JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, June 24, 2009

55 Peratus Gejala Rasuah Di Sabah Babitkan Pegawai Penguatkuasa


KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) -- Statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi jenayah rasuah di Sabah menunjukkan 55 peratus daripada 545 maklumat diperoleh melibatkan pegawai dan anggota agensi penguatkuasa undang- undang, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Datuk Zakaria Jaffar.

Beliau berkata statistik bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini menunjukkan agensi-agensi penguatkuasa di negeri ini sangat terdedah kepada jenayah rasuah, penyelewangan dan penyalahgunaan kuasa.

"Jenayah rasuah akan membawa kepada kehancuran bangsa dan negara serta menyebabkan penguatkuasaan undang-undang tidak berkesan dan ketidakadilan jika tidak ditangani dengan cekap dan berkesan," katanya semasa berucap pada majlis penutup Forum Penguatkuasaan Undang-Undang Berintegriti di sini, Rabu.

Katanya kerajaan mengadakan pelbagai usaha untuk mencegah gejala rasuah antaranya pemantapan kerangka perundangan pencegahan rasuah untuk membolehkan tindakan punitif diambil terhadap setiap pesalah rasuah, memantapkan sistem pengurusan dan pentadbiran melalui pembentukan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP), mengeluarkan arahan-arahan pekeliling serta pemantapan integriti dalam perkhidmatan awam, katanya.

Zakaria berkata usaha penjelasan dan pendidikan kepada masyarakat tentang pencegahan gejala rasuah akan dilakukan secara berterusan.

Beliau berharap forum seumpamanya akan menjadi platform para peserta meningkatkan persefahaman dan kerjasama serta menggerakkan tindakan pencegahan jenayah rasuah secara bersepadu dan berterusan.

Forum, yang julung kali diadakan di negeri ini, dianjurkan oleh SPRM dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah dihadiri 250 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai penguatkuasaan peringkat Kerajaan Persekutuan Sabah dan Kerajaan Negeri Sabah, badan-badan berkanun seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

-- BERNAMA

No comments: