Mulai Jumaat ini, perintah perluasan dan pemakaian Kanun Tanah Negara (KTN) akan dikuatkuasakan ke atas Wilayah Persekutuan Labuan bagi memantapkan urusan pentadbiran tanah.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, keputusan tersebut dibuat setelah kerajaan menyemak serta membandingkan setiap seksyen di dalam KTN dan Ordinan Tanah Sabah.
"Melalui semakan serta perbandingan tersebut, kerajaan mendapati pemakaian KTN ke Wilayah Persekutuan Labuan adalah bersesuaian.
"Selain itu, beberapa undang-undang berkaitan pentadbiran tanah juga akan diperluaskan pemakaiannya," kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Raja Nong Chik, undang-undang yang akan diguna pakai termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486), Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318), Akta Juru ukur Berlesen 1958 (Akta 458), Akta Pelan dan Dokumen Tanah dan Lombong 1950 (Akta 233) dan Akta Hakmilik Anak Negeri Labuan 2007 (Akta 667).
Kata beliau, secara keseluruhannya faedah yang diperoleh susulan daripada perluasan dan pemakaian KTN adalah corak pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan Labuan sama seperti di negeri-negeri lain di Semenanjung.
"Justeru, kuasa yang terkandung di bawah KTN dapat dilaksanakan oleh pihak yang diberi kuasa seperti mana yang diperuntukkan oleh kerajaan.
"Keseluruhan tanah di sini juga adalah di bawah bidang kuasa Pejabat Pendaftar, sama seperti Wilayah Persekutuan Putrajaya di Semenanjung," katanya.
Beliau menjelaskan, Tanah Bandar dan Tanah Desa tetap dikekalkan statusnya yang mana dua jenis cukai boleh digunakan sekali gus agar tidak membebankan pemilik tanah sedia ada.
Tambahnya, melalui undang-undang tersebut, taraf pemilikan dan status urus niaga tanah anak negeri turut dijamin dan tidak akan jatuh ke tangan pemilik luar.
"Pihak kementerian juga akan melaksanakan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) bagi memantapkan urusan pendaftaran serta rekod hak milik tanah," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah Pusat Sehenti (OSC) turut diwujudkan bagi menguruskan pembangunan tanah secara menyeluruh.
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment