KOTA BELUD, 28 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Bertindak Tanah Rezab Padang Ragut Kuala Pintasan-Kampung Labuan (Lantas) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung dakwaan 364 hektar tanah rizab Padang Ragut Kuala Pintasan, di sini memiliki geran atas nama orang perseorangan dan syarikat tertentu.
Pengerusinya Asang Lantuhun berkata laporan itu dibuat Selasa lepas.
"Kami harap pihak berkuasa terbabit menyiasat laporan kami untuk keadilan dan memastikan individu terbabit dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Asang, yang juga Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) Kota Belud, berkata salinan surat itu turut dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim.
Sebelum ini, Lantas turut membuat laporan polis berhubung isu sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
No comments:
Post a Comment