JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT

JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Klik Kanan & Save Serta Besarkan Untuk Lebih Jelas

Friday, February 5, 2010

Undang2 dilanggar depan mata

KOTA KINABALU: Walaupun sepatutnya berada di sekolah, Aminah Aduna, 12, dari Kampung Kandang Ayam, Likas, dekat sini tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menjadi buruh kanak-kanak untuk menyara ibu dan dua adiknya.

Selepas kematian bapa, Aduna Japaiari, 50, November tahun lalu, kanak-kanak perempuan itu mengambil upah memasang jubin bagi mencari nafkah keluarga kerana ibunya, Sairi Begento, 45, lumpuh sejak dua tahun lalu.

"Dua adik, seorang lelaki dan perempuan iaitu Misuarin, 10, dan Arpa, lima tahun, masih kecil dan memerlukan makanan serta ubat.

"Dengan gaji RM10 sehari, dapatlah juga saya beli sedikit makanan dan ubat-ubatan. Kalau saya tidak kerja, kami sekeluarga kebuluran," katanya yang menjawab soalan dalam nada takut-takut kerana bimbang gajinya dipotong oleh majikan jika dilihat berbual pada waktu bekerja.

Aminah menjalankan kerja memasang jubin lantai dan dinding di sekitar kawasan Api-Api Centre di pusat bandar raya ini sejak tiga bulan lalu.

AMINAH mengambil upah memasang jubin.

Ditanya dari mana mendapat kepakaran melakukan pekerjaan itu, beliau berkata: "Dulu bapa saya buruh binaan di sini (bandar raya), Sandakan dan Tawau.

"Dia mengajar saya cara memasang jubin," katanya yang mendakwa kanak-kanak tempatan tetapi mendakwa tidak membawa dokumen pengenalan diri bersama.

Aminah adalah antara sebilangan tenaga buruh yang membanting tulang seawal usia kanak-kanak untuk menyara keluarga walaupun ia menyalahi Ordinan Buruh Sabah 1959 (Bab 67) yang melarang majikan menggaji pekerja kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dalam sektor pembuatan, pembinaan, pengangkutan, perlombongan atau sektor lain seperti restoran, kedai kopi, bar, hotel atau pejabat.

Tinjauan di sekitar tapak pembinaan di bandar raya ini mendapati ada kanak-kanak bekerja sebagai buruh termasuk di bumbung bangunan setinggi empat tingkat yang seharusnya dipantau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah.


Mepe Natojo, 13, mendakwa terpaksa mengambil upah menjual ikan dan sayur di sekitar Taman Indah Permai dan Taman Bukit Sepanggar, dekat sini untuk menampung hidup.

Katanya, beliau tinggal bersama neneknya, Sentoso Pardin, 80, di Kampung Lembaga Padi Sabah, Inanam, dekat sini manakala ibu bapanya meninggal selepas bot yang digunakan untuk menangkap ikan dipercayai karam di perairan Pulau Mengalum.

"Selepas turun laut kira-kira dua tahun lalu, orang tua saya tidak tidak pulang hingga ke hari ini.

"Jiran beritahu bahawa ibu dan ayah saya lemas ketika menangkap ikan di tengah laut Pulau Mengalum tetapi saya berdoa mereka masih hidup dan dapat kembali satu hari nanti," katanya.

Penulis menghulurkan RM5 kepada Mepe untuknya membeli makanan tetapi dia menolak dengan alasan: "Tidak apalah, bang. Saya bukan peminta sedekah. Saya cari duit sendiri."

Pengarah JTK Sabah, Siti Aishah Mohd Asri ketika diminta mengulas pembabitan kanak-kanak sebagai tenaga kerja berkata, pihaknya sukar melakukan pemantauan kerana tiada aduan daripada orang ramai.

"Mengupah kanak-kanak melanggar peraturan Ordinan Buruh Sabah dan kami harap orang ramai proaktif melaporkan kegiatan ini kepada JTK bagi membolehkan tindakan diambil ke atas majikan.

"Kita faham kebanyakan kanak-kanak ini sekadar mahu mencari nafkah menyara keluarga tetapi undang-undang mesti dipatuhi. Majikan sepatutnya lebih memahami," katanya.

No comments: