu masuk jalan ke kuari berkenaan, namun lori ‘hantu’ (off-road) daripada kuari berkenaan bebas keluar masuk membawa muatan berlebihan ke pelabuhan haram tanpa melalui pemeriksaan JPJ.

Dalam pada itu, Fordeco Construction Sdn.Bhd. juga mendirikan sebuah kilang pembancuh simen berhampiran Bandar Teck Guan yang dipercayai beroperasi secara haram sejak lebih lima belas tahun lalu tanpa sebarang kelulusan Majlis Daerah Lahad Datu dan tidak mendapat kelulusan EIA.

HARAM.... Kilang premix ini telah beroperasi tanpa lesen sejak lima belas tahu lalu tanpa sebarang gangguan.

Siasatan Sabahkini.net mendapati kilang ini didirikan ketika syarikat tersebut membina Bandar Baru Tabanak dan Taman Perumahan Tabanak yang beroperasi secara sementara di tapak binaan namun terus beroperasi secara haram sehingga kini membekalkan ‘premix concrete’ kepada daerah ini.

Siasatan sabahkini.net di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Fordeco Construction Sdn.Bhd dimiliki oleh Kwan Bersaudara iaitu, Kwan Min Nyet (12,500 unit saham), Kwan Ngen Wah (1,512,500 unit saham), Kwan Jin Nget (12,500 unit saham) dan Kwan Ngen Chung (1,512,500 unit saham) yang mempunyai modal berbayar RM3.050 juta daripada modal dibenarkan sebanyak RM5 juta yang mencatatkan keuntungan bersih RM30 juta setiap tahun daripada operasi kuari.

Kedua-dua pemegang saham, Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung turut menjadi pengarah Fordeco Construction Sdn.Bhd dan lebih 40 syarikat gabungan Kwantas Corporation Berhad. Kedua adik beradik ini disyaki memegang sijil Anak Negeri Palsu bagi membolehkan mereka mendapat penarafan sebagai syarikat milik penuh Bumiputera dan menikmati pelbagai insentif sehingga Kwan Ngen Wah dicatatkan di dalam Majalah Forbes sebagai orang yang ke 14 terkaya di Malaysia.

Kwan Min Nyet (belakang tiga dari kiri), Kwan Ngen Wah (depan kiri sekali) Kwan Jin Nget (belakang dua dari kini) dan Kwan Ngen Chung (depan kanan sekali).

Bekas Pengarah Hadapi Tuduhan Rasuah


KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) -- Bekas Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Negeri Sabah Datuk Mastor Samin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Jumaat atas dua tuduhan rasuah melibatkan kontrak bernilai RM10,000 yang diberikan kepada syarikat milik isterinya.

Hakim Caroline Bee Majanil kemudian menetapkan tarikh perbicaraan kes itu dari 1 Mac hingga 5 Mac tahun depan.

Beliau membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan. Mastor membayar wang ikat jamin itu.

Mengikut kertas pertuduhan, Mastor, 57, dituduh menggunakan jawatannya sebagai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajian Am Negeri Sabah untuk mendapatkan suatu suapan apabila mengarahkan Dosmin Lojum menyerahkan wang Bantuan Geran Pelancaran sebanyak RM8,000 kepada tertuduh bagi pembelian mesin jahit, kain dan benang daripada Rodeah Enterprise yang dimiliki isterinya Rohani Abdul Rahman.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 25 Feb 2002 di tingkat 5, Wisma Kebajikan, Sembulan, dekat sini.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum menurut Seksyen 16 di bawah akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mastor juga menghadapi tuduhan mengikut akta yang sama dengan mengarahkan Shamsuri Al-Malek mendapatkan bekalan mesin, kain dan benang berharga RM2,000 daripada Rodeah Enterprise milik isterinya pada 27 Feb 2002 di tempat yang sama.

Dalam sebutan kes hari ini, tertuduh tidak diwakili oleh peguam manakala Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya Kavin Morais.

Wednesday, June 24, 2009

55 Peratus Gejala Rasuah Di Sabah Babitkan Pegawai Penguatkuasa


KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) -- Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi jenayah rasuah di Sabah menunjukkan 55 peratus daripada 545 maklumat diperoleh melibatkan pegawai dan anggota agensi penguatkuasa undang- undang, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Datuk Zakaria Jaffar.

Beliau berkata statistik bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan agensi-agensi penguatkuasa di negeri ini sangat terdedah kepada jenayah rasuah, penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa.

"Jenayah rasuah akan membawa kepada kehancuran bangsa dan negara serta menyebabkan penguatkuasaan undang-undang tidak berkesan dan ketidakadilan jika tidak ditangani dengan cekap dan berkesan," katanya semasa berucap pada majlis penutup Forum Penguatkuasaan Undang-Undang Berintegriti di sini, Rabu.

Katanya kerajaan mengadakan pelbagai usaha untuk mencegah gejala rasuah antaranya pemantapan kerangka perundangan pencegahan rasuah untuk membolehkan tindakan punitif diambil terhadap setiap pesalah rasuah, memantapkan sistem pengurusan dan pentadbiran melalui pembentukan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP), mengeluarkan arahan-arahan pekeliling serta pemantapan integriti dalam perkhidmatan awam, katanya.

Zakaria berkata usaha penjelasan dan pendidikan kepada masyarakat tentang pencegahan gejala rasuah akan dilakukan secara berterusan.

Beliau berharap forum seumpamanya akan menjadi platform para peserta meningkatkan persefahaman dan kerjasama serta menggerakkan tindakan pencegahan jenayah rasuah secara bersepadu dan berterusan.

Forum, yang julung kali diadakan di negeri ini, dianjurkan oleh SPRM dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah dihadiri 250 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai penguatkuasaan peringkat Kerajaan Persekutuan Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah, badan-badan berkanun seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

-- BERNAMA