KUCHING 23 Julai - Tahap keyakinan orang ramai untuk melaporkan kegiatan rasuah dan penyelewengan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan tahun ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, keadaan itu boleh dilihat berdasarkan pada peningkatan jumlah aduan yang diterima SPRM iaitu 9,000 laporan setakat bulan Julai tahun ini.
Menurutnya, jumlah itu mampu mengatasi rekod yang diterima pada tahun lalu iaitu sebanyak 15,000 laporan.
''Kita melihat tahap keyakinan orang ramai untuk melaporkan kegiatan rasuah mula menunjukkan peningkatan dan kita gembira dengan maklum balas itu.
''Justeru saya berharap, para pegawai saya akan memberi respons terhadap maklumat itu dan tindakan tegas akan diambil sekiranya dakwaan itu benar," katanya di sini baru-baru ini.
Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anti Rasuah Sarawak 2009 bertempat di Padang Merdeka di sini.
Turut hadir, Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah SPRM Sarawak, Shamsiah Abu Bakar.
Ahmad Said memberitahu, keyakinan orang ramai itu juga membawa kepada kes-kes besar seperti yang didedahkan Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Mohd. Jamidan Abdullah baru-baru ini.
SPRM ujar beliau, masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat buat masa ini dan tidak akan membuat sebarang pengumuman.
''Saya harap, kita akan dapat menyiapkan siasatan ke atas kes-kes yang disebutkan itu sebelum penghujung tahun ini," katanya.
Sementara itu, Shamsiah berkata, SPRM Sarawak telah menerima sebanyak 305 maklumat setakat enam bulan pertama tahun ini berbanding 616 maklumat yang diterima tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah laporan itu, 23 tangkapan telah dibuat dengan 64 kes sedang dibicarakan di mahkamah iaitu enam pertuduhan yang dilakukan membawa kepada empat sabitan mahkamah.
utusan
No comments:
Post a Comment