JAWATAN KOSONG DUNIA AKHIRAT
Saturday, February 13, 2010
Mengapa Zahrain Tinggalkan PKR ?
Tindakan kerajaan pimpinan Lim Guan Eng membelakangkan prinsip-prinsip keadilan, hak asasi kemanusiaan dan keadilan semula jadi dalam usaha penyingkiran saya sebagai Pengerusi Island Golf Properties Sdn. Bhd. (IGP) baru-baru ini adalah bukti jelas amalan politik cauvinis, dan diktatorial.
Amalan Lim Guan Eng dan konco-konconya bukan sahaja bersikap angkuh dan tidak boleh menerima teguran dan kritikan, malahan mereka menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk kepentingan politik sempit dan agenda mereka.
Dan yang lebih memeranjatkan, setelah penyingkiran tersebut diketahui umum, Lim Guan Eng telah bertindak mengarahkan butiran mesyuarat tersebut tidak direkodkan.
Inilah pemimpin yang kononnya ingin menerapkan prinsip dan amalan CAT (Competency, Accountability & Transparency) dalam pentadbiran beliau.
Semasa saya dijemput Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), saya meletakkan keyakinan dan kepercayaan bahawa perjuangannya untuk reformasi dan perubahan adalah ikhlas dan akan dilaksanakan dengan bertanggungjawab, bertamadun dan tanpa kompromi kepada agama, bangsa dan prinsip-prinsip keadilan.
Apatah lagi saya mengenali Anwar secara peribadi lebih daripada 30 tahun.
Namun keyakinan dan kepercayaan saya hari ini terhakis dan diselubungi keraguan. Malahan keraguan itu telah mengatasi keyakinan saya terhadap matlamat dan cara perjuangan yang dibawa oleh PKR khasnya dan pakatan pembangkang umumnya.
Mutakhir ini, cara politik sempit yang ditunjukkan oleh kepimpinan Lim Guan Eng jelas membuktikan sikap cauvinis, ekstremis dan diktatorial.
Slogan baru 'Middle Malaysia', menggantikan slogan 'Malaysian Malaysia' yang dilaungkan jelas membuktikan agenda perkauman yang sempit yang dibawa oleh Lim Guan Eng.
Nasib kaum Melayu beragama Islam semakin terpinggir dan semakin teraniaya. Bukan sahaja golongan bawahan, penjaja, peniaga dan orang awam teraniaya dengan dasar cauvinis dan ekstremis yang dibawa, malahan kini institusi Islam seperti Pusat Zakat juga dipolitikkan untuk agenda sempit mereka.
Saya telah melakukan apa yang terdaya dalam kemampuan saya untuk mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku di peringkat kepimpinan pakatan pembangkang.
Namun semua bantahan dan teguran saya diremehkan. Sebaliknya, mereka bertindak menyingkir dan meminggirkan saya dengan tujuan untuk menghapuskan segala suara teguran dan kritikan dalam pakatan itu, tanpa menghormati hak asasi kemanusiaan, hak membela diri dan prinsip-prinsip keadilan yang mereka laung-laungkan selama ini.
Ternyata laungan dan slogan mengenai hak asasi dan prinsip keadilan hanyalah sekadar retorik politik murahan.
Saya tidak mahu sejarah menghukum saya kerana tidak berbuat apa-apa dalam keadaan ini. Saya tidak mahu generasi akan datang melihat saya sebagai sebahagian daripada gerombolan yang menjahanamkan dan merosakkan negara, bangsa dan agama saya.
Oleh itu, dengan lafaz Bismillah hirrohmanirrohim, saya dengan penuh ihkhlas mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti dan keluar dari Parti Keadilan Rakyat berkuat kuasa serta merta. Terima kasih.
Berikut ialah soalan bertubi2 dari wartawan, walaupun pada mulanya Zahrain cuba mengelak untuk menjawab
SOALAN: Adakah Datuk Seri akan menyertai mana-mana parti seperti UMNO?
ZAHRAIN: Tindakan saya ini adalah tindakan saya sendiri. Saya tidak berbincang dengan sesiapapun malahan kawan-kawan rapat saya, keluarga saya. Dan memang niat nak masuk parti-parti lain tidak ada. Saya keluar sebagai ahli Parlimen Bebas.
Adakah anda akan menjadi ahli Parlimen yang menyokong BN?
Tidak, tidak, tidak... Saya tidak pernah berbincang dengan bercakap dengan mana-mana ahli BN atau UMNO atau sesiapa... Tidak timbul. Saya berpegang kepada prinsip sebagai diri saya, seorang ahli Parlimen Bebas.
Apa nasihat Datuk Seri kepada teman seperjuangan dalam PKR?
Seperti yang saya katakan tadi, kita (PKR) dah lari daripada asas perjuangan dan (dalam) proses demokrasi ini terpulanglah kepada sesiapa sama ada untuk mengambil tindakan atau keputusan seperti saya. Saya serahkan kepada mereka, maksud saya itu peribadi, saya tidak berharap atau mempengaruhi sesiapa. Ini pendirian saya, prinsip saya dan apa jua risikonya saya akan terima.
Adakah Datuk Seri berpendapat akan ada lagi pemimpin atau ahli PKR yang mengikut jejak Datuk Seri?
Saya tidak tahu, saya tidak mahu menjangka, saya tidak mahu memikirkannya. Keputusan ini adalah sesuatu yang menganggu (affected) saya, saya tertekan selama seminggu lalu tentang isu ini, jadi saya berkeputusan untuk mengambil langkah ini.
Sebelum ini Datuk Seri menafikan hendak keluar dari parti, kenapa tiba-tiba buat keputusan?
Benda ini dalam kepala, fikiran saya. Saya ada dua pilihan, satu keluar parti, kedua, berdepan dengan parti dan berjuang dalam parti, mungkin bertanding dalam parti. Tetapi bagi saya, selepas saya fikir dengan panjang, memang saya bersedia untuk menghadapi pilihan raya... tetapi dalam pemikiran dan analisis, saya rasa tidak mahu pening-pening kepala dan keluar, keluar senang dan nyatakan pendirian saya.
Ada nasihat daripada kepimpinan PKR seperti Anwar supaya sebarang rasa tidak puas hati terhadap Lim Guan Eng perlu disuarakan menerusi kaedah parti (party mechanism)...
Kaedah parti apa, macam mana? Adakah sebarang platform untuk saya suarakan rasa tidak puas hati saya. Saya tidak nampak sebarang platform untuk saya berbuat demikian.
Okey, saya nak sedikit penjelasan, tindakan Datuk Seri tinggalkan PKR ini adalah kerana kecewa dengan Lim Guan Eng dan kedua kerana Anwar sendiri?
Anwar masih kawan saya lagi, saya tidak ada masalah dengan beliau. Tapi saya kecewalah, bukan saya nak marah atau hamput atau bidas dia...tidak. Sebagai kawan, hak saya untuk memperingati, menasihati beliau tapi kalau parti membuat pendirian yang luar daripada apa yang saya dengan ikhlas cakap tentang nasihat dan sebagainya... kalau parti nak buat sebaliknya, makna saya pun kecewa.
Saya pun manusia biasa juga, maksud saya, saya juga ada perasaan dan pemikiran. Dalam kita mengamalkan demokrasi, janganlah serang saya tak tentu hala kalau saya ambil tindakan sebegini. Dan saya nak beritahu, tindakan yang diambil ini telah saya fikirkan sedalam-dalamnya.
Apa mesej kepada rakyat yang mengundi Datuk Seri sewaktu mewakili PKR dahulu?
Saya dipilih oleh masyarakat Bayan Baru, saya berikan jaminan bahawa saya tidak akan mengkhianati mereka. Saya hanya meninggalkan PKR kerana kepercayaan dan keteguhan pendirian saya.
Selain itu, saya tidak mahu rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi terhadap pakatan pembangkang. Dan saya telah nyatakan sebelum ini iaitu individu yang akan merosakkan pakatan ialah Lim Guan Eng.
Saya rasa terbukti dengan cara dia bertindak dan keangkuhan beliau. Saya percaya pakatan pembangkang akan kekal dan saya tidak mahu rakyat tertipu dengan retorik pakatan pembangkang.
Sebelum ini Anwar ada sebut tentang usaha membeli ahli Parlimen, adakah ini sebahagian daripadanya?
Beli ahli Parlimen... Siapa beli ahli Parlimen? Beli apa, yang 16 September tu apa cerita? Jadi jangan cakaplah mengenai perkara itu kan...saya pun kecewa tentang 16 September, kita betul-betul percaya dengan kata-kata 16 September (sebelum ini) satu perubahan besar akan berlaku tetapi... Tentang beli-membeli ini tidak timbul, pasal apa nak beli saya? Kalau ada orang beli baguslah, saya rasa macam bintang bola sepak.
Adakah Datuk Seri percaya tindakan ini bertepatan dengan kepentingan rakyat yang memilih Datuk Seri?
Perkara ini perlu diseimbangkan, ia perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan diri saya sendiri. Saya pun ada kepentingan saya, saya ada kehidupan saya.
Tetapi seperti yang saya katakan, saya tidak akan melarikan diri sebagai Ahli Parlimen Bayan Baru, saya hanya keluar parti. Ini tidak bermakna saya tidak boleh berkhidmat kepada rakyat. Okey, terima kasih.
Kenyataan akhbar Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang dibacakan pada sidang akhbar semalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment