JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, December 23, 2009

YB PONTENG : MP BN SINDIR NAJIB DAN SPEAKER


KUCHING: Kekal atau tidak sebagai calon Barisan Nasional (BN) terutama bagi Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak pada pilihan raya umum seterusnya, adalah terpulang kepada budi bicara Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selaku Pengerusi BN Negeri.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ketidakhadiran Ahli Parlimen BN pada sidang Dewan Rakyat Isnin lalu bagi meluluskan Bajet 2010 bukan kriteria utama bagi mengukur prestasi kerja mereka.

“Ini bukan persoalan kekal atau tidak (sebagai calon BN). Ia bergantung kepada Ketua Menteri, kita tidak boleh mempersoalkan kuasa budi bicara Ketua Menteri dalam menentukan siapa patut kekal atau tidak,” kata-nya kepada Utusan Borneo, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kekecewaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan ketidakhadiran ramai Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat.

Ia dilihat sebagai perkara serius yang boleh memungkinkan belanjawan negara tidak diluluskan.

Bagaimanapun, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, beliau tidak tahu kalangan Ahli Parlimen BN dari Sarawak yang tidak hadir.

“Pada masa itu bukan saya yang mempengerusikan mesyuarat. Giliran Datuk Ronald Kiandee. Saya tidak dapat mengesahkan siapa yang hadir atau tidak,” katanya.

Apa yang pasti menurut beliau, Timbalan Menteri Pertanian Datuk Rohani Abdul Karim dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng berada dalam Dewan ketika itu.

Beliau berkata, kehadiran Ahli-ahli Parlimen BN amat penting dalam persidangan bukan sahaja ketika proses meluluskan bajet.

“Satu ketika dahulu saya pernah bangkitkan isu yang hampir serupa (tentang kelantangan Ahli-ahli Parlimen BN Sarawak di Parlimen). Sekarang PM pun bersuara tentang perkara ini,” katanya.

Selepas teguran itu dilakukan satu ketika dahulu, beliau berkata beberapa Ahli Parlimen BN dari Sarawak melihat ia sebagai teguran positif.

Antara yang berubah selepas teguran itu ialah Ahli Parlimen Kanowit Aaron Ago Dagang dan Ahli Parlimen Kapit Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, Ahli Parlimen BN dari Sarawak lazimnya cuma mengetengahkan perkara-perkara berkaitan pembangunan di kawasan masing-masing, berbanding bercakap soal politik.

“Ini yang positifnya tentang Ahli Parlimen BN dari Sarawak. Mereka jarang bercakap soal politik,” katanya.

Mengenai apa kemungkinan tindakan diambil oleh Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata ia terpulang kepada pemimpin tertinggi BN.

“Saya yakin PM dan TPM akan berbuat sesuatu agar perkara seperti ini tidak lagi berulang pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Najib dipetik sebagai berkata, kegagalan meluluskan Bajet 2010 itu mungkin menyebabkan Parlimen dibubarkan dan BN terpaksa berhadapan dengan pilihan raya untuk membentuk semula kerajaan.

Pada sidang Dewan Rakyat itu, seramai 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan.

No comments: