JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, December 23, 2009

MyKad disimpan dalam kain

LONG KEVOK (Ulu Baram): MyKad disimpan dalam bungkusan kain atau plastik dan tidak diletakkan di dalam dompet atau beg duit.

Akibatnya dokumen penting itu terdedah dengan hujan dan panas apabila dibawa setiap hari, sehingga MyKad itu mudah patah atau cipnya cepat rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Itulah masalah yang menghantui kebanyakan kaum Penan akibat kurang kesedaran mengenai penjagaan dokumen penting itu.

Ketika majlis penyerahan Sijil Kelahiran dan MyKad yang dilakukan Unit Khas Bergerak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di kawasan Long Kevok, sebuah penempatan Penan yang terletak enam jam perjalanan dari bandaraya Miri, lebih 20 penerima kaum Penan terpaksa memohon MyKad baru kerana cipnya rosak atau MyKad sudah rosak.

Ramai di antara penerima itu terdiri daripada mereka yang dikehendaki memperbaharui dokumen pengenalan diri berkenaan untuk kali kedua.

DUA pasangan Penan baru kahwin, Caroline (kiri), dan Bilong gembira menerima MyKad kali kedua kerana cipnya kerap rosak.
Seorang daripada penduduk Penan itu, Bilong Lollee, 28, berkata ia adalah kali kedua beliau memohon MyKad kerana MyKad lama rosak dan tidak dapat digunakan.

Beliau berkata, masalah yang dihadapinya itu turut berlaku kepada ramai kaum Penan di kampung berkenaan, termasuk isterinya Caroline Yuhuda, 20, dan beberapa penduduk kampung lain.

Katanya, masalah itu bukan sesuatu yang baru di kalangan kaum Penan di kawasan itu termasuk penduduk kampung dari masyarakat Orang Ulu.

“Ada yang pernah diminta buat MyKad tiga kali kerana cipsnya dikatakan rosak. Sekarang bukan saja kaum Penan berdepan masalah membuat MyKad dua kali (jika rosak), malah terpaksa menanggung kos tinggi untuk berbuat demikian.
“Justeru, ramai pemegang MyKad tidak perbaharui dokumen berkenaan walaupun MyKad mereka tidak dapat digunakan. Ia disebabkan faktor kos,” katanya kepada Berita Harian.

Bilong yang tidak menolak kemungkinan masalah berlaku disebabkan pemilik MyKad tidak menjaganya dnegan baik berkata, penggunaan MyKad berkenaan penting bagi generasi muda Penan yang ingin memohon pekerjaan di bandar.

“Jika tiada MyKad, tiada majikan yang ingin ambil kita bekerja. Walaupun, masih ramai kaum Penan dan masyarakat Orang Ulu di Sarawak belum memiliki MyKad, namun sudah wujud kesedaran tinggi untuk memohon atau memilikinya.

“Misalnya, ketika lawatan JPN ke Long Kevok ramai kaum Penan menggunakan kesempatan ini untuk memohon MyKad,” katanya.

Rakannya, Jamus Rusi, 29, berkata selain masalah kerosakan pada cip kebanyakan MyKad milik Penan di kawasan berkenaan sudah patah atau pudar kerana tidak dijaga dengan baik.

Beliau berkata, kesedaran mengenai penjagaan MyKad dengan baik masih kurang di kalangan kaum itu yang masih mencatat jumlah penduduk Sarawak paling ramai belum memiliki MyKad.

Katanya, kebanyakan kaum Penan tidak mempunyai tempat khusus untuk menyimpan MyKad dengan hanya membawanya di dalam bungkusan atau kain sehingga terdedah kepada hujan dan panas.

Sementara itu, jurucakap JPN yang menyertai operasi itu berkata, kesedaran masyarakat luar bandar supaya menjaga MyKad dengan baik masih rendah.

“Ramai antara mereka menganggap memiliki MyKad atau sebaliknya tidak mustahak. Jika rosak atau hilang boleh buat semula. Sikap sebegini perlu diubah,” katanya sambil menambah banyak kes MyKad rosak diterima JPN daripada penduduk luar bandar.BH

No comments: