JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, November 13, 2009

MURUGIAH HERET ROS KE MAHKAMAH

Belum pun krisis kepimpinan dalam MCA selesai, Parti Progresif Penduduk (PPP) juga masih bergolak ekoran pertelagahan antara Presidennya Datuk M.Kayveas dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah.

Perang besar itu menyebabkan Murigiah dipecat daripada PPP dan sebelum itu beliau mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang menyaksikan beliau dipilih sebagai Presiden parti itu.

Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan (ROS) kemudiannya memutuskan Kayveas masih Presiden PPP yang sah.

Murugiah yang kini dianggap ‘tidak berparti’ ekoran keputusan pemecatan dan ROS itu, hari Rabu mendesak ROS segera membuat keputusan mengenai rayuan pemecatannya daripada PPP yang menurutnya sudah mengambil masa agak lama.

"Saya tidak tahu kenapa mereka (ROS) mengambil masa terlalu lama, bagi rakan kita, Timbalan Presiden MCA, Datuk (Seri) Dr. Chua Soi Lek begitu cepat, tetapi sekarang saya masih menunggu jawapan saya daripada ROS.

"Kini sudah masuk tiga minggu, dan akan jadi sebulan. Mereka perlu berbuat sesuatu, ini penting kepada penyokong dan anggota parti,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Murugiah berkata, beliau menghantar surat rayuan kepada ROS pada 15 Oktober lalu kerana surat ROS yang meminta beliau mengemukakan surat rayuan lewat sampai kepadanya.

"Saya hanya hantar pada 15 Oktober kerana mereka hantar surat itu kepada szya hanya pada 13 Oktober, ROS tandatangan surat itu pada 26 Ogos tetapi hanya dihantar kepada peguam saya paad 13 Oktober. Saya tidak tahu kenapa (ia dihantar) selepas dua bulan,” katanya.

Menurutnya, dalam surat rayuan sebanyak 15 muka surat itu, beliau meminta ROS mengkaji semula keputusan pemecatan beliau dan status Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PPP pada Mei lalu yang diputuskan sebagai tidak sah.

Beliau meminta ROS menimbang semula keputusan pemecatan itu kerana dilakukan tanpa ikut lunas-lunas perlembagaan parti.

“Tanpa surat tunjuk sebab dan saya tidak berdepan lembaga disiplin untuk pertahan diri. Saya tahu melalui media. Tuduhan sogok duit kepada ketua bahagian untuk daoatkan undi juga tidak berasas. Tiada pemilihan parti masa itu, macam mana sogok duit,” tegasnya.

Murugiah turut mendedahkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat siasatan dan pegawainya sudah ditahan berhubung dakwaan itu sebelum ini.

“SPRM sudah datang periksa pejabat saya. Tetapi tidak rekod keterangan saya,” katanya.

Ditanya jika kedua-dua keputusan ROS itu tidak memihak kepadanya, Murugiah berkata beliau akan mencabar keputusan ROS di mahkamah.

“Saya tidak boleh cabar keputusan parti tetapi boleh cabar ROS,” katanya.

No comments: