JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Wednesday, February 10, 2010

Jenayah di Sabah kian membimbangkan


Kota Kinabalu : Jenayah di Sabah kian membimbangkan apabila statistik yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Sabah menerusi web rasminya yang menunjukkan dalam kes jenayah seperti bunuh, rogol dan dadah terdapat peningkatan ketara di negeri itu.
Jenayah harta benda misalnya mencatatkan kes pecah rumah meningkat kepada 2249 kes pada tahun 2009 berbanding hanya 2142 kes tahun sebelumnya.

Turut meningkat ialah kes kecurian motorsikal kepada 277 kes pada tahun 2009 berbanding 244 kes tahun sebelumnya. Manakala bagi kecurian kereta meningkat dari 468 kes tahun 2008 kepada 663 tahun lalu.

Bagi jenayah keganasan, peningkatan turut dicatatkan bagi kes bunuh, rogol, mencederakan manusia, pemerasan dan ugutan jenayah. Malah, kes ugutan jenayah meningkat lebih dua kali ganda pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Paling memeranjatkan lagi ialah statistik narkotik (kes dan tangkapan memiliki dadah) mencatatkan peningkatan kes sebanyak 7,223 dengan tangkapan seramai 7,628 orang. Jumlah itu terus meningkat sejak tahun 2005 dan angkat tertinggi itu juga merupakan lebih dua kali ganda berbanding tahun 2007.

Bagi statistik rampasan dadah, ia mencatatkan peningkatan seratus peratus bagi dadah jenis ketamin, lima tahun berturut-turut sejak tahun 2005. Manakala statistic bagi kes rampasan dadah jenis syabu pada tahun 2008 yang hanya mencatatkan 4082.02 meningkat kepada 5104.68 pada tahun 2009.


Mengulas isu itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Haji Hamzah Abdullah berkata, BN yang menakluk Sabah sejak puluhan tahun lalu gagal menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi antara punca mengapa jenayah di negeri itu meningkat.

Menurutnya, pemimpin BN di Sabah terlalu banyak bermain politik sehingga mengabaikan kebajikan rakyat negeri Sabah yang suatu ketika dahulu pernah dinobatkan sebagai negeri ke dua termaju selepas Selangor.

“Saya cukup kesal dengan peningkatan jenayah di Sabah memandangkan negeri ini kaya dengan pelbagai khazanah alam yang saya yakin jika durus tadbir dengan baik dan telus pasti mencukupi untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya remaja dan belia kita seterusnya membantu mengelakkan mereka daripada terjerumus kekancah jenayah.

Walaupun kita akui Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) khasnya dari Filipina antara penyumbang jenayah di negeri ini tetapi persoalannya ialah, PATI juga sering dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka,” Katanya kepada erapakatan.

Tokoh masyarakat dari Sandakan itu turut mendesak kerajaan negeri segera menyelesaikan masalah yang dihadapi ribuan rakyat Sabah yang kini terkandas di Kuala Lumpur dan Singapaura selepas kehilangan pekerjaan sejak setahun lalu.

Bagi Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini, kerajaan negeri perlu memantau dan mengawal lesen yang diluluskan kepada pusat hiburan di negeri itu.

Menurutnya, jumlah pusat hiburan di negeri itu terlalu banyak dan kesan sosial yang ditanggung rakyat dari segi jenayah dan ancaman keselamatan lebih parah berbanding hasil cukai maksiat yang dikutip kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Jimmy Wong Tze Phin menegaskan, statistik yang dikeluarkan oleh ibu pejabat polis negeri hanyalah bagi kes yang telah dilaporkan dan dibimbangi jumlahnya lebih tinggi jika setiap jenayah di Sabah benar-benar dilaporkan.


Beliau menjelaskan, ada sesetengah masyarakat enggan melaporkan sesuatu kes jenayah kerana pernah melalui pengalaman ngeri apabila berurusan dengan pejabat polis yang ternyata cuai dan lambat bertindak untuk menyelesaikan sesuatu kes.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung itu memberi contoh bagaimana kes kecurian dompet misalnya, amat sukar diselesaikan oleh pihak polis walhal setiap sen wang rakyat yang dicuri itu cukup memeritkan dan dibimbangi mangsa yang tertekan itu pula akan turut melakukan jenayah sama kerana terdesak memerlukan wang.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar cadangan Pakatan Rakyat (PR) supaya ditubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dipercepatkan bagi membantu meningkatkan perkhidmatan pasukan keselamatan itu.

No comments: