LanH14
BERSYUKUR ke hadrat Illahi kota raya Kuala Lumpur yang sama-sama kita kasihi telah menyambut Hari Wilayah ke-36 pada 1 Februari lalu.
Jika seorang manusia, menginjak ke-usia 40 tahun, dia dianggap menuju kematangan (Nabi Muhammad s.a.w. dilantik nabi dan rasul pada usia 40 tahun), maka demikianlah harapan kita kepada kota Kuala Lumpur yang menjadi tempat sebahagian besar daripada rakyat termasuk yang dilahirkan nun jauh di pedalaman seperti di Pahang, Kelantan malah Sabah dan Sarawak, mencari rezeki.
Setelah menikmati rentak arusnya sekian lama, tentulah terdetik di hati kita mahu melihat Kuala Lumpur bukan sekadar ibu kota yang mampu menyaingi kota-kota besar dunia lain di rantau sebelah sini seperti Singapura, Bangkok, Manila dan Jakarta, tetapi dapat menjanjikan 'syurga' bagi seluruh penghuninya.
Apa yang kita maksudkan, pemerintah dan pihak-pihak berkaitan dapat menyediakan kemudahan paling sesuai untuk semua warganya dan dari segi keagamaan pula, penduduknya patuh pada ajaran masing-masing dengan orang Islam berhak melaksanakan segala hukum-hakam Islam.
Apabila disebut kota, segera terbayang di minda kita akan sikap semua pihak - daripada pemimpin tertinggi sehingga rakyat biasa - kebanyakannya bertindak bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing. Setiap orang sibuk akan hal diri sendiri, tidak ada masa menyelami apatah lagi menjayakan rancangan yang dapat memanfaatkan semua pihak.
Sebagai contoh dari segi kemudahan pengangkutan awam; keadaan di ibu kota tidak banyak berubah, sekalipun sudah diperkenalkan perkhidmatan kereta api ringan. Sekalipun kemudahan awam terkini ini banyak membantu, perkhidmatan kenderaan awam lain seperti bas seolah-olah masih dibuai tidur dengan mimpinya yang panjang. Kepada pengguna pengangkutan awam ini, perkhidmatan masih di takuk lama dengan masalah seperti kesesakan dan ketidak-tepatan jadual masih tidak dapat diatasi.
Disebabkan perkhidmatan bas yang tidak memuaskan ini dan kurangnya sistem bas penyambung (feeder bus) di kebanyakan stesen LRT menjadikan arus pergerakan kenderaan awam tidak berkesan dalam memenuhi kehendak warga kota yang perlu bergerak cepat.
Bayangkan seorang penumpang perkhidmatan serba canggih selepas tiba di sebuah stesen akan terpaksa termenung lama memikirkan bagaimana dia hendak ke destinasinya sedangkan di situ tiada pengangkutan awam seperti bas. Mungkin yang ada hanyalah teksi dengan sesetengah pemandunya adalah orang yang suka 'cekik darah'.
Ketidakberkesanan sistem pengangkutan awam menyebabkan ramai warga kota memilih untuk berkenderaan sendiri ke pejabat atau urusan lain. Dalam kesesakan pagi di jalan-jalan sesak ibu kota, perhatikanlah dalam setiap kereta - hanya ada seorang (pemandu) dalam kereta itu. Jika setiap orang mahu memandu sendiri ke pejabat sudah tentu jalan ibu kota akan sesak sekali gus berlaku pelbagai pembaziran.
Ibu kota masyhur dunia seperti London dan Tokyo mempunyai rangkaian sistem pengangkutan awam yang efisyen. Sebahagian daripada pencapaian dan kemajuan kota dikaitkan dengan pengangkutan awamnya, jika warganya tidak meyakini keberkesanan pengangkutan awam bermakna, pengurusan kota gagal meningkatkan statusnya ke taraf dunia.
Selain masalah pengangkutan, satu lagi masalah KL adalah banjir kilat. Sekalipun kita sudah memasuki alaf dan dekad baru, setiap kali hujan lebat, debaran jantung warga KL akan bertambah kencang. Apa tidaknya, jika hujan lebat, beberapa kawasan rendah KL akan dinaiki air, menghalang kelicinan lalu lintas sekali gus menyebabkan kesesakan jalan raya amat teruk.
Kita juga rindukan Kuala Lumpur menjadi pusat keilmuan dan pengamalan Islam di rantau sebelah sini sesuai dengan pengisytiharan bahawa Malaysia sebuah negara Islam. Dalam hal ini, program keislaman kota raya lain boleh ditiru misalnya mewujudkan dataran ilmu seperti yang ada di Teheran dan Kota Bharu. Selain itu tempat maksiat seperti pusat judi, pelacuran dan kelab-kelab hiburan melampau perlu diusahakan ke arah sifar dan alangkah harmoni dan barakahnya jika Kuala Lumpur dapat dijadikan Serambi Makkah!
JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment