JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Saturday, November 14, 2009
Guru j-QAF Sabah, Sarawak mahu keadilan
SAYA tertarik dengan luahan 'Jefri' dalam ruangan ini Khamis lalu bertajuk 'Guru tinggal berjauhan dengan suami 2 tahun'. Saya rasa semua guru j-QAF dan guru agama di seluruh Sarawak dan Sabah menyokong penuh kenyataannya itu.
Masalah ini mungkin remeh dan ringan bagi orang lain terutama pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran di Putrajaya (Bahagian Pendidikan Islam). Namun, derita dan kesusahan serta masalah yang kami tanggung , hanya kami, rakan dan Allah yang tahu.
Sememangnya tidak dinafikan kebajikan guru j-QAF tidak diambil berat oleh pihak berwajib. Bukan setakat soal perpindahan saja malah pelbagai isu lain mengenai j-QAF terutama di Sarawak dan Sabah, tidak dipandang oleh pihak kementerian.
Yang mereka tahu kalau datang ke sekolah hanya dengan membawa check list kesalahan dilakukan kami. Tiada ruang untuk kami mengadu masalah. Belum sempat untuk meluahkan masalah, terus saja diserang dengan pelbagai soalan bertujuan mencari kesalahan dan kelemahan kami.
Kami begitu sedih melihat keadaan ini berlaku. Langsung jatuh motivasi kami. Tugas 'orang atasan' merangsang motivasi 'orang bawahan' dengan bertanya dan menyelesaikan masalah mereka bukannya menghentam.
Kami sudah bosan untuk menceritakan masalah dan kesukaran kami bertugas jauh di Sarawak dan Sabah ini. Senarainya cukup panjang. Tapi jika ditulis masalah itu sebagai alasan dalam borang perpindahan, rasanya dipejamkan saja mata pihak berkenaan.
Cuma di sini saya ingin mempersoalkan akan nasib kami sebagai Guru j-QAF dan guru agama di bumi Sarawak dan Sabah ini. Sampai bila kami harus menunggu untuk dibenarkan berpindah ke Semenanjung. Kami menjadi risau kerana pengambilan guru j-QAF baru adalah yang terakhir pada 2010.
Dalam Parlimen baru-baru ini terdengar ura-ura j-QAF akan dikembangkan ke sekolah menengah. Adakah kami yang akan ditugaskan di sekolah menengah pula? Tidak kira apa sekalipun rancangan kementerian, yang penting kebajikan kami dalam soal pindah ini perlu diberi perhatian.
Memang betul kami makan gaji dan perlu patuh tapi kalau sampai menjejaskan moral dan semangat kami, macam mana kami hendak bekerja dengan baik? Berbeza dengan guru akademik lain, tidak sampai setahun datang ke Sarawak sudah boleh berpindah. Sungguh pelik.
Kalau alasan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang mengatakan Sarawak kekurangan guru agama tempatan, jadi kenapa guru akademik yang diganti juga dari Semenanjung? Tidak bolehkah guru pelatih j-QAF baru datang ke Sarawak dan Sabah dari Semenanjung macam kami dulu.
Kenapa ditempatkan kebanyakan guru di Semenanjung saja, sehinggakan ada kes guru j-QAF yang menolak tawaran penempatan di Sarawak tetapi kemudiannya ditawarkan semula bertugas di Semenanjung. Adilkah begini?
Kami berharap masalah ini mendapat perhatian dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak kementerian. Kami juga rakyat Malaysia yang menyokong slogan Perdana Menteri 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
MUALIM BORNEO,
Sarawak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment